Pengharaman TikTok: Polisi Awam 101

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang memberikan TikTok lanjutan 75 hari, setelah rasmi menjadi Presiden AS yang ke-47 pada 20 Januari. Tambahan lagi, Trump telah mengusulkan agar AS memegang 50% pemilikan TikTok. Ini adalah langkah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah ekonomi moden, di mana kerajaan secara langsung campur tangan meminta bahagian dalam sebuah syarikat.

Dalam perang dagang AS-China, situasi ini menjadi alat rundingan untuk mendapatkan syarat perdagangan yang lebih baik dari Beijing. Namun, keberkesanannya bergantung pada reaksi China, kestabilan pasaran global, dan ketahanan AS tanpa menjejaskan kepentingannya sendiri.

Daripada Trump kepada Trump

Dasar ini dibangkitkan oleh Presiden Trump menjelang penghujung penggal pertamanya pada tahun 2020 kerana bimbang terhadap keselamatan data. Kemudian, dasar ini diteruskan oleh Presiden Biden yang memenangi pilihan raya AS pada November 2020 dengan meluluskan Protecting Americans from Foreign Adversary Controlled Applications Act (PAFACA) pada April 2024. Akta ini akan mengawal selia “aplikasi dikawal musuh asing” dengan kemungkinan lanjutan sehingga 90 hari oleh Presiden.

Pada 10 Januari 2025, TikTok mencabar pengharaman ini di atas alasan menggugat kebebasan bersuara ke Mahkamah Agung AS, namun hakim sebulat suara (9-0) menolak kes ini. Presiden Biden akhirnya menyatakan beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan menyerahkan keputusan lanjut kepada Presiden yang baru. Hasilnya pengharaman TikTok yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 19 Januari ditangguhkan sehingga rundingan selesai.

Pengantarabangsaan RedNote

Namun, di sebalik dasar tersebut, lebih 500,000 pengguna TikTok di AS telah beralih ke RedNote, sebuah aplikasi dari China yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pengguna. Ini menafikan tujuan pengharaman TikTok kepada pengguna AS.

Melalui tren TikTok Refugee, hampir setiap hari muncul perkongsian dalam bahasa Inggeris tentang cara berinteraksi dalam bahasa Cina, selain banyak kandungan yang turut dihasilkan dalam bahasa Inggeris. Aplikasi pembelajaran bahasa Duolingo antara platform popular susulan daripada peralihan ini. Dari segi teknikal, RedNote tidak kalah dengan ciri-ciri yang menarik dan mesra pengguna. Adalah menarik untuk kita lihat sejauh mana aplikasi ini dapat diterjemahkan kepada nilai kewangan dan impaknya dalam pasaran ekonomi digital.

Kesimpulan

Isu ini merupakan satu kajian kes yang menarik kerana ia memperlihatkan sejauh mana rundingan antara kerajaan dan syarikat teknologi boleh mempengaruhi dasar awam, khususnya dalam aspek keselamatan data, kedaulatan digital, dan kebebasan ekonomi.

Kes TikTok menunjukkan bagaimana kerajaan menggunakan instrumen dasar seperti perundangan, kawal selia, dan diplomasi dalam menangani kebimbangan berkaitan pengaruh luar, sementara syarikat teknologi berusaha mempertahankan operasi mereka melalui rundingan, pematuhan peraturan, dan sokongan pengguna.

Dalam perang dagang ini, kawalan terhadap syarikat teknologi asing menjadi strategi menekan pesaing ekonomi, menimbulkan persoalan sama ada tindakan ini berasaskan keselamatan negara atau persaingan dagang.

Picture of Hanisah Abd Rahman
Hanisah Abd Rahman
Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4.30_Nexus_Dr
Baca Artikel Penuh