Kerugian Banjir Cecah RM1 bilion, Sektor Pertanian Turut Tempias

Bencana banjir di negara ini seolah-olah menjadi acara tahunan terutamanya ketika musim tengkujuh seperti yang sedang dialami beberapa negeri ketika ini. Saban tahun negara kita terpaksa menanggung kerugian yang yang besar hanya untuk mengembalikan negara kepada keadaan sedia kala.

Sampai Bila Nak Tanggung?

Tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 memaklumkan negara kerugian RM755.4 juta akibat banjir pada tahun 2023 atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal. Nilai kerugian tersebut meliputi kerosakan tempat kediaman sebanyak RM168.3 juta, kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta) dan pembuatan (RM10.3 juta), kerugian industri pertanian (RM120.6 juta) serta aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).

Menyentuh anggaran kerugian akibat banjir pada tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan ia boleh mencecah hampir RM1 bilion. Sekiranya mengambil kira kos ditanggung kerajaan untuk menggerakkan anggota dan aset agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kos kerugian ini sudah tentunya akan menjadi lebih tinggi.

Jumlah itu adalah satu angka yang sangat besar dan merupakan satu kerugian jika tiada langkah lestari jangka panjang diambil kerajaan Persekutuan untuk mengurus bencana banjir.

Sektor Pertanian Teruk Terjejas

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan jumlah kerugian sektor pertanian, termasuk kerosakan tanaman padi serta sayuran, akibat banjir di Kelantan mencecah kira-kira RM16 juta setakat ini. Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah sebenar kerugian dijangka meningkat setelah bancian akhir dilakukan pascabanjir.

Beliau juga memaklumkan bahawa kebanyakan tanaman padi ditenggelami banjir itu sudah hampir hendak dituai, dan situasi berkenaan boleh mengakibatkan kekurangan bekalan beras. Malahan, situasi kemarau panjang dilalui sebelum musim banjir ini menyebabkan pengurangan 4% hasil keluaran beras negara. Bencana banjir kali ini sekali lagi menambah lagi kekurangan bekalan berkenaan. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara disebabkan negara masih bergantung pada beras import. Lima jajahan yang terjejas ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Tumpat.

Kerajaan negeri Kedah pula menjangkakan kerugian yang ditanggung akibat banjir sebanyak RM12 juta. Negeri Perlis juga menghadapi musibah kemusnahan tanaman padi yang diusahakan hampir 1,000 petani di sekitar kawasan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM5 juta. Rata-rata negeri yang menerajui sektor pertanian ini seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis semuanya menghadapi musibah banjir sekaligus mengancam sektor keterjaminan makanan.

Kesimpulan

Pun begitu, jumlah kerugian keseluruhan disebabkan bencana banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur masih belum dapat dianggarkan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa agensi berkaitan sedang menilai kerugian disebabkan kerosakan harta benda, pertanian, infrastruktur dan sebagainya memandangkan situasi banjir belum pulih sepenuhnya. 

Pendekatan seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) atau Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang objektif utama pembinaannya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir perlu diambil berat oleh kerajaan. Biarpun kos membina projek mega sebegini mungkin mencecah berpuluh bilion ringgit, namun dalam jangka panjang ia lebih rendah daripada keseluruhan jumlah kerugian yang perlu ditanggung saban tahun.

Picture of Izzat Tuan Ibharim

Izzat Tuan Ibharim

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh