Kepengerusian ASEAN 2025: Apakah Ada Hala Tuju Yang Jelas?

Pada tahun 2025, Malaysia mengambil alih tampuk kepimpinan ASEAN, satu kedudukan strategik untuk menangani cabaran geopolitik dan ekonomi di Asia Tenggara. Namun, perbincangan di Malaysia Outlook Conference 2025 anjuran IDEAS baru-baru ini, menunjukkan bahawa Perdana Menteri masih belum menggariskan hala tuju yang konkrit dalam memacu pertubuhan ini. Sudah tiga bulan berlalu, tetapi tema “keterangkuman dan kemampanan” yang diuar-uarkan masih kabur, baik dari segi perancangan mahupun pelaksanaan yang bersifat “groundbreaking”.

Isu utama bukan sekadar pada pemilihan tema, tetapi ketiadaan kerangka tindakan yang praktikal. Apakah dasar spesifik bagi merealisasikan kemampanan? Bagaimana keterangkuman akan diterjemahkan dalam menyelesaikan ketegangan serantau atau ketidaksaksama ekonomi? Soalan-soalan ini masih tergantung tanpa jawapan jelas, sedangkan masa untuk Malaysia membuktikan kesungguhan sebagai pemimpin ASEAN kian singkat. 

Ujian Sebenar Kepimpinan Malaysia 

ASEAN kini berdepan pelbagai cabaran serius. Konflik dalaman di Myanmar masih berlarutan, ketegangan di Laut China Selatan terus memuncak, sementara jenayah siber serta penipuan rentas sempadan semakin mengancam kestabilan rantau ini. Namun, pertemuan pertama Menteri Luar Negeri ASEAN di Langkawi lebih kepada mengulangi komitmen sedia ada tanpa pelan tindakan yang jelas.

Di tengah krisis ini, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 tidak boleh cukup “business as usual”. Ia perlu memacu perubahan sebenar agar ASEAN tidak terus dilihat sebagai blok yang lemah dan pasif. Tambahan pula, tahun ini adalah peluang terbaik, dan mungkin terakhir, bagi Malaysia untuk mengangkat ASEAN sebagai sebuah kuasa berpengaruh. Kegagalan hanya akan mencalar reputasi negara dan membiarkan Asia Tenggara semakin terpinggir dalam percaturan geopolitik kuasa besar. 

Perlu Langkah Lebih Tersusun 

Usaha ini memerlukan lebih daripada rundingan rasmi. Ia menuntut pendekatan belakang tabir, dialog tidak formal, dan komitmen yang diterjemah kepada tindakan konkrit. Memang benar, Malaysia telah mempelopori pelbagai forum perbincangan, tetapi kejayaan sebenar hanya akan tercapai apabila wacana keterangkuman dan kemampanan ditransformasikan menjadi pelan tindakan yang konkrit.  

Sebagai contoh, dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi intra-ASEAN, Malaysia boleh mencadangkan ASEAN-BRICS Economic Gateway sebagai platform kolektif. Ini lebih berkesan berbanding membiarkan negara anggota bertindak secara bersendirian. Bagi menangani jenayah rentas sempadan, pendekatan ad-hoc sudah tidak relevan. Malaysia mesti menggubal satu mekanisme serantau yang berkesan seperti ASEAN Joint Task Force yang dilengkapi kuasa penyiasatan dan sistem perkongsian data masa nyata. 

Selain itu, kedudukan ASEAN dalam isu geopolitik, terutama ketegangan di Laut China Selatan dan krisis Myanmar, perlu diperkukuhkan melalui pendirian kolektif yang tegas. Untuk mencapai matlamat ini, kepimpinan negara, termasuk Perdana Menteri dan jentera pentadbiran, perlu memahami secara mendalam nuansa politik dalaman setiap negara anggota serta kepentingan strategik mereka.  

Kesimpulan

Cabaran ini bukan sekadar teori, Malaysia mampu melaksanakannya. Sejarah membuktikan bahawa Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj gigih menyatukan ASEAN sehingga terbentuk kesatuan dengan visi yang jelas pada 1967. Kini, dalam landskap geopolitik yang lebih kompleks, Malaysia perlu menjiwai semangat yang sama iaitu berani menterjemahkan idealisme menjadi kenyataan. 

Jika dahulu pembentukan ASEAN merupakan revolusi diplomatik, maka tahun 2025 harus menjadi detik Malaysia melakar reformasi kedua. Di mana kepimpinan bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi pemacu perubahan yang menggerakkan seluruh Asia Tenggara ke pentas global. Tahniah kepada IDEAS di atas inisiatif mengadakan perbincangan yang kritikal ini. Dengan hala tuju yang jelas dan tindakan yang berani, Malaysia boleh membuktikan kepimpinannya dalam ASEAN sebagai pemacu perubahan sebenar. 

Picture of Hanisah Abd Rahman
Hanisah Abd Rahman
Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh