Konflik Iran-Israel dilihat menjadi semakin tegang susulan tindakan melampau negara haram Israel yang menyerang bangunan konsulat Iran di ibu negara Syria mengorbankan tujuh pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) termasuk dua jeneral tertinggi republik itu pada 1 April 2024. Iran dalam respon balas awal menyatakan bahawa serangan tersebut adalah bersifat pengecut dan keji serta melanggar undang-undang antarabangsa yang melarang mana-mana negara menceroboh atau melakukan sebarang serangan dibangunan konsulat.
Berang dengan sikap biadap Israel, Iran mengambil langkah untuk membela diri dan maruah negara dengan melakukan serangan balas dendam terhadap Tel Aviv pada 13 April 2024. IRGC dengan penyelarasan bersama kumpulan Houthi dari Yaman dan Hezbollah di Selatan Lubnan, melancarkan serangan langsung lebih 300 dron dan peluru berpandu dari pelbagai arah ke atas Israel dengan kod nama Operasi Janji Benar.
Menurut jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, serangan tersebut hanya memberi kesan yang minumun serta kerosakan kecil dibeberapa tempat di Israel kerana mejoriti dron dan peluru berpandu Iran berjaya dipintas oleh unit keselamatan tentera Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jordan.
Namun, pemintasan Israel terhadap puluhan peluru berpandu dan dron Iran dipercayai telah menyebabkan kerugian sehingga lima bilion shekel (AS$1.35 bilion) kepada Tel Aviv. Menurut Akhbar Yedioth Ahronoth yang memetik bekas penasihat kewangan kepada ketua kakitangan Israel, Brigadier Jeneral Ram Aminach, berkata ‘kos pertahanan malam 13 April tersebut dianggarkan antara empat dan lima bilion shekel (AS$1.08 hingga AS$1.35 bilion).
Meskipun Iran telah menyatakan ‘Operasi Janji Benar’ serangan balas dendam itu telah tamat dan mencapai objektif, Israel tampak seperti cacing kepanasan dan cenderung mahu mengheret konflik ini kepada perang yang lebih besar. Justeru, pada 19 April 2024, Israel dikhabarkan telah melakukan satu serangan balas dron yang mengegarkan beberapa kawasan di wilayah Isfahan termasuk Natanz yang menempatkan pusat program pengayaan uranium Iran.
Tidak ada mana-mana pihak yang mampu menjamin konflik ini tidak akan berlanjutan dan diheret menjadi perang berskala lebih besar. Menurut Felo Penyelidik Kanan, Asia Middle East Center for Research & Dialogue (AMEC), Dr. Ferooze Ali, regim zionis di ketuai Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu itu akan terus berusaha mencetuskan satu konflik baharu bagi mengubah naratif bahawa rejim Zionis itu sedang melakukan genosid di Gaza.
Tambah beliau, konflik ini merupakan percaturan politik jahat Netanyahu yang bertujuan memberi talian hayat kepada karier politik dan kuasa pemimpin itu di Israel. Beliau kini berdepan penolakan rakyat serta beberapa kes mahkamah melibatkan rasuah dan salah guna kuasa. Justeru, beliau dilihat tiada pilihan selain mengheret konflik ini terus merebak agar negara haram Israel itu perlu sentiasa berada dalam ‘mood’ bersedia untuk berperang.
Kesan Ekonomi
Sementara konflik Iran-Israel masih terkawal, kebanyakan negara dunia belum merasai impak lansung konflik ini meskipun beberapa siri berbalas serangan telah berlaku. Mengambil pengajaran perang Rusia-Ukraine yang masih sedang berlangsung, sikap waspada terhadap impak ekonomi harus diambil serius oleh semua negara termasuk Malaysia.
Iran merupakan anggota pengasas utama Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan memiliki simpanan minyak mentah dan gas asli terbesar di dunia. Produksi dan eksport minyak Iran memainkan peranan penting dalam penentuan harga minyak global, yang secara langsung mempengaruhi ekonomi global.
Selain itu, kedudukan Iran yang terletak di posisi strategik di sepanjang Selat Hormuz, merupakan satu titik transit utama untuk penghantaran minyak global. Lebih daripada 20 peratus minyak dunia di eksport melalui selat ini. Kestabilan dan keberkesan Iran dalam menguruskan akses ke Selat Hormuz akan mempengaruhi pasaran minyak global.
Menurut Ketua Risiko Negara & Perbankan Global Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), Ramona Moubarak, harga minyak mentah dunia boleh meningkat melebihi AS$120 setong jika ada gangguan bekalan yang teruk seandainya situasi di Asia Barat bertambah buruk dengan serangan balas antara Iran dan Israel menjadi besar-besaran. Konflik ini juga dilihat akan menyebabkan peningkatan harga barangan seluruh dunia kerana minyak merupakan faktor logistik penting dalam mengerakkan barang-barang dagangan dan perniagaan.
Dalam konteks pasaran tempatan, peningkatan harga minyak dunia akan memberi kesan positif kepada negara pengeluar minyak bersih seperti Malaysia. Menurut ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sektor minyak dan gas negara dijangka mencatatkan prestasi memberangsangkan kerana harga dijangka akan terus kekal tinggi sekiranya konflik berlanjutan. Tambah beliau, kerajaan dijangka akan meraih kenaikan hasil dari segi nilai eksport minyak mentah tersebut.
Namun, kenaikan harga minyak dunia ini akan memberi kesan langsung kepada harga jualan minyak dalam pasaran negara. Ini kerana, Malaysia juga merupakan negara pengimport bersih barangan petroleum, iaitu bahan api untuk tujuan kegunaan kereta, kapal terbang dan semua jenis produk berasaskan petroleum. Justeru, kerajaan perlu bersedia dengan pelan yang tepat melibatkan subsidi minyak bagi mengimbangi antara ekport minyak mentah dan harga jualan RON 95 dan RON 97 serta Diesel dalam negara.
Selain isu minyak mentah, emas juga dilihat akan menjadi perhatian pelabur memandangkan statusnya sebagai aset lindung nilai apabila ketegangan geopolitik meningkat. Malah prestasi harga logam berharga itu juga kini mengatasi kebanyakan prestasi komoditi lain pada tahun ini dengan meningkat 14 peratus setakat tahun ini, menjejaki rapat kenaikan 18 peratus harga minyak mentah Brent.
CIMB Treasury and Markets Research dalam satu nota penyelidikan bertarikh 15 April 2024 berkata, susulan konflik Iran-Israel baru-baru ini, dunia menyaksikan harga emas melonjak naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60) atau RM360.20 segram.