Tahun 2024 akhirnya berakhir dengan perbahasan hangat di kedua-dua persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Parlimen Malaysia.
Perbahasan hangat tersebut merangkumi beberapa topik penting termasuk Bajet 2025 seperti penarikan subsidi Petrol RON95, kenaikan gaji dan Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam, serta pelarasan pencen penjawat awam.
Selain itu, kerajaan kelihatan tergesa-gesa membentangkan undang-undang baharu seperti Rang Undang-undang Perkongsian Data 2024 dan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian 2024, serta pindaan kepada beberapa undang-undang sedia ada, termasuk Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sementara itu, sebagai berita gembiranya, cadangan undang-undang kontroversi, RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, yang secara khusus meletakkan takrifan Ahlul Sunnah Wal Jamaah telah ditangguhkan.
Adakah Kita Menuju Politik “Rubber Stamp”?
Parlimen sepatutnya menjadi tempat para penggubal undang-undang untuk meneliti, membahaskan, dan meminta kerajaan bertanggungjawab di atas tindakannya. Namun, institusi ini kian menjadi simbolik semata-mata dan tidak lagi bermakna serta berkesan.
Ini terbukti sebelum dan semasa perbahasan sesuatu perundangan, Ahli Parlimen Pembangkang diperuntukkan dengan masa yang sangat terhad untuk membuat perbincangan secara mendalam. Ini kerana rang undang-undang telah dibentangkan kepada Ahli Parlimen dalam tempoh waktu yang singkat.
Lebih membimbangkan, layanan sama rata dalam aktiviti pembuatan keputusan seperti penyertaan dalam sesi taklimat dan pra-perbahasan tidak diberikan kepada Pembangkang, dan ini telah mencabar prinsip “semak dan imbang”.
Selain itu, ulasan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pembangkang semasa perbahasan tidak diendahkan, seterusnya meminggirkan peranan mereka dalam proses perundangan. Ada kalanya, para menteri cenderung bercakap panjang lebar sebelum menjawab satu-satu isu utama, sering mengalihkan perhatian daripada intipati perbahasan.
Oleh itu, tanpa mengikut proses penggubalan undang-undang yang betul, fungsi Parlimen akhirnya dilihat menjadi tempat untuk “rubber stamp” semata-mata untuk meluluskan tindakan kerajaan. Bagaimana mungkin kita boleh membiarkan perjuangan ke arah demokrasi “sebenar” dilemahkan?
Adakah Parlimen Menggagalkan Kehendak Rakyat?
Lebih teruk lagi, ahli-ahli Parlimen backbencher tidak menunjukkan prestasi yang sepatutnya. Ia boleh dilihat dalam beberapa kes utama. Pertama, apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh dibahaskan, mereka harus menegakkan prinsip keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih, tetapi sebaliknya berlaku.
Hujah-hujah yang dilontarkan cenderung untuk fokus kepada seorang individu tertentu dan juga bersifat “chauvinisme negara”, dengan kepercayaan bahawa hanya individu dari negeri tersebut lebih layak untuk menangani isu yang berkaitan. Ini adalah perspektif sempit yang mengabaikan intipati laporan RCI dibahaskan di Parlimen, iaitu untuk menyelesaikan masalah dan bukannya dimanipulasi untuk tujuan politik pihak tertentu.
Walaupun segala bukti telah dikemukakan, pandangan Ahli Parlimen Kota Bharu telah dipandang sebelah mata tanpa pertimbangan sewajarnya. Lebih parah lagi, tiada sesiapa di pihak kerajaan yang meminta Tun Mahathir diberikan keadilan yang wajar seperti hak untuk menyoal balas. Seluruh kabinet dalam kes tersebut menafikan tanggungjawab kolektif mereka. Ini mencerminkan ketidakupayaan Parlimen untuk melindungi hak individu dan memastikan keadilan.
Kedua, kewibawaan kabinet Pakatan Harapan dalam kes Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak (DSN). Perkara ini amat penting untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus mereka dan mengukuhkan komitmen mereka terhadap keadilan dan prinsip anti-rasuah.
Bagaimanapun, ia mengambil masa setahun bagi DSN untuk mendapatkan pengesahan status Titah Addendumnya, yang mana ia memberikan hak kepada DSN untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Di sebalik penghakiman terpilih dan kes-kes DSN yang belum disabitkan, ketidakkonsistenan dalam memberikan keadilan terhadap proses perundangan kes DSN ini menimbulkan persoalan tentang kewibawaan Parlimen dalam memastikan prinsip keadilan dan ketelusan sentiasa ditegakkan.
Dalam pada orang ramai sibuk menghadapi peningkatan kos sara hidup, bilangan pesakit terdedah dengan kesihatan mental, dan bencana alam yang membarah di tengah-tengah krisis perubahan iklim, kerajaan tidak seharusnya sibuk dengan politik mementingkan diri sendiri dan dendam peribadi. Sebaliknya, fokus pada langkah kolektif ke arah Malaysia yang lebih berdaya tahan.
Kembalikan Fungsi Parlimen
Tahun baharu, 2025 sepatutnya menjadi detik yang baik untuk berubah di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Madani. Justeru, peranan dan fungsi suci Parlimen sebagai penimbang tara yang bebas, profesional, dan berkecuali perlu dipulihkan untuk merealisasikan demokrasi dan perpaduan yang diimpikan.
Untuk itu, kita memerlukan reformasi Parlimen “sebenar” yang melibatkan peruntukan masa dan akses maklumat yang mencukupi kepada setiap Ahli Parlimen rentas parti politik. Langkah ini dapat memastikan peluang diberikan secukupnya untuk menganalisis isu dengan lebih mendalam, berdebat dengan bijak, dan akhirnya memastikan akauntabiliti setiap proses pembuatan keputusan.
Parlimen juga mesti menjamin pengasingan kuasa dalam kalangan badan perundangan, eksekutif, dan badan kehakiman dipertahankan dengan menghalang sebarang percubaan untuk mengganggu keadilan seperti manipulasi fakta dan data untuk kempen tertentu.
Oleh itu, peruntukan kuasa dan peluang yang jelas kepada ahli-ahli Pembangkang mampu mengangkat kredibiliti Parlimen sebagai institusi yang bebas, sesuai dengan peranannya untuk “semak dan imbang”. Lebih-lebih lagi, ia boleh menjadi satu langkah besar untuk mengiktiraf suara majoriti.
Kesimpulannya, Parlimen hari ini berada di persimpangan antara menjadi simbol demokrasi sebenar atau sekadar “rubber stamp” untuk kuasa eksekutif. Jika prinsip ‘semak dan imbang’ terus diabaikan, bukan sahaja kredibiliti institusi Parlimen akan terhakis, malah rakyat juga akan semakin hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi negara ini.