Mikroplastik: Pembunuh Dalam Senyap

Penemuan seekor penyu yang merana akibat sebatang penyedut minuman plastik terperangkap di dalam hidungnya pada tahun 2015 telah mencetuskan fenomena. Kejadian yang dirakamkan di perairan Costa Rica oleh sekumpulan penyelidik biologi marin itu berjaya menyedarkan populasi global tentang kesan pencemaran plastik terhadap alam semula jadi.

Penggunaan straw plastik sekali guna mula dihentikan di premis makanan dan minuman, digantikan dengan alternatif yang pelbagai. Sedikit demi sedikit, masyarakat mula terdidik dan perubahan sikap juga terbentuk.

Namun, straw hanya sebahagian kecil sahaja daripada timbunan sisa plastik yang terhasil daripada penggunaan domestik dan aktiviti industri. Malah, apa yang patut lebih merunsingkan kita adalah beban mikroplastik yang kecil pada saiz tetapi amat besar impaknya terhadap kehidupan manusia.

Saiz Kecil, Impak Besar

Mikroplastik merupakan plastik yang bersaiz lebih kecil daripada 5mm, sering ditemui dalam bentuk serpihan, gentian, pelet atau manik. Pencemaran mikroplastik berlaku menerusi pembuatan, penggunaan dan pembuangan produk yang mengandungi polimer plastik. Contohnya:

  1. Pembebasan dari kilang perindustrian dan insiden tumpahan semasa pembuatan plastik itu sendiri;
  2. Produk kecantikan dan kosmetik yang ditambah dengan manik mikroplastik dilepaskan ke dalam sistem pembentungan;
  3. Produk sintetik seperti tayar kenderaan, tekstil dan cat bangunan yang mengalami haus dan lusuh (wear and tear);
  4. Penguraian makroplastik yang dibuang ke alam sekitar lalu menjadi mikroplastik menerusi pelapukan semula jadi.

Menurut United Nations Environment Programme (UNEP), dianggarkan sebanyak 3 juta tan mikroplastik dilepaskan setiap tahun serta sejumlah 14 juta tan mikroplastik pula didapati termendap di dasar lautan. Kawasan perairan seperti sungai dan pantai akan menjadi destinasi hentian sementara atau kekal bagi sisa plastik ini apabila tidak diuruskan dengan baik.

Sebuah kajian yang diketuai oleh pertubuhan The Ocean Cleanup mendapati bahawa sekitar 1,656 sungai bertanggungjawab terhadap 80 peratus pelepasan sisa plastik global ke lautan. Daripada jumlah itu, Malaysia menjadi ‘tuan rumah’ untuk 105 sungai tersebut dengan 73 ribu metrik tan sisa plastik terhasil setiap tahun, menjadikan kita berada di kedudukan ketiga setelah Filipina dan India.

Ini bukan sahaja membuktikan kadar penggunaan plastik sekali guna yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi kita juga gagal menguruskan sisa plastik daripada terus hanyut dibawa arus kedegilan.

Mencipta Masalah Tanpa Sedar

Tidak dinafikan, penciptaan plastik seawal abad ke-19 telah membawa manfaat yang besar kepada peradaban manusia. Daripada pakaian dan pembungkusan sehinggalah perubatan dan teknologi elektronik, kita dapat menjimatkan penggunaan sumber alam semula jadi yang semakin terhad, mengelakkan pembaziran makanan serta mencipta peranti untuk kegunaan awam.

Akibat terlalu mengejar kemodenan tanpa berhenti sejenak untuk menoleh ke belakang, hari ini kita menerima akibat buruknya.

Hanya 9 peratus sisa plastik dikitar semula dan 22 peratus pula sama ada tidak dikutip, dibuang dengan kaedah yang tidak betul ataupun menjadi sampah sarap. Semasa hujan lebat berlaku, sisa plastik ini akan dibawa menerusi sistem perparitan dan saliran, kemudian memasuki anak-anak sungai.

Semakin hampir plastik itu dengan sungai dan semakin dekat sungai itu dengan laut, semakin tinggi kebarangkalian sisa plastik akan menemui lautan. Separuh daripadanya akan tenggelam ke dasar sungai atau laut, manakala selebihnya akan terus terapung dan dalam tempoh sebulan sisa plastik ini terdampar ke pesisiran pantai.

Situasi ini memberi ancaman yang hebat terutamanya kepada hidupan marin. Disebabkan plastik mempunyai daya tahan yang tinggi, ia akan terus kekal untuk ratusan tahun lamanya. Perlahan-lahan terurai sehingga menjadi saiz mikro, plastik ini akan memasuki rantaian makanan dan akhirnya dimakan oleh kita sendiri.

Meskipun kajian empirikal masih belum benar-benar memahami impaknya, sudah ada pembuktian yang mengaitkan pendedahan bahan kimia dari plastik boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sistem endoktrin dan potensi barah. Begitu juga mereka turut mengalami penyakit radang usus dan menggangu keseimbangan mikroorganisme baik dalam perut.

Cegah Sebelum Parah

Masih belum terlambat untuk semua pihak yang terbabit mengambil langkah sebelum keadaan ini menjadi lebih parah. Dengan menghapuskan 90 peratus sisa plastik akuatik global, negara-negara ASEAN dapat menurunkan kadar pengambilan mikroplastik sebanyak hampir 50 peratus. Caranya bagaimana?

Pertama, terlebih dahulu agensi penternakan dan perikanan perlu memantau kualiti makanan dari sumber sungai dan laut yang dijual terus ke pasar basah mahupun yang telah diproses. Makanan ini perlu dipastikan bebas daripada kandungan mikroplastik.

Kedua, pihak berkuasa tempatan perlu menguatkuasakan akta yang lebih berkesan bagi menghalang kilang perindustrian sesuka hati melepaskan bahan tercemar ke dalam saliran. Bukan sedikit kilang-kilang haram dibuka yang menyebabkan pelaksanaan akta berkaitan kualiti alam sekeliling sukar dilaksanakan.

Ketiga, kerajaan perlu terus komited mengambil inisiatif whole of nation dalam pengurusan sisa plastik. Sekarang ini beban menjaga alam sekitar banyak diletakkan ke atas rakyat sebagai pengguna, manakala pemain industri terus beroperasi seperti biasa. Mereka perlu ditekan untuk beransur-ansur beralih kepada bahan pembungkusan yang lestari.

Sebagaimana plastik boleh dikira sebagai salah satu pemacu revolusi perindustrian, kita perlu bersedia dengan alternatif yang mampan dan sejahtera. Teknologi dan inovasi tidak membawa apa-apa erti jika masa depan yang sihat menjadi pertaruhan.

 

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh