Memperkukuh Pengurusan Risiko Banjir Melalui Teknologi PRAB

Banjir merupakan salah satu bencana alam yang yang sering melanda di Malaysia terutamanya di sebelah Pantai Timur. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia mengalami jumlah kerugian bernilai RM622.4 juta pada 2022 iaitu bersamaan 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pecahan kerugian yang dicatatkan pada tahun 2022 adalah terdiri daripada aset awam dan infrastruktur (37.39%), kediaman persendirian (25.29%), pertanian (24.82%), premis perniagaan (8.08%), kenderaan (3.02%) serta sektor pembuatan (1.38%). 

Bagi mengatasi perkara ini, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan ramalan banjir. Selain itu, meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan masyarakat terhadap risiko banjir. PRAB juga menambah program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA) yang menjadi badan advokasi banjir dan menyebarkan maklumat tentang amaran banjir melalui SMS serta media sosial. Bagi mereliasasikan inisiatif ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM129 juta bagi menyokong projek PRAB Fasa 1 dan RM522 juta bagi projek PRAB Fasa 2. Inisiatif ini terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesebelas dalam inisiatif keenam yang berobjektif untuk memperkukuh daya tahan terhadao perubahan iklim dan bencana alam. 

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), program ini dilaksanakan bagi membina 347 stesen hidrologi telemetri, pemasangan 132 siren dan pemasangan sistem permodelan banjir. Sistem pemodelan banjir menggunakan pendekatan hidrodinamik yang berupaya untuk menyalurkan data kepada agensi lain seperti Jabatan Meteorlagi Malaysia (MetMalaysia), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan badan pengurusan air negeri serta ia boleh diaskses oleh orang awam melalui laman sesawang rasmi kerajaan.

 

Perkembangan Projek PRAB

Projek PRAB terbahagi kepada tiga fasa. Projek PRAB Fasa 1 telah dilaksanakan pada tahun 2015 sehingga 2024. Ia melibatkan  tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang. Kos perbelanjaan yang diperuntukkan kepada JPS bagi PRAB Fasa 1 adalah sebanyak RM145 juta namun JPS telah menggunakan RM129 juta bagi melaksanakan projek tersebut. PRAB merupakan sebuah teknologi berkesan yang berfungsi mengesan dan mempertingkat ketepatan ramalan awal bencana dengan menggunakan teknologi terkini. PRAB merangkumi empat (4) komponen utama yang dilaksanakan secara bersepadu seperti berikut: 

  1. Membangunkan sistem pengesanan data hidrologi
  2. Membangunkan sistem pengkalan data dan infrasturktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
  3. Membangunkan sistem ramalan dan permodelan banjir
  4. Meningkatkan sistem amaran dan hebahan.

PRAB Fasa 1 berobjektif untuk penyelenggaraan 20 buah stesen telemetri bagi meningkatkan kecekapan perolehan maklumat bencana banjir. Namun, penemuan dari Laporan PAC mendapati terdapat kekurangan dan kelemahan yang dikenalpasti dalam dari projek PRAB Fasa 1. Antaranya, berlaku kelewatan penerimaan data di gateway, penyenggaraan pencegahan tidak dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan, maklumat hebahan amaran melalui siren yang mengelirukan, ketiadaan pembangunan Pembangunan Pusat Pemulihan Bencana (DRC), penilaian ketepatan Ramalan dan Amaran Banjir mengikut kawasan atau (HIT) yang tidak konsisten dan kelewatan bagi menyiapkan projek. Malah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati projek PRAB Fasa 1 telah mengalami kelewatan menyiapkan projek mengikut tarikh yang dijadualkan.

Sumber: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)

Fasa 2 bermula pada tahun 2020 di mana ia melibatkan pembinaan stesen telemetri hidrologi yang berfungsi untuk mendapatkan data taburan hujan, mengutip data paras air, memberi amaran melalui siren kepada orang awam, memantau aras air sungai secara real time dan merekod bacaan ketinggian aras air.  Projek PRAB Fasa 2 telah memasukkan DRC dan penggunaan teknologi terkini sebagai langkah penambahbaikan projek.  Inisiatif ini bertujuan meminimumkan impak ke atas sistem penyampaian agensi akibat daripada gangguan atau bencana disamping memastikan kesinambungan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. 

Sebanyak 6 negeri telah mencapai 100 peratus status siap pembinaan stesen telemetri hidrogen, 2 negeri mengalami kelewatan dan 7 projek lagi dalam fasa pembinaan. Menurut Laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC), Fasa 2 mengalami peningkatan kos daripada RM385 juta kepada RM522 juta bagi menambah spesifikasi sistem komunikasi dengan menggunakan rangkaian telekomunikasi, sistem siren dan kamera web.

Projek PRAB Fasa 3 pula melibatkan negeri Sabah (14 lembangan) dan Sarawak (19 lembangan). Projek tersebut akan dilaksanakan pada akhir tahun 2024 dan ia dijangka siap pada September 2030. Peruntukan yang telah diluluskan bagi PRAB Fasa 3 ialah RM139 juta di Sabah dan RM180 juta di Sarawak. Projek PRAB Fasa 3 dirancang untuk meningkatkan lagi keupayaan ramalan dan amaran banjir dengan menggunakan teknologi terkini. Walau bagaimanapun, perancangan dan pelaksanaan projek ini perlu dipantau dengan rapi untuk mengelakkan masalah yang sama seperti dalam Fasa 2.

Penutup

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) perlu mengambil langkah-langkah tambahan dengan mengambil kira syor yang telah dikeluarkan oleh PAC bagi menambahbaik tatakelola projek PRAB. Projek PRAB perlu dipantau dari masa ke masa bagi memastikan ia  mencapai standard dan kualiti yang ditetapkan. Ini termasuk memperbaiki pengurusan kontrak, memastikan penyenggaraan yang berjadual, dan meningkatkan keberkesanan program CEPA. Dengan pelaksanaan yang lebih berkesan dan pemantauan yang rapi, projek PRAB akan memberi manfaat kepada negeri-negeri yang berisiko banjir sekaligus menjadikan pengurusan banjir lebih efisian.

Sumber: harakahdaily

Picture of Masitah Ismail

Masitah Ismail

Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
WhatsApp Image 2025-01-09 at 3.05
Baca Artikel Penuh