Isu HRD Corp: KESUMA Berlengah, Salah Tafsir Syor PAC

Kelemahan dalam pengurusan HRD Corp terus menjadi perhatian apabila laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan pelbagai isu, termasuk penyalahgunaan dana dan kelemahan pematuhan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001. Dalam satu kenyataan terbaru PAC pada Isnin di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mewakili pengerusi PAC sekali lagi menegur sikap berlengah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meminda Akta PSMB 2001 walaupun terdapat banyak kelompongan yang perlu diperbaiki. Sim juga dilihat tidak berpuas hati apabila KESUMA menyalah tafsir syor PAC berkenaan arahan menjalankan audit bebas bagi menilai keberkesanan program-program yang dijalankan HRD Corp. Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya besar. Adakah kerajaan serius memperbaiki kelemahan ini, atau sekadar menyapu masalah di bawah karpet?

Mengapa Masih Berlengah?

PAC telah menyerahkan laporan lengkap mengenai kelemahan pengurusan HRD Corp di Dewan Rakyat sejak Julai lalu, dengan beberapa cadangan penting yang memerlukan tindakan segera. Antaranya, cadangan untuk meminda Akta PSMB 2001 bagi meningkatkan ketelusan dan memperkukuhkan pengurusan dana levi HRD Corp.

Namun, sehingga kini, Kesuma masih gagal memberikan jawapan jelas atau melaksanakan sebarang tindakan konkrit. Ini termasuk (1) Mengambil langkah pembaharuan terhadap struktur pentadbiran HRD Corp, (2) Memastikan kebertanggungjawaban pihak terlibat dalam ketirisan dana dan (3) Melaksanakan syor pindaan undang-undang yang diperlukan untuk menutup ruang ketirisan.

Mengulas lanjut, Sim berkata PAC telah mengesyorkan supaya jawatan pegawai undang-undang dan setiausaha syarikat haruslah individu yang berlainan untuk memastikan tanggungjawab berkaitan dapat dijalankan dengan sebaiknya. Ini kerana Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Remunerasi menegaskan bahawa HRD Corp masih mengekalkan struktur semasanya.
PAC dengan jelas menyatakan kekecewaan terhadap sikap Kesuma sambil menyifatkan kelewatan ini sebagai tidak wajar dan tidak profesional. Kelewatan mengambil tindakan ini boleh memburukkan persepsi rakyat terhadap keupayaan kerajaan untuk menangani masalah ini.

Saranan Pac Disalah Tafsir?

Terdahulu, PAC telah mencadangkan Kesuma melantik perunding bebas untuk menjalankan audit forensik mengenai program latihan di bawah HRD Corp. Bagaimanapun, Kesuma dikatakan menyalah tafsirkan sebagai jawatankuasa itu mencadangkan mereka mendapatkan perunding untuk menyemak Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.

Menurut Sim, melalui syor PAC (vii), PAC tidak bermaksud mengesyorkan KESUMA untuk melantik perunding bebas bagi tujuan semakan semula LKAN. Apa yang dimaksudkan PAC ialah melantik perunding bebas untuk melaksanakan pengauditan forensik yang bertujuan melihat keberkesanan program-program latihan yang dijalankan di bawah HRD Corp.

Saranan ini disebabkan aduan wujud kecelaruan yang berlaku dalam pengurusan latihan. Oleh itu, PAC menggesa Kesuma dan HRD Corp melaksanakan syornya dan melaporkan semula kepada jawatankuasa itu.

Kesimpulan

Kesuma tidak boleh terus berlengah dan memberi alasan retorik. Sikap ini bukan sahaja mencemarkan imej kerajaan tetapi juga merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Pindaan Akta PSMB 2001 seperti yang disarankan PAC mesti dilaksanakan tanpa kompromi, bersama dengan reformasi menyeluruh terhadap HRD Corp. Jika tindakan segera tidak diambil, Kesuma hanya akan menonjolkan dirinya sebagai kementerian yang gagal. Kelemahan pengurusan dana awam sudah pasti akan membebankan masa depan pembangunan sumber manusia negara.

Picture of Hafizudin Yahaya

Hafizudin Yahaya

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh