Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) kini dalam kerangka mewujudkan satu kawal selia media baharu dijangka dibentangkan dalam parlimen pada sesi akan datang dan mula dikuat kuasa pada 1 Januari tahun depan. Di bawah kerangka tersebut, semua penyedia platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini seperti TikTok, Meta iaitu pengendali Facebook, Instagram, WhatsApp, Thread, X dan juga Telegram dikehendaki memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut SKMM, kerangka kawal selia ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang mahu semua perkhidmatan media sosial mematuhi undang-undang Malaysia. Tujuannya adalah bagi memerangi jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah akta yang sama. Tempoh sah untuk lesen pula adalah satu tahun daripada tarikh pendaftaran dan Penyedia Perkhidmatan perlu memohon semula setiap tahun.
Jika berlaku pelanggaran syarat lesen dan keperluan tatalaku, MCMC mempunyai hak untuk mengambil tindakan iaitu amaran pentadbiran, pengeluaran arahan pematuhan untuk membetulkan pelanggaran, mengenakan penalti sivil atau pengkompaunan kesalahan. Dalam kes pelanggaran yang lebih berat, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform Penyedia Perkhidmatan tersebut termasuklah membatalkan lesen dan memulakan pendakwaan.
Di sebalik alasan yang diberikan oleh kerajaan, timbul beberapa persoalan yang perlu jelaskan kepada rakyat sebelum perkara ini dikuatkuasa. Apatah lagi selepas kerangka baharu ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengamal undang-undang yang menyifatkan ia bukanlah jalan penyelesaian bagi membanteras jenayah siber sebaliknya dilihat sebagai alat yang bakal digunakan kerajaan.
Sekat mulut pengkritik
Sebuah badan pengamal undang-undang, Lawyers For Liberty (LFL) mengkritik tindakan kerajaan dengan mendakwa alasan kerajaan untuk menetapkan lesen itu
tidak akan membawa kepada hasil yang diharapkan. Menurut penasihatnya Eric Paulsen, tidak ada sebab sama sekali untuk berfikir bahawa pelesenan atau perundangan media sosial yang dicadangkan ini juga tidak akan disalahgunakan. Tambahan lagi, undang-undang ini dilihat cenderung untuk menjadi ‘draconian’ dan digunakan sebagai senjata kerajaan bagi menyiasat dan mendiamkan pihak yang mengkritik seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Beliau juga mempersoalkan bahawa kerajaan sebelum ini menjanjikan akan memansuhkan undang-undang zalim seperti ini dalam manifestonya, namun apa yang berlaku sekarang, mereka pula yang menggubalnya.
Badan-badan lain seperti Centre for Independent Journalism (CIJ), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Artikel 19 juga dilihat senada dengan mencadangkan agar kerajaan menangguhkan dahulu keputusan itu dan mewujudkan satu majlis media sosial untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh.
Penganalisis politik dan Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mempersoalkan tindakan kerajaan dan menyatakan keyakinan sekiranya ahli parlimen kerajaan sekarang masih dalam kedudukan pembangkang, kemudian kerajaan mengumumkan untuk menggubal undang-undang ini, mereka juga akan membantah. Beliau turut mempersoalkan sekiranya bertukar kerajaan tidak mengira siapakah yang duduk di tampuk kerajaan, apakah jaminan bahawa perkara ini tidak disalahgunakan. Walau bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa perlu ada undang-undang terhadap perkhidmatan media kerana platform terbabit terlalu bebas dan tidak terkawal yang perlu dikaji semula.
Kesan terhadap e-dagang
Walaupun kerangka tersebut dijangka hanya memberi kesan langsung kepada penyedia media sosial, masih ada kesamaran sama ada platform e-dagang yang berpaut kepada platform media sosial dikira sebagai entiti yang sama atau berasingan. Antara platform yang popular digunakan oleh usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhara (PMKS) ialah TikTok Shop, Shopee dan Facebook Marketplace. Kaedah penggabungan kandungan dan perdagangan menerusi siaran langsung, video dan iklan secara autonomi menjadi satu cara rakyat Malaysia mencari rezeki.
Perlu diingat bahawa usahawan PMKS merupakan peratus terbesar peniaga di Malaysia dengan jumlah lebih 78%. Kerangka baru yang menyasarkan kawalan berlebihan terhadap penyedia media sosial yang juga platform e-dagang ini sekaligus bakal memberi kesan kepada mata pencarian usahawan PMKS seterusnya memberi kesan negatif kepada perniagaan mereka.
Selain itu, keperluan pelesenan ini bakal menyebabkan pertambahan terma dan syarat yang dikenakan kepada penjual yang ingin berdaftar di bawah platform tersebut dan menjadi beban tambahan kepada penjual. Ini secara tidak langsung membantut minat untuk berniaga dalam kalangan usahawan.
Perolehan lesen ini memerlukan bayaran tertentu, dan penyedia perkhidmatan juga perlu mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Syarat-syarat ini mungkin memerlukan penyedia perkhidmatan untuk melakukan pelaburan tambahan dalam sistem keselamatan atau kepatuhan undang-undang yang seterusnya boleh meningkatkan kos operasi keseluruhan. Wujud kebimbangan dengan peningkatan kos keseluruhan ini, akan ada kenaan bayaran kepada penjual bagi menampung kos tersebut.
Walaupun Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi dikatakan bertujuan untuk mengawal selia industri yang kompleks dan pesat berkembang, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh kerajaan. Keseimbangan antara perlindungan kawal selia dan hak kebebasan bersuara adalah amat penting agar terus menyokong ekonomi digital tanpa menyekatnya.
Benar negara-negara maju seperti United Kingdom, Ireland dan Singapura juga mempunyai undang-undang yang mengawal selia perkhidmatan dalam talian, tetapi bukan dalam bentuk pelesenan kepada Penyedia Perkhidmatan seperti yang diperkenalkan di negara kita. Maka, penting bagi pihak kerajaan dan penggubal dasar untuk meneliti rang undang-undang yang akan dibentangkan ini agar mencapai tujuan yang dihasratkan tanpa menjadi senjata kepada pihak-pihak tertentu.
Sumber: harakahdaily