Baru-baru ini, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana membataskan hak negeri untuk menerokai hasil sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) dari garis air surut. Namun, respons yang diterima menunjukkan masih ramai yang tidak memahami kepentingan DUN negeri menolak akta tersebut, malahan terdapat beberapa pemimpin parti politik tertentu yang mengatakan seolah-olah perkara itu adalah sia-sia kerana sedikit pun tidak menolak keabsahan akta itu. Ini ekoran Kerajaan Persekutuan tidak juga melunaskan hak royalti petroleum kepada Kelantan setelah DUN Kelantan bertindak menolak akta tersebut.
Walhasil itu, penulis melihat ada keperluan untuk rakyat Malaysia memahami kronologi mengapa akta ini diluluskan sebelum ini dan bagaimana kerajaan hanyalah menggunakan akta ini sebagai alasan untuk tidak melunaskan hak royalti kepada negeri-negeri yang mempunyai hasil petroleum.
Kronologi Akta Laut Wilayah 2012
Pada 13 Mei 1696, negara dikejutkan dengan peristiwa berdarah akibat daripada rusuhan perkauman. Berikutan itu, satu Proklamasi Darurat telah dikeluarkan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awan di seluruh negara. Akibat daripada Proklamasi itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No. 7 1969 Seksyen 3 diperuntukkan dengan butiran berikut:
Bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95], Kanun Tanah Negara [Akta 56/65] dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.
Sebenarnya ordinan ini dibuat adalah untuk melindungi negara baik dari segi keselamatan, kehidupan dan kelangsungan ekonomi serta ketenteraman awam sebagaimana yang termaktub dalam peruntukan kuasa pengisytiharan darurat dalam Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun, ukuran 3 batu nautika itu boleh dipersoalkan kerana tanpa ukuran tersebut pun negara sudah mempunyai bidang kuasa yang cukup untuk atas pertahanan bagi Persekutuan dan keselamatan dalam negeri.
Selepas Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong itu diungkaikan oleh Dewan Rakyat pada 24 November 2011, Akta Laut Wilayah 2012 digubal untuk menggantikan Ordinan Darurat tersebut. Apa yang menjadi permasalahan di sini ialah pemakaian butiran yang sama dalam Seksyen 3(3) kerana kita perlu bezakan undang-undang yang diwujudkan di bawah kuasa darurat dalam bentuk ordinan dan undang-undang melalui Parlimen dalam bentuk akta. Ini kerana ordinan darurat kebiasaannya dibuat sesuai dengan situasi darurat dan tidak boleh dicabar dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan. Maka, apabila peruntukan ini diperkenalkan dalam bentuk akta, sewajarnya peruntukan Seksyen 3(3) ini dilihat semula.
Akta Laut Wilayah Tidak Berperlembagaan
Setakat hari ini, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan penyerahan perairan Negeri Melayu kepada Kerajaan Persekutuan. Bahkan, sebarang bentuk perubahan persempadanan mestilah tertakluk kepada Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-Raja.
Jadi, timbul masalah kerana negeri-negeri terbabit tidak pernah dibawa berunding sebelum akta ini diusulkan di Dewan Rakyat dan tidak juga dibawa ke Majlis Raja-Raja. Tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya merampas hak kedaulatan negeri terutama yang berkait hasil mahsulnya.
Benar bahawa Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) selaku triti multilateral antarabangsa yang mentadbir wilayah kelautan secara jelas menetapkan bidang kuasa ke atas wilayah laut, tetapi pemakaiannya adalah tertakluk kepada terima pakai (adoption) oleh Parlimen dan peruntukan yang memelihara sifat kenegaraan mengikut Perlembagaan Persekutuan negara masing-masing. Tafsiran wilayah laut sesebuah negeri dalam konteks sebuah negara tidak boleh ditafsir secara bebas kerana Malaysia mendukung ketinggian Perlembagaan yang memelihara ciri tersendiri, apatah lagi konvensyen antarabangsa tidak boleh menyentuh kedaulatan dalam negeri sebuah negara berdaulat. Ini sekaligus menolak tafsiran bahawa perkataan “wilayah Malaysia” dalam Seksyen 3(1) Akta Laut Wilayah yang menyebut lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika itu semuanya dalam bidang kuasa Persekutuan semata-mata, bahkan juga bidang kuasa negeri. Maksudnya, sempadan 12 batu nautika itu adalah sempadan bagi Malaysia sebagai sebuah Persekutuan yang terdiri daripada negeri dengan sempadan kewilayahan yang sama.
Realitinya, seksyen dalam Akta Laut Wilayah yang juga terdapat dalam Ordinan Darurat tersebut tidak lagi relevan untuk dikekalkan. Tambahan lagi, peruntukan akta ini sebenarnya boleh diserap sahaja ke dalam akta sedia ada yang melaksanakan UNCLOS di Malaysia.
Ringkasnya, penting untuk DUN Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012. Ia merupakan mesej kepada Kerajaan Persekutuan supaya melunaskan hak royalti kepada negeri tersebut. Begitu juga sebagai gambaran akan ada prosiding mahkamah untuk beberapa seksyen yang perlu dipinda dalam akta tersebut atau mana-mana akta yang mempunyai implikasi yang sama.
Apa yang dituntut oleh kerajaan negeri Terengganu sebenarnya cumalah penunaian penuh hak royalti, tidak kira namanya wang ehsan ataupun nama selainnya. Oleh sebab itu, tidak timbul isu ini sewaktu zaman pemerintahan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana kesemua negeri mendapat haknya secara penuh. Jadi, Akta Laut Wilayah bukanlah menjadi penghalang kepada hak royalti negeri dan kerajaan tidak sepatutnya menggunakan akta tersebut sebagai penghadang untuk melunaskan perjanjian.