Konflik India-Pakistan: Pergolakan Dua Negara, Risiko Global

India dan Pakistan, kembali mencetuskan kebimbangan dunia apabila konflik bersenjata meletus di wilayah Kashmir. Ketegangan ini yang berpunca daripada serangan berdarah di Pahalgam, Kashmir yang mengorbankan 26 pelancong India sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata rentas sempadan yang melibatkan ketenteraan, serangan udara, dan mengorbankan banyak jiwa. Dari sudut sejarah, konflik antara India dan Pakistan berpunca daripada isu perebutan wilayah Jammu dan Kashmir yang berlarutan sejak kemerdekaan dan sejak daripada beberapa siri peperangan tercetus

India VS Pakistan: Faktor Pergeseran

Pada 22 April 2025, satu serangan bersenjata telah berlaku di kawasan pelancongan Pahalgam di wilayah Kashmir yang ditadbir oleh India, mengakibatkan kematian 26 orang pelancong, termasuk 25 warganegara India dan seorang warga Nepal. Kerajaan India menyalahkan kumpulan militan The Resistance Front (TRF) yang didakwa mempunyai kaitan dengan Lashkar-e-Taiba (LeT), sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Pakistan. Kerajaan Pakistan bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam insiden tersebut.

Sebagai tindak balas, pada 7 Mei 2025, India melancarkan operasi ketenteraan berskala besar yang dinamakan “Operasi Sindoor”, dengan melaksanakan sembilan lokasi di wilayah Pakistan, termasuk Punjab dan kawasan Kashmir yang berada di bawah pentadbiran Pakistan. India menyasarkan serangan ke atas “infrastruktur pengganas” di Pakistan dan tiada fasiliti ketenteraan Pakistan yang menjadi sasaran. Menurut pihak berkuasa Pakistan, sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dalam serangan peluru pandu dan tembakan oleh India.

Pakistan mengutuk serangan tersebut dan mendakwa serangan tersebut mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak malah dua buah masjid musnah dalam serangan tersebut. Sebagai tindak balas, Pakistan mendakwa akan membalas serangan tersebut dengan melancarkan operasi Bunyan Marsoos yang menyasarkan beberapa lokasi ketenteraan

Diplomasi atau Konflik?

Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru agar kedua-dua negara berjiran tersebut mengelakkan konfrontasi ketenteraan. PBB itu menyatakan kebimbangan mendalam terhadap operasi ketenteraan India merentasi Garis Kawalan (Line of Control) dan sempadan antarabangsa dengan Pakistan. Garis Kawalan tersebut ditetapkan oleh PBB sebagai  garis sempadan sementara India – Pakistan  pada tahun 1949 yang membahagikan Kashmir kepada dua bahagian.

Sekiranya konflik bersenjata yang  berterusan ia akan memberi kesan langsung kepada keselamatan penduduk awam di kawasan sempadan iaitu Jammu, Srinagar, Amritsar (India) serta Lahore (Pakistan). Insiden ini turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa iaitu negara anggota G7. G7 telah menyeru agar kedua-dua negara menamatkan konflik tersebut dan mengambil pendekatan diplomatik sebagai jalan perdamaian. Rusia menawarkan peranan sebagai perantara (mediator)  bagi meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan serantau. 

Impak Geopolitik:Dunia Gelisah, Ekonomi Terjejas

Sekiranya konflik antara India dan Pakistan terus berpanjangan tanpa penyelesaian diplomatik, ia berpotensi mencetuskan ketidakstabilan geopolitik yang lebih luas di Asia Selatan. Ketegangan ini akan terus melemahkan kerjasama serantau, khususnya Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC). Dalam masa yang sama, peningkatan perbelanjaan ketenteraan dan senjata akan memperlihat peralihan dasar luar kedua-dua negara daripada agenda pembangunan kepada agenda keselamatan, sekali gus membebankan sumber ekonomi negara.

Selain itu, konflik ini turut menimbulkan ancaman terhadap kestabilan laluan perdagangan maritim di Lautan Hindi. Lautan Hindi yang merupakan salah satu laluan utama perdagangan global seperti komoditi dan barangan perindustrian. Sebarang gangguan terhadap kawasan tersebut akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara-negara Asia Timur dan Timur Tengah, memandangkan. 

Kesimpulan

Dalam konteks ini, ketegangan antara India dan Pakistan bukan sahaja menjejaskan keselamatan serantau, malah berpotensi menggugat keseimbangan dan kestabilan ekonomi global. Dalam kemelut ini, penyelesaian melalui diplomasi dan rundingan perlu diutamakan demi keamanan negara dan kestabilan global.

Picture of Masitah Ismail
Masitah Ismail
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan