Negeri Terengganu: Selamat Tinggal Vape

Larangan terhadap penjualan rokok elektronik (vape) di beberapa negeri di Malaysia kini menjadi titik tumpu perdebatan antara pengusaha, kerajaan negeri, dan dasar kesihatan awam nasional. Dalam perkembangan terbaru, Terengganu telah mengumumkan penguatkuasaan larangan penjualan vape di semua premis perniagaan di kawasan PBT bermula 1 Ogos 2025.

Reaksi Pengusaha

Di Terengganu, seramai 169 pengusaha premis vape telah merayu agar kerajaan negeri menangguhkan penguatkuasaan larangan tersebut. Menurut Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd. Kamaruzaman Mahmud, tempoh tiga bulan yang diberikan untuk menghabiskan stok dan mencari punca pendapatan baru dianggap terlalu singkat.

Kamaruzaman turut mendakwa, larangan drastik ini menyebabkan kerugian industri vape di Terengganu mencecah RM5 juta sebulan. Lebih kontroversi, beliau berpendapat larangan ini bercanggah dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), kerana akta tersebut mengawal, bukan melarang mutlak produk vape.

Sokongan Pelbagai Pihak

Mengambil isyarat dari Terengganu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, menyatakan bahawa Kedah akan membincangkan pengharaman penjualan vape dalam mesyuarat EXCO minggu hadapan. Beliau mengungkapkan kebimbangan tentang bahaya vape, termasuk dakwaan bahawa ada cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah jenis ‘mushroom’.

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan inisiatif Smoke Free Malaysia di bawah FOMCA menyambut baik langkah tersebut. Mereka berpendapat bahawa walaupun Akta 852 telah berkuat kuasa, penguatkuasaan masih mencabar kerana sukar memantau kandungan sebenar cecair vape, wujud risiko bahan terlarang dan racun tersembunyi serta lesen perniagaan untuk ‘peranti elektronik’ sering disalahgunakan untuk menjual vape.

Menurut PPPKAM, larangan di peringkat negeri, walaupun tidak menyentuh hak individu untuk memiliki vape, adalah cara efektif bagi mengekang penjualan runcit yang tidak terkawal. Smoke Free Malaysia pula menekankan bahawa langkah ini konsisten dengan aspirasi Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) dan sasaran Tobacco Endgame 2040 — mengurangkan penggunaan produk tembakau kepada kurang 5% penduduk.

Polisi Negeri dan Persekutuan Berbeza

Di peringkat Persekutuan, pendekatan terhadap vape lebih longgar. Pada 31 Mac 2023, di bawah Menteri Kesihatan ketika itu Dr. Zaliha Mustafa, nikotin cecair dikeluarkan dari senarai racun terkawal di bawah Akta Racun 1952. Ini membuka jalan kepada cukai e-liquid mulai 1 Mei 2023. Namun, penggubalan Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Oktober 2024 hanya meliputi:

  • Larangan paparan produk rokok/vape di luar kedai khusus
  • Larangan jualan secara dalam talian dan mesin layan diri
  • Mandatori label amaran kesihatan bergambar
  • Had kandungan nikotin maksimum 20mg/ml (berkuatkuasa Oktober 2025)

Penting untuk difahami bahawa larangan penuh penjualan vape tidak dilakukan di peringkat nasional. Malah, Kerajaan Persekutuan menghadapi kritikan kerana gagal melaksanakan Generational End Game (GEG) selepas menerima nasihat bahawa larangan berdasarkan tahun lahir adalah tidak berperlembagaan. Ini mewujudkan ketidakpadanan: vape sah di sisi undang-undang Persekutuan (dengan kawalan tertentu) tetapi disekat di beberapa negeri melalui penafian lesen perniagaan.

Kesimpulan

Malaysia kini mempunyai kadar penggunaan ‘heated tobacco product’ (HTP) 12.2% — lebih tinggi berbanding Filipina (9.5%) dan Singapura (5.4%). Penggunaan paling tinggi dalam kalangan usia 20-29 tahun (14.8%), membayangkan trend masa depan yang membimbangkan. Selain isu ketagihan nikotin, kebimbangan baru timbul selepas polis mengesahkan kewujudan dadah sintetik seperti methamphetamine, ekstasi, dan fentanyl dalam cecair vape.

Ini memberi tekanan tambahan kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lebih tegas — bukan sahaja dari sudut kawalan tembakau, tetapi juga mencegah penyalahgunaan dadah.

Picture of Shauqi Johara
Shauqi Johara
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh