Potensi NR-REE di Malaysia: Cabaran dan Strategi

Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai bekalan Unsur Nadir Bumi – Bukan Radioaktif (NR-REE) dengan nilai dianggarkan mencecah RM747.2 bilion sekali gus berpotensi menjadi pemain utama di pasaran global. Tidak hairanlah, NR-REE dikategorikan sebagai antara mineral strategik negara sebelum pasir silika dan bauksit.

Bahkan, industri ini dijangka menyumbang hampir RM9.5 bilion (AS$2.03 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025. Ia sekali gus bakal membuka 7,000 peluang pekerjaan baharu yang signifikan.

Di fasa peralihan global kepada penggunaan tenaga bersih, permintaan NR-REE untuk pembuatan pelbagai peranti berteknologi tinggi, termasuk telefon pintar, kenderaan elektrik (EV), dan turbin angin terus meningkat. Selain itu, ia digunakan dalam penghasilan magnet kuat dan elektronik canggih yang penting dalam pembuatan teknologi pertahanan dan aeroangkasa.

Nadir bumi dikomersialkan dalam pelbagai bentuk, antaranya seperti karbonat (REC) dan oksida (REO). Kajian terkini menjangkakan bahawa permintaan keseluruhan untuk REO akan meningkat sekitar 41 peratus (98,400 tan) menjelang tahun 2030, berdasarkan kepada data penggunaan 240,000 tan pada tahun 2020.

Sekiranya permintaan melebihi kapasiti sedia ada dan tidak berubah, kemungkinan besar dunia berdepan dengan defisit bekalan REO.

Cabaran NR-REE di Malaysia

Negara mempunyai peluang besar untuk mengembangkan industri NR-REE melalui pemprosesan dan pembuatan. Bayangkan jika Malaysia meningkatkan penyertaan dalam aktiviti ini, nilai ekonominya boleh meningkat sehingga ke 50 peratus dan 65 peratus daripada keseluruhan rantaian industri.

Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan nilai tambah mineral tetapi memperkukuhkan rantaian bekalan global dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dan pengimportan dari negara lain, terutama China.

Walaupun demikian, industri ini menghadapi beberapa cabaran, termasuk kekurangan inovasi teknologi canggih dan peraturan yang kompleks serta ketat yang menghambat pertumbuhan. Di Perak, teknik ‘in situ leaching’ mengikut kaedah China menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak kerana teknik tersebut berpotensi meninggalkan sejumlah besar amonia dalam sistem pengairan menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Di atas alasan yang sama, China terpaksa mengalihkan 40 hingga 60 peratus daripada pengeluaran domestik ke Myanmar sejak tahun 2019. Bukan itu sahaja, syarikat China yang melombong di Kachin, Myanmar pernah dibantah kerana menyebabkan kerosakan alam sekitar tahun lalu.

Bagaimanapun, Perak berjaya mengeksport NR-REE Lantanid ke China untuk diproses dan telah menjana royalti hampir RM16 juta bagi keluasan 87 hektar tanah dengan 10 kali pengeksportan tahun lepas. Datuk Sia Hok Kiang ketika menyampaikan ucaptama dalam 10th SIMPOMIN 2022: NR-REE, menyebutkan bahawa Perak menjual REC semata-mata.

Jika dibuat perbandingan harga, REC dijual pada AS$5.70 (2023) berbanding AS$4.05 bagi setiap kilogram (2024). Sedangkan dalam setiap tan tanah, ada pelbagai jenis elemen yang berpotensi menjadi produk bernilai tinggi seperti neodymium oxida, terbium, neodymium-praseodymium (NdPr) oxida dan sebagainya.

NdPr oxida contohnya dijual pada harga AS$70.23 (2023) berbanding AS$48.48 per kilogram (2024). Kepelbagaian jenis produk ini tidak akan diketahui melainkan kita menerokai sektor pemprosesan.

Strategi Pemerkasaan NR-REE

Untuk mengoptimumkan manfaat NR-REE, Malaysia telah melancarkan Kerangka Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti melombong NR-REE. Strategi ini bertujuan untuk memajukan sektor huluan dan hiliran dengan menggariskan langkah urus tadbir, pembangunan rantaian nilai dan kolaborasi bersepadu antara industri dengan institusi penyelidikan.

Bagaimanapun, proses untuk memulakan sesuatu projek sangat kompleks dan mengambil masa yang panjang. Bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk bekerjasama dengan institusi tempatan, birokrasi yang kompleks perlu dipermudahkan.

Institusi tempatan perlu diberikan galakan untuk membuat inovasi teknologi yang dapat meminimumkan impak kepada alam semula jadi. Di samping itu, pelbagai insentif perlu ditawarkan untuk meningkatkan kapasiti semasa.

Seterusnya tanpa penguatkuasaan yang efektif, hasil bumi masih tetap akan dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi, institusi pemantauan hutan perlu diperkemaskan melalui penambahan jumlah pegawai renjer atau penguatkuasa hutan. Pada masa yang sama, kerajaan perlu proaktif memastikan pemulihan tanah yang telah dilombong kembali kepada fungsi asalnya.

Selain itu, kestabilan harga NR-REE dipengaruhi antaranya oleh 90 peratus dominasi China dalam pasaran. Contohnya, apabila berlaku lebihan bekalan tahun lepas, harga mineral turun secara drastik, namun China aktif meningkatkan stok simpanan bahan tersebut.

Justeru, negara perlu mengambil inisiatif mempelbagaikan ekonomi melalui perluasan hubungan dagang dengan pelbagai negara, meningkatkan pelaburan domestik dan membangunkan industri tempatan untuk menerajui industri pemprosesan dan pembuatan.

Pelaburan hendaklah tertumpu kepada teknologi dan inovasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Ini termasuk mewujudkan persekitaran yang kukuh untuk penyelidikan dan pembangunan serta menggalakkan syarikat pemula teknologi.

Akhirnya, perkembangan pesat industri teknologi bersih seperti EV menyebabkan permintaan NR-REE akan sentiasa meningkat. Kerajaan perlu memainkan peranan yang proaktif bagi membina ekosistem rantaian nilai industri dan dalam masa yang sama memanfaatkan kepakaran tempatan sehingga kita mampu mengeluarkan inovasi tempatan.

Tanpa usaha pantas dan bersepadu daripada semua pihak, kita akan kekal sebagai negara pengeluar bahan mentah semata-mata, sedangkan kita mempunyai ramai bijak pandai yang bersedia membangunkan industri negara.

Picture of Hanisah Abd Rahman
Hanisah Abd Rahman
Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan