Langkah Kajang 2.0: Tengku Zafrul Menteri Besar Baharu?

Selangor berkemungkinan akan menyaksikan pelantikan Menteri Besar baharu pada tahun 2025, susulan spekulasi yang mengatakan Datuk Amirudin Shari bakal digantikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Difahamkan perbincangan mengenai peralihan ini telah memasuki fasa akhir, dengan hanya menunggu persetujuan beberapa pihak utama bagi membenarkan Tengku Zafrul memasuki Parti Keadilan Rakyat (PKR). Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga pernah mengesahkan ada perbincangan awal Tengku Zafrul menyertai parti itu.

Perdana Menteri juga dilaporkan berhasrat untuk membawa Datuk Amirudin Shari ke peringkat pusat menjadi menteri untuk menggantikan Tengku Zafrul, yang tempoh pelantikan senatornya yang akan tamat pada Disember 2025.

Satu Strategi Politik Berkepentingan

Sebagai langkah persediaan, Tengku Zafrul dijangka menyertai PKR bagi menghalalkan perubahan yang akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang. Kali ini, strategi tersebut dikatakan mendapat restu daripada hierarki tertinggi negeri, berbeza dengan Langkah Kajang yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Walaupun Tengku Zafrul menafikan bahawa telah wujud pertemuan antara kepimpinan PKR dan negeri diadakan, terdapat ura-ura bahawa PKR sudahpun mengenal pasti kawasan pilihan raya yang sesuai serta ADUN yang bakal dikambing hitamkan bagi mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada

Tengku Zafrul. Pilihan Raya Kecil (PRK) ini dirancang diadakan sekaligus membuka jalan kepada peralihan kuasa secara lancar dan penyusunan semula kabinet yang turut melibatkan menteri-menteri lain. Jika ini berlaku, Malaysia akan melakar sejarah rombakan kabinet untuk 3 tahun berturut-turut.
Pun begitu, langkah sebegini bukanlah asing bagi PKR yang sebelum ini pernah menggunakan strategi PRK untuk menukar Menteri Besar Selangor.

Langkah Kajang: Pengajaran Daripada Sejarah

Pada tahun 2014, Langkah Kajang pernah dibuat dengan tujuan menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan menggantikannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. ADUN Kajang, Lee Chin Cheh pada waktu itu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam PRK.

Namun, akibat keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan sabitan ke atas Anwar dalam satu kes perundangan, beliau terhalang daripada bertanding. Situasi ini memaksa PKR mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang akhirnya memenangi PRK Kajang dan mengekalkan penguasaan PKR di kerusi tersebut.

Proses peralihan kepimpinan di Selangor bagaimanapun memakan masa lebih lama, disebabkan isu pencalonan Dr Wan Azizah yang dikatakan tidak mendapat perkenan istana. Setelah pelbagai rundingan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya digantikan oleh Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR, sebagai Menteri Besar. Langkah Kajang kekal sebagai episod penting dalam sejarah politik Malaysia, mencerminkan percaturan politik yang kompleks di negeri Selangor, pusat ekonomi negara.

Kesimpulan

Tengku Zafrul dalam kenyataannya menyebut bahawa ia merupakan hak individu beliau untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Ini menjadi antara sebab beliau “berhasrat” keluar daripada UMNO. Perkara ini sebenarnya dapat dilihat berikutan kedudukan beliau seolah-olah tidak lagi dihargai di dalam UMNO bermula daripada peletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor selepas tidak dibenarkan bertanding di DUN Kota Raja oleh pihak tertinggi UMNO walaupun beliau merupakan Ketua Bahagian Kota Raja. Perkara ini ditambah lagi dengan jawatan beliau sebagai senator kini berada di penghujungnya yang menggesa beliau melakukan sesuatu untuk kekal relevan dalam politik tanah air.

Rata-rata pemimpin tertinggi UMNO mencemuh tindakan Tengku Zafrul, Naib Presiden UMNO. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai contoh menyatakan bahawa politik bukan tempat untuk bermanja-manja dan mengharapkan keistimewaan tertentu. UMNO Selangor pula menyifatkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai seorang ahli parti yang tidak berprinsip dan mempunyai ketegasan dalam mempertahankan pendirian. Tidak kurang juga, ada yang mengatakan beliau seolah-olah mendapat keistimewaan tertentu kerana hubungan baik dengan istana.

Namun sebenarnya, polemik atau desas desus ini masih berada di peringkat awal, dengan banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum sebarang perubahan besar berlaku. Adakah Langkah Kajang 2.0 ini akan berjaya seperti yang dirancang, atau akan menjadi satu lagi episod rumit dalam landskap politik Malaysia? Hanya masa akan menentukan sama ada percaturan ini akan mengukuhkan kedudukan politik PKR di Selangor atau mencetuskan reaksi tidak terjangka daripada rakyat dan pemimpin politik lain.

Picture of Izzat Tuan Ibharim

Izzat Tuan Ibharim

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh