Penyeragaman Wakaf: Satu Keperluan yang Perlu Disegerakan

Wakaf atau juga dikenali sebagai “the sleeping giant” dalam kewangan Islam saban hari mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Namun, potensi penuh institusi wakaf seolah-olah tidak mampu dicapai dek ketidakseragaman undang-undang yang menjadi penghalang utama kepada pembangunan sosioekonomi Muslim di Malaysia.

Jika diperhatikan, permasalahan besar yang berlaku adalah disebabkan tidak semua negeri mempunyai enakmen wakaf khusus yang tersendiri. Setakat ini, hanya Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Terengganu sahaja yang mempunyai Enakmen Wakaf, manakala Johor pula menamakannya sebagai Kaedah-Kaedah Wakaf (Johor) 1983. Selebihnya tidak menggubal enakmen wakaf dan hanya memasukkan wakaf dalam sebahagian Enakmen Pentadbiran Agama Islam sahaja. Perkara ini mengakibatkan berlakunya ketidakseragaman yang ketara dalam pengurusan wakaf.

Di manakah berlaku ketidakseragaman?

Secara umumnya, ketidakseragaman berlaku pada tiga bahagian. Pertama, ketidakseragaman takrif wakaf yang jelas. Menurut negeri yang telah menggubal enakmen wakaf, takrifan wakaf diperincikan secara jelas iaitu merujuk kepada harta atau perkara yang diwakafkan. Ini berbeza berbanding Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang hanya menakrifkannya sebagai perbuatan pewakaf dan bukannya harta wakaf tersebut. Ini kalau kita mengambil perbezaan antara negeri yang digubal dengan tidak.

Ketidakseragaman juga berlaku dalam enakmen yang sudah digubal negeri-negeri tertentu. Kandungan Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005 menakrifkan wakaf sebagai “penyerahan apa-apa harta”, dan bukannya “penyerahan hak milik apa-apa harta” seperti yang terkandung dalam Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015. Takrifan “penyerahan hak milik” lebih tepat kerana wakaf juga melibatkan pemberian kepakaran dan perkhidmatan yang turut dijelaskan dalam takrifan negeri Selangor.

Kedua, ketidakseragaman dalam struktur pengurusan wakaf. Perkara ini berlaku kerana Enakmen Pentadbiran Agama Islam tidak mempunyai peruntukan khusus bagi struktur pengurusan wakaf berbanding negeri yang mempunyai enakmen yang khusus. Tanpa enakmen wakaf khusus, kebanyakan pengurusan negeri diletakkan di bawah unit yang kecil dengan beberapa tenaga kerja sahaja. Hal ini sangat berbeza dengan negeri Selangor sebagai contoh yang menyatakan secara jelas peruntukan untuk penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, keanggotaannya serta bidang kuasanya.

Jawatankuasa itu berperanan merangka dasar, pelaksanaannya pula dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Malahan, satu unit wakaf ditubuhkan dan dianggotai oleh Pendaftar Wakaf, Penolong Pendaftar Wakaf dan tiga kakitangan sebagai Pembantu Tadbir Penempatan. Di samping itu, setiap daerah di Selangor mempunyai Pembantu Tadbir Penempatan yang menguruskan pentadbiran wakaf daerah. Melalui enakmen inilah, sebuah struktur pengurusan yang profesional dapat digajikan dengan secukupnya seterusnya dapat membangunkan institusi wakaf yang mampan.

Ketiga, ketidakseragaman syarat istibdal wakaf, dan inilah isu yang paling besar yang dihadapi oleh sistem pengurusan wakaf di Malaysia. Bagi negeri yang tidak mempunyai enakmen wakaf, istibdal tidak ditakrifkan. Dalam negeri yang mempunyai enakmen wakaf sekalipun, ada yang menyatakan istibdal dibenarkan untuk diganti “dengan wang” dan ada yang tidak membenarkannya. Perkara ini mengakibatkan pertindihan dalam undang-undang pembangunan hartanah seperti Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) dan Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

Kita juga tidak mempunyai kaedah yang khusus bagi pembangunan tanah wakaf sama ada wakaf khas mahupun am. Maka, berlaku kesukaran apabila tanah wakaf khusus tidak dapat dibangunkan dan tidak ada kaedah untuk menukarkan status wakaf tanah tersebut, sehinggakan kita tidak mampu untuk mengusahakan 88% daripada keseluruhan 31 ribu hektar tanah wakaf.

Solusi Penyeragaman

Kuasa menyeragamkan undang-undang Islam di seluruh Malaysia merupakan salah satu fungsi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan JAKIM sebagai urus setia kepada MKI diberikan tanggungjawab dalam menjalankan fungsi ini. Sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil pernah mencadangkan Rang Undang-Undang Wakaf (Wilayah-wilayah Persekutuan) agar menjadi model undang-undang wakaf kepada negeri lain. Namun sehingga sekarang, rang undang-undang itu masih tidak dibentangkan di parlimen. Berkemungkinan terhenti selangkah kerana melibatkan persetujuan institusi raja-raja dan pengecilan kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Sebenarnya, langkah yang paling mudah dilaksanakan ialah negeri-negeri tersebut sendiri menggubal enakmen wakaf. Malaysia mempunyai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang cukup terkemuka untuk sememangnya ditugaskan untuk membantu negeri-negeri membangunkan hartanah wakaf. Malangnya, Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf yang dibangunkan JAWHAR masih tidak diaplikasikan oleh negeri-negeri kecuali Perak sahaja. Kesenjangan yang berlaku kerana JAWHAR dianggap sebagai salah satu agensi kerajaan persekutuan dan negeri tidak tertakluk untuk akur dengan saranan tersebut.

Saya melihat ada keperluan segera untuk negeri yang belum mewujudkan enakmen wakaf supaya segera meluluskan enakmen wakaf tersebut. Begitu juga kerajaan pusat perlu merangka strategi agar pengurusan dan pembangunan wakaf boleh berdaya saing baik di dalam negara mahupun di persada dunia. Setidaknya, satu kaedah istibdal yang baik boleh dirangka bagi menyelesaikan permasalahan aset-aset yang tidak dimajukan.

Picture of Izzat Tuan Ibharim
Izzat Tuan Ibharim
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh