Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan peningkatan kos ibadah haji yang ditanggung oleh jemaah haji pada tahun 2025 sehingga mencecah 20% bagi kategori B40 dan M40. Peningkatan kos ini menyumbang kepada peningkatan tanggungan jemaah haji dan bantuan kewangan atau lebih popular dikenali dengan subsidi. Perkara ini telah menimbulkan kerisauan dan tekanan kepada rakyat kerana beban yang ditanggung untuk menunaikan haji dalam usia yang produktif meningkat.
TH mundur ke belakang?
Kebimbangan semakin besar wujud kerana kekerapan peningkatan kos ibadah haji gagal diimbangi (offset) dengan kedudukan kewangan dan pelaburan TH. Apabila ini berlaku, jumlah subsidi akan dilihat ‘besar’ berbanding keseluruhan dana yang tersedia.
Jika dibiarkan, ini boleh membebankan golongan B40 dan M40 yang selama ini bergantung kepada TH untuk merealisasikan impian menunaikan ibadah Haji. Langkah sebegini bukan sahaja bercanggah dengan matlamat asal penubuhan TH, tetapi juga berpotensi meningkatkan jurang ketidaksamarataan dalam akses menunaikan ibadah Haji.
Pada asalnya, TH bukan sahaja menguruskan ibadah Haji, tetapi turut menjana pendapatan melalui pelaburan strategik. Namun, peranan ini dihadkan bermula tahun 2019 mengakibatkan kebergantungan kepada dana sedia ada tanpa pertumbuhan baru, sekali gus menyumbang kepada penurunan pulangan pelaburan secara berterusan. Sedangkan, TH sebagai pengurus harta umat Islam memiliki risiko pelaburan amat rendah atau hampir tiada lantaran jaminan yang diberikan kerajaan berbanding badan dana amanah yang lain.
Perlu kembali dengan dasar yang lebih kukuh
Oleh itu, untuk memastikan kelestarian TH, adalah wajar fungsi pelaburannya dipulihkan dan dasarnya diperkukuhkan sebagai langkah memanfaatkan kedudukannya sebagai pengurus dana Islamik. Dengan pulangan yang tinggi, ia dapat mengimbangi (offset) kenaikan kos ibadah haji.
Pertamanya, TH perlu meneruskan aktiviti pelaburan bagi tujuan pemberian pulangan dividen yang tinggi kepada pendeposit khususnya yang melibatkan pendeposit yang menyimpan duit bagi tujuan pelaburan kerana telah selesai menunaikan ibadah haji.
Kedua, supaya TH berupaya untuk terus memberi subsidi kepada jemaah haji yang hanya memerlukan.
Kesimpulan
Tanpa perubahan yang konkrit, kredibiliti institusi ini mungkin terus terhakis. Adakah Tabung Haji mampu bangkit semula, atau akan terus menjadi bayangan kegemilangannya yang lampau? Soalan ini hanya dapat dijawab melalui tindakan, bukan retorik.