,

Krisis Gaji Rendah

Gaji rendah, terus membelenggu graduan universiti dalam pasaran buruh. Ditambah pula, kesan pandemik COVID-19 yang lalu turut mengakibatkan ramai dikalangan pekerja hilang pekerjaan atau menukar pekerjaan. Bukan itu sahaja, kepesatan pembangunan serta peralihan negara ke Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) juga dijangka mengubah landskap sebahagian besar pasaran buruh.

Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap analisis data satu dekad dari tahun 2010 hingga 2020 yang dikeluarkan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) oleh Khazanah Research Institute (KRI) untuk membantu graduan baharu mendepani cabaran dalam pasaran buruh ini.

Secara umumnya, jumlah keluaran tahunan graduan tempatan melebihi 200,000 orang. Namun, hanya separuh daripada mereka direkodkan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh setahun setelah menamatkan pengajian. Kerajaan harus sedar, kadar pengangguran 3.6 peratus yang telah dicatatkan pada Disember 2022 yang lalu bukanah kadar yang kita boleh banggakan, kerana jumlah penganggur dipasaran kini masih diparas yang tinggi mencecah 600,000 orang.

Meskipun peratusan graduan belum bekerja dalam tempoh setahun selepas menamatkan pengajian menunjukkan trend menurun, daripada 27 peratus pada 2010 kepada 14 peratus pada 2019, namun angka ini tidak menggambarkan keberhasilan pasaran buruh dalam kalangan graduan baharu.

Data yang dikumpulkan KRI juga jelas menunjukkan dalam tempoh sedekad, lebih separuh daripada graduan hanya memperoleh gaji permulaan di bawah RM1,500, sekaligus menunjukkan kelembapan pertumbuhan gaji permulaan bagi graduan. Strategi graduan untuk kerap menukar pekerjaan ataupun melakukan lebih daripada satu pekerjaan dalam satu masa juga menunjukan hasil yang negatif kerana mereka masih memperoleh pendapatan rendah di bawah RM2,000.

Ketidakstabilan pasaran buruh juga menyebabkan semakin ramai graduan memilih bekerja sendiri berbanding ‘makan gaji’. Meskipun pilihan untuk bekerja sendiri lebih membuka peluang kepada graduan memperoleh pendapatan lebih lumayan teruatama melalui bidang keusahawanan, namun majoriti graduan menyatakan bahawa pilihan ini hanyalah bersifat sementara akibat tidak mendapat peluang pekerjaan yang selayaknya. Pilihan ini juga diambil bertujuan mengelakkan mereka terus menjadi pengganggur.

Analisis yang dijalankan KRI turut menunjukkan perbandingan peratusan graduan wanita belum bekerja sebaik menamatkan pengajian lebih tinggi berbanding graduan lelaki. Setiap tahun, sekurang-kurangnya satu pertiga graduan baharu terlebih layak untuk pekerjaan mereka. nnPeratusannya lebih tinggi dalam kalangan wanita walaupun lebih ramai graduan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai ijazah. Bahkan, graduan wanita kebanyakannya mendapat tempat dalam pekerjaan kurang berkemahiran menyebabkan mereka terperangkap dengan gaji permulaan lebih rendah.

Situasi berbeza pula dihadapi graduan dengan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Jika dahulu, bidang TVET sering kali dianggap bidang tidak penting dan tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang berkualiti, namun kini semakin ramai masyarakat terutama anak muda percaya bidang ini mampu menjanjikan masa depan yang lebih cerah.nnInstitusi-institusi yang menawarkan pembelajaran kemahiran TVET ini terus tumbuh bak cendawan. Tahap pembelajaran yang ditawarkan juga terus berkembang dari sijil kemahiran hinggalah ijazah sarjana muda. nnKini, TVET juga terus dilihat menjadi fokus kerajaan sebagai suatu bidang utama selari dengan perkembangan IR 4.0. Bukan itu sahaja, keberhasilan dalam kalangan graduan baharu TVET juga adalah lebih baik dimana terdapat peningkatan dalam kalangan mereka mendapatkan pekerjaan sepanjang satu dekad lalu, daripada 49 peratus pada 2010 kepada 66 peratus pada 2020.

Namun, perkembangan bidang pengajian TVET negara turut berhadapan cabaran gaji permulaan yang rendah dan terhad kepada pekerjaan separa mahir. Hal ini disebabkan majoriti graduan TVET hanya mempunyai kelayakan diploma dan sijil kemahiran. Justeru, isu gaji rendah juga menjadi cabaran utama yang terus mencengkam graduan dengan 90 peratus graduan TVET masih memperoleh gaji di bawah RM2,000.

Justuru, kerajaan harus lebih peka bahawa di sebalik kadar kebolehpasaran tinggi seperti dilaporkan Kajian Pengesanan Graduan setiap tahun, isu keberhasilan graduan harus dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kejayaan mendapatkan pekerjaan semata-mata. Tumpuan serius harus diberikan terhadap pewujudan pekerjaan berkemahiran dengan gaji wajar dan bermaruah kepada tenaga kerja terutama graduan-graduan baharu.

Langkah proaktif dan berani juga harus diambil kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengenalpasti dan memansuhkan bidang-bidang pengajian yang sudah tidak menjadi keutamaan di pasaran buruh pada masa hadapan. Kerajaan harus sedar bahawa mejoriti graduan yang menganggur adalah mereka yang mempunyai tahap pengajian ijazah sarjana muda dan keatas. nnKajian TERAJU yang memetik sumber statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 mendapati jumlah siswazah menganggur sebanyak 202, 400 orang dengan hanya 27 peratus graduan sahaja yang berjaya mendapat pekerjaan. Manakala, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang dilaporkan Kajian Pengesanan Graduan TVET 2020 oleh KPT adalah sebanyak 87 peratus.

Meskipun isu kebolehpasaran graduan dalam pasaran buruh bukanlah objektif utama penubuhan universiti, namun sekiranya masalah ini terus dibiarkan, tidak mustahil jumlah kemasukan pelajar ke universiti akan terus berkurang. Kelak, para graduan bukan hanya terpaksa dibebani hutang pinjaman pelajaran PTPTN, malahan perlu bekerja dibawah gaji minimum atau menjadi penganggur.

Kewujudan Majlis TVET Negara (MTVET) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia adalah satu langkah proaktif yang baik dalam membawa jenama TVET ini terus mendapat perhatian masyarakat. Namun, usaha ini harus diperkasa dengan lebih jitu dengan memberikan penyelesaian terhadap isu gaji permulaan yang bermaruah dan pembelajaran kemahiran yang berkualiti bertepatan dengan keperluan pasaran semasa.

Selain itu, kerajaan juga harus mempunyai ‘political will’ mengeluarkan belanja yang bersesuaian kepada institusi-institusi yang menawarkan pengajian TVET menyediakan jentera dan peralatan yang mempunyai kualiti dan standard yang sama seperti yang sedang diguna pakai dalam pasaran. Ini membolehkan graduan TVET yang bakal besaing di pasaran buruh akan datang ini mempunyai ilmu dan kepakaran yang bertepatan dengan keperluan semasa seterusnya melayakkan mereka dibayar dengan imbuhan yang lebih baik.

Hafizudin Yahaya,

Penyelidik YSL,

(Portfolio Pendidikan dan Sumber Manusia)

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN