Tanggal 9 Disember 2024 bakal menjadi tarikh yang akan diperingati bersempena kematian kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia. Hal ini berikutan Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di mana menurut kerajaan mahu menangani isu-isu seperti kemudaratan dalam talian ke atas kanak-kanak, penipuan, judi dan ucapan kebencian.
Tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai jenayah dan keruntuhan moral semakin disemarakkan dengan penggunaan media sosial dan platform atas talian, namun kebimbangan rakyat dan pembuat dasar terarah kepada penyalahgunaan undang-undang oleh kerajaan bagi kepentingan politik mereka.
Media Sosial Sarang Jenayah
Menurut sebuah pertubuhan antarabangsa ECPAT, seramai 100,000 kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada pengantunan seksual (sexual grooming) dalam talian dan eksploitasi. Selain itu, sindiket penipuan seperti scam pelaburan dan pekerjaan meningkat sehingga 95% pada tahun 2023 berbanding 4 tahun sebelum itu, manakala sejumlah 1,454 kandungan berkaitan ucapan kebencian di media sosial diturunkan dari Januari hingga Mac 2024.
Angka-angka ini cukup merisaukan tatkala kita sedaya upaya untuk membangunkan sebuah masyarakat yang harmoni. Sebarang bentuk kawal selia media sosial dan platform atas talian amat diperlukan untuk mengekang situasi ini daripada menjadi semakin buruk tetapi sekali-kali tidak boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
Besarkan Kuasa Menteri, Kecilkan Suara Rakyat
Antara pindaan utama yang dilakukan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia adalah berkenaan pengemaskinian istilah, penambahan hukuman, peruntukan pengawalseliaan dan pengurusan kandungan.
Istilah seperti “jelik melampau’, “ancaman keselamatan rangkaian” dan “kandungan palsu” boleh ditafsirkan secara luas serta membawa risiko kepada pelaksanaan undang-undang yang tidak konsisten atau berat sebelah. Mana-mana kerajaan yang memerintah pada waktu itu boleh mentafsirkan akta ini mengikut selera mereka dan sudah tentu kepentingan rakyat boleh diperjudikan.
Selain itu, pindaan ini memberikan kuasa besar kepada Menteri dan Suruhanjaya Komunikasi untuk mengeluarkan “suruhan bertulis”, mengenakan penalti atau meminda jadual tanpa pengawasan ketat. Peraturan ketat terhadap kandungan “jelik melampau”, “lucah” atau “mengancam” mungkin digunakan secara subjektif, lalu mengehadkan kebebasan bersuara terutama dalam isu kritikan terhadap kerajaan atau perdebatan awam yang penting.
Kesimpulan
Semakin hari pentadbiran kerajaan Madani yang dipelopori oleh Pakatan Harapan menunjukkan belang mereka yang sebenar. Hakikatnya mereka sendiri tidak pernah jujur dan memilih untuk membawa agenda reformasi bersyarat. Dalam manifesto pilihan raya yang lalu, secara eksplisit dinyatakan pada halaman 44 Pakatan Harapan akan memansuhkan akta zalim dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan salah satu daripada akta yang ingin dimansuhkan.