Torium merupakan elemen radioaktif semula jadi yang semakin mendapat perhatian sebagai bahan api alternatif kepada uranium dalam tenaga nuklear. Malaysia mempunyai simpanan torium yang besar, khususnya torium-232, di mana ia berpotensi digunakan sebagai sumber tenaga masa hadapan. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menerbitkan analisis mengenai potensi jangka panjang torium dalam tenaga nuklear. Menurut IAEA, torium mempunyai beberapa kelebihan berbanding uranium-235. Ia termasuk kelimpahan yang lebih tinggi di kerak bumi dan kemampuan untuk menghasilkan lebih banyak bahan fissil (uranium-233).
Penggunaan Torium: Peluang untuk Malaysia
Dalam sesi Parlimen baru-baru ini, Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Ahli Parlimen Kubang Kerian telah membangkitkan persoalan mengenai penggunaan torium dalam reaktor nuklear. Menurutnya, Malaysia memiliki simpanan torium yang besar. Menurut Kerajaan, reaktor “thorium molten salt” yang sedang dibangunkan di China, dijangka beroperasi pada tahun 2029. Menurutnya, Malaysia sedang mencari rakan kerjasama yang sesuai untuk pemindahan teknologi. Sebelum ini, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembangunan teknologi nuklear berasaskan torium, yang dilihat lebih bersih dan selamat berbanding penggunaan uranium-235.
Torium mempunyai beberapa kelebihan berbanding uranium sebagai bahan api nuklear. Pertama, dari segi keselamatan, reaktor torium, khususnya “molten salt reactor” (MSR), mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik berbanding reaktor uranium konvensional. Jika berlaku gangguan, bahan api torium boleh disejukkan dengan lebih mudah tanpa risiko letupan besar seperti dalam loji tenaga nuklear tradisional.
Namun begitu, dari aspek keselamatan global, torium tidak boleh digunakan secara langsung untuk menghasilkan senjata nuklear seperti uranium-235 atau plutonium-239, menjadikannya pilihan yang lebih selamat dalam konteks non-proliferasi nuklear. Selain itu, dari aspek pengurusan sisa, reaktor torium menghasilkan lebih sedikit sisa radioaktif jangka panjang berbanding uranium, yang boleh mengurangkan beban pengurusan sisa nuklear.
Revolusi Tenaga Baharu Dunia
Walaupun torium mempunyai banyak kelebihan, namun terdapat beberapa cabaran utama dalam penerapannya sebagai sumber tenaga. Di beberapa negara, pembangunan teknologi torium masih di peringkat awal dan tidak matang. Walaupun India dan China sedang membangunkan teknologi ini namun tiada negara yang telah mengkomersialkan reaktor torium sepenuhnya. China dijangka mengoperasikan reaktor MSR pada tahun 2029, yang masih dalam peringkat eksperimen. Selain itu, kos pembangunan teknologi torium juga tinggi, memerlukan pelaburan besar dan kepakaran teknikal yang masih terhad di Malaysia.
Pada Ogos 2021, China mengumumkan kejayaan membina reaktor nuklear eksperimental pertama yang berasaskan torium di tengah-tengah Gurun Gobi. Menurut Kerajaan China, dalam beberapa tahun akan datang, reaktor ini akan menjalani ujian sebelum China berhasrat membina reaktor lain yang mampu menjana tenaga elektrik untuk lebih daripada 100,000 rumah.
Sebelum ini, India, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara lain juga telah menunjukkan minat yang tinggi dalam penyelidikan mengenai penggunaan torium dalam tenaga nuklear. Melalui kajian, didapati torium ia berpotensi menjadi tenaga yang cekap dan bersih. Daya tarikan logam ini terletak pada potensinya sebagai pengganti uranium yang lebih banyak dan lebih cekap, yang merupakan bahan api nuklear utama.
Kesimpulan
Walaupun torium menawarkan kelebihan sebagai bahan nuklear yang lebih selamat berbanding penggunaan uranium-235, namun kerajaan perlu menilai impak jangka panjang kepada Malaysia. Malaysia perlu merangka dasar yang kukuh bagi mengkaji potensi tarium sebagai sumber tenaga bersih dan selamat di Malaysia.