Lambakan Kereta Terpakai Bawa Padah

Menurut laporan Mordor Intelligence, pasaran kereta terpakai di Malaysia dianggarkan bernilai USD 25.14 bilion (RM 112.35 bilion) pada tahun 2024. Jika kita ambil purata sebuah kereta terpakai berharga RM10,000, terdapat lebih 11 juta kereta terpakai yang dipasarkan menerusi pelbagai kaedah seperti stor fizikal dan portal atas talian (online marketplace). Lambakan ini menggambarkan perubahan sikap pembeli dan adaptasi pasaran terhadap permintaan mereka.

Faktor Lambakan

Hari ini pembeli mempunyai banyak pilihan kerana jenama-jenama baharu bersaing dalam memberikan tawaran dan promosi yang menarik. Pembeli juga berpeluang untuk membuat tempoh pembiayaan sewa beli yang panjang sehingga 9 tahun, menjadikan kadar bayaran bulanan yang mampu milik.

Namun disebabkan daya ketahanan kenderaan sekarang yang rendah, pembeli perlu menanggung kos baik pulih yang tinggi sebaik sahaja tempoh jaminan (warranty) tamat. Akibat enggan mengeluarkan belanja dan hanya menghantar kenderaan ke pusat servis, akhirnya pemilik kenderaan menjual kereta lama mereka dan membeli yang baharu. Pusat kenderaan terpakai pula menjual semula pada harga yang tidak jauh daripada harga kereta baharu, menjadikan kereta terpakai tidak laku dan tersadai untuk tempoh yang panjang.

Alternatif Yang Ada

Keterujaan pengguna untuk sentiasa membeli kenderaan baharu membawa kepada pencemaran alam sekitar kerana pembuatan kereta menggunakan sumber dan tenaga yang tinggi. Maka, kerajaan dan pemain industri perlu mengambil langkah inovatif bagi menangani isu ini.

Jika kereta terpakai dijual pada harga yang rendah sekalipun, pengguna terpaksa menanggung insurans yang tinggi selain perlu kerap dihantar untuk pemeriksaan berkala. Tindakan mengeksport kereta terpakai ke negara dunia ketiga – seperti yang pernah dilakukan oleh negara maju suatu ketika dahulu – pula bukan solusi praktikal kerana model pemanduan sebelah kanan (RHD) hanya ada pasaran yang kecil.

Ambil Langkah Berani

Pada tahun 2009, suatu polisi ingin diperkenalkan iaitu Vehicle End of Life yang memerlukan pemilik kenderaan berusia lebih 15 tahun untuk membuat pemeriksaan kenderaan sebelum memperbaharui cukai jalan. Tetapi polisi berkenaan gagal dilaksanakan pada 2014 kerana mendapat tentangan awam.

Begitu juga pada tahun 2015, Institut Automotif Malaysia (kini dikenali sebagai MARii) mencadangkan skim Cash For Clunkers. Pemilik kenderaan berusia 10 tahun dan ke atas layak mendapatkan rebat sehingga RM5,000 apabila mereka memperdagangkan kenderaan lama dengan yang baharu daripada jenama tempatan. Namun sekali lagi cadangan ini terkubur.

Kesimpulan

Oleh itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula kedua-dua polisi tersebut dengan membuat sedikit penambahbaikan yang mengambil kira respon rakyat.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh