Keperluan Mengubah Pengelasan Pendapatan Isi Rumah

Pengelasan pendapatan isi rumah di Malaysia telah lama dibahagikan. Ia bertujuan merangka dasar ekonomi dan sosial yang lebih bersasar terutamanya untuk menyalurkan bantuan dan subsidi kerajaan kepada golongan sasaran. Kerajaan pada mulanya mengelaskan pendapatan kepada 3 kategori iaitu B40, M40 dan T20, namun akibat beberapa kekangan yang timbul, YB Menteri Ekonomi mengumumkan pengelasan ini akan dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.

Melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kerajaan menegaskan bahawa pengelasan ini memerlukan kajian semula untuk memastikan ia lebih bersesuaian dengan realiti ekonomi semasa. Berdasarkan kenyataan Khazanah Research Institute (KRI), pengelasan isi rumah mengikut pendapatan sebelum ini tidak relevan kerana ia tidak mengambil kira saiz isi rumah. Sebagai contoh, dua keluarga yang mempunyai pendapatan yang sama tetapi berbeza saiz isi rumah mungkin menghadapi kos sara hidup yang sangat berbeza. Oleh itu, pengelasan ini tidak mencerminkan beban kewangan yang sebenar. Kerajaan berjanji untuk mencari pendekatan baharu yang lebih tepat dalam menilai pendapatan dan beban isi rumah. Pendekatan baharu ini diharapkan dapat memperhalusi pemberian bantuan kerajaan, memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat di seluruh negara.

Pengumuman Bajet 2025 telah menarik perhatian ramai apabila YB Menteri Kewangan memperkenalkan istilah T15, yang merujuk kepada golongan “maha kaya”. Menurut Balanjawan 2025, golongan ini tidak layak untuk menerima beberapa subsidi yang diberikan oleh kerajaan, seperti subsidi pendidikan, penggunaan elektrik, dan petrol. Perubahan ini mencetuskan perdebatan dan reaksi negatif dalam kalangan rakyat kerana kerajaan dilihat gagal untuk mentakrifkan dan memperincikan kriteria yang jelas bagi golongan T15 sebelum bajet diumumkan.

Cabaran yang Dihadapi oleh Isi Rumah Berpendapatan Tinggi

Jadual 1: Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022 (DOSM)

Berdasarkan jadual 1, Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ia memberikan gambaran yang lebih mendalam tentang purata pendapatan isi rumah di negara ini. Berdasarkan laporan tersebut, purata pendapatan kasar bulanan bagi golongan berpendapatan tinggi di Malaysia adalah RM11,820.00. DOSM mendefinisikan isi rumah sebagai seseorang atau sekumpulan individu yang tinggal bersama dan berkongsi peruntukan untuk keperluan harian seperti makan, perbelanjaan utiliti, dan lain-lain.

Purata pendapatan RM11,820.00 ini menjadi titik rujukan untuk mendefinisikan golongan berpendapatan tinggi, namun tidak mengambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi beban kewangan isi rumah seperti jumlah tanggungan anak, kos pendidikan, dan kos penjagaan kesihatan. Ini menjelaskan bahawa pendapatan kasar semata-mata bukanlah indikator yang tepat untuk menilai tahap kesejahteraan isi rumah di Malaysia.

Walaupun golongan berpendapatan tinggi, seperti yang ditakrifkan dengan purata pendapatan RM11,820.00, dianggap kaya, namun mereka masih menghadapi cabaran ekonomi yang ketara. Kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Putrajaya, dan George Town, menyebabkan perbelanjaan bulanan golongan ini terus meningkat. Mereka juga berhadapan dengan komitmen kewangan seperti yuran pendidikan anak, bayaran pinjaman perumahan, kenderaan, dan perbelanjaan bulanan seperti bil utiliti, yang mengakibatkan mereka berdepan dengan tekanan kewangan meskipun berpendapatan tinggi.

Faktor-faktor lain seperti peningkatan kos perubatan, kenaikan harga barangan asas, serta peningkatan kadar cukai pendapatan turut menyumbang kepada beban kewangan golongan T15. Dengan peningkatan kos sara hidup yang mendadak, pendapatan yang dianggap tinggi tidak lagi menjamin kehidupan yang selesa.

Rasionalisasi Pengenalan T15

Pengenalan golongan T15 sebagai kategori khusus untuk golongan kaya perlu dilihat secara kritikal. Kerajaan telah memperkenalkan pengelasan ini bagi memastikan golongan berpendapatan tinggi yang benar-benar kaya (iaitu “maha kaya”) dikenalpasti dengan lebih tepat. Tujuannya untuk memastikan dasar ekonomi seperti subsidi, pelepasan cukai, dan bantuan kewangan dapat disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan, bukan lagi kepada golongan T15.

Namun, pengelasan ini perlu dibuat berdasarkan data yang tepat. Misalnya, kos sara hidup yang berbeza mengikut lokasi geografi perlu diambil kira, selain saiz isi rumah dan komitmen kewangan seperti tanggungan keluarga. Pengelasan yang lebih terperinci seperti ini dapat membantu kerajaan merangka dasar yang lebih inklusif dan adil.

Pengelasan pendapatan yang lebih spesifik juga membantu mengelakkan ketidakseimbangan dalam pemberian bantuan. Sebagai contoh, golongan M40, yang sebelum ini berada di pertengahan spektrum pendapatan, mungkin tidak menikmati banyak bantuan kerajaan walaupun mereka turut terkesan oleh kenaikan kos sara hidup. Pengelasan yang lebih teliti membolehkan bantuan disalurkan secara lebih efektif kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, termasuk golongan yang berada di hujung spektrum M40 atau T15 yang mempunyai komitmen kewangan yang besar.

Selain itu, pengelasan pendapatan ini memberi implikasi terhadap dasar fiskal dan monetari negara. Dasar seperti pengecualian cukai, subsidi bahan api, dan bantuan tunai perlu diteliti semula agar mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat. Kerajaan juga perlu memastikan bahawa dasar ini tidak menambah beban kepada golongan berpendapatan tinggi yang sebenarnya terdedah kepada cabaran kos hidup yang sama seperti golongan berpendapatan rendah.

Kesimpulan

Pengelasan pendapatan isi rumah di Malaysia sedang melalui perubahan yang signifikan. Langkah kerajaan untuk menilai semula pengelasan B40, M40, dan T20 adalah penting bagi memastikan dasar-dasar ekonomi lebih relevan dengan realiti kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Pengenalan kategori T15 sebagai golongan “maha kaya” adalah langkah ke arah pengelompokan yang lebih tepat, namun ia harus disokong dengan definisi dan kriteria yang jelas. Dalam jangka masa panjang, pengelasan pendapatan yang lebih tepat akan membantu kerajaan untuk merangka dasar yang lebih adil dan inklusif, memastikan kebajikan semua golongan pendapatan dijaga dengan baik.

Picture of Masitah Ismail

Masitah Ismail

Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh