Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan mengenai keberkesanannya sebagai mekanisme pencegahan jenayah dalam konteks hukum syariah. Ia sebenarnya bukanlah undang-undang baru, namun pelaksanaannya secara terbuka dan sebatan yang lebih patuh syariah menandakan perubahan positif terhadap pendekatan dalam sistem perundangan Islam di negara ini.
Kes Mohd. Affendi Awang, seorang pesalah khalwat berulang itu dijatuhkan hukuman enam kali sebatan patuh syariah di khalayak ramai selepas didapati berkhalwat dengan tiga pasangan berbeza. Hukuman tersebut dijatuhkan di bawah Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Peruntukan Undang-Undang yang Jelas
Perlu difahami bahawa hukuman sebatan yang dilaksanakan di luar penjara adalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah dan enakmen negeri yang relevan. Pelaksanaan ini mestilah mematuhi garis panduan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan pihak berkuasa agama negeri. Ini termasuklah memastikan setiap langkah pelaksanaan hukuman itu memenuhi kehendak maqasid syariah iaitu memelihara kepentingan agama, nyawa dan maruah manusia.
Hukuman sebatan ini bukanlah untuk menghukum secara kejam tetapi lebih kepada mendidik, mencegah, dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga nilai-nilai agama. Hukuman ini juga dijalankan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan dilakukan dengan penuh etika. Contohnya, pegawai perubatan akan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas pelaksanaan hukuman, manakala alat sebatan juga direka khas untuk mengurangkan risiko kecederaan fizikal.
Berkaitan kehadiran khalayak ramai, SOP hukuman telah menetapkan bahawa kehadiran adalah sangat terhad dan tertakluk kepada perintah Mahkamah. Baru-baru ini, hukuman itu hanya terhad untuk 90 orang dan disaksikan oleh pegawai kehakiman syariah, pendakwa syarie orang yang difikirkan patut hadir oleh mahkamah (bergantung kepada budi bicara dan arahan mahkamah dengan mengambil kira sensitiviti dan menjaga maruah semua pihak). Jadi, tidak timbul isu hukuman ini dihadiri khalayak awam secara umum, apatah lagi dalam jumlah besar. Sebaliknya lebih menekankan aspek privasi, pengurusan tertib, dan pematuhan kepada undang-undang. Perkara ini sangat penting untuk memastikan pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang disensasikan.
Begitu juga tempat pelaksanaan hukuman sebatan, di Negeri Terengganu ditetapkan secara rasmi di bawah perenggan 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 di mana antara lokasi yang dinyatakan dalam warta kerajaan Negeri Terengganu ialah Masjid Abidin, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, dan beberapa masjid utama lain di negeri ini.
Penerimaan Masyarakat
Reaksi masyarakat terhadap insiden ini menunjukkan peralihan ke arah penerimaan yang lebih meluas. Rata-rata masyarakat menerima hukuman yang dilakukan ini lebih manusiawi dan mendidik berbanding dengan hukuman sivil. Kelantan, sebagai negeri yang mempunyai enakmen syariah serupa, turut menyuarakan komitmen untuk melaksanakan hukuman sebat terbuka apabila prosedur operasi standard (SOP) diperkemas lagi. Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Asri Mat Daud, memuji Terengganu atas pelaksanaan ini dengan menyifatkannya sebagai langkah mendidik masyarakat secara berkesan.
Namun, terdapat juga kritikan dari badan-badan hak asasi manusia seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Mereka menekankan bahawa hukuman sebat di khalayak ramai kononnya melanggar hak asasi manusia dan prinsip maruah individu mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa, sedangkan hukuman tersebut dibuat berpandukan lunas perundangan yang jelas dan tidak bertentangan dengan kuasa negeri seperti yang dinyatakan dalam Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan mengapa hanya enam kali sebatan, bukankah hukuman zina ialah seratus sebatan? Perlu difahami bahawa apa yang dilakukan ialah hukuman takzir dan bukannya hudud. Hukuman ini ditetapkan oleh pemerintah cara berijtihad. Adapun pembuktian zina melalui hukuman hudud itu sangatlah ketat. Jadi, hukuman di bawah Akta 355 memperuntukan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman tidak melebihi 3 tahun penjara, RM5000 denda dan enam sebatan sahaja.
Tidak kurang juga ada yang menyatakan kononnya hukuman ini akan mengakibatkan Islamofobia. Sepatutnya isu ini tidak perlu timbul kerana kehadiran pihak luar bagi menyaksikan adalah tertakluk kebenaran mahkamah syariah dan lokasi yang ditetapkan adalah di masjid. Maka adalah pasti ia hanya disaksikan oleh orang Islam sahaja dan jelas sekali hukuman tersebut bagi menyedarkan umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama. Selain itu, hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa sebatan syariah sangat berbeza dengan sebatan sivil.
Kesimpulan
Isu persepsi masyarakat progresif dan global perlu dilihat dalam kerangka menghormati perbezaan sistem perundangan dan nilai budaya. Malaysia adalah negara yang unik dengan wujudnya dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah yang secara khusus mengatur hal-hal berkaitan umat Islam. Enakmen syariah di peringkat negeri memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan pelaksanaan hukuman berdasarkan keperluan masyarakat Islam.
Komitmen kerajaan negeri seperti Terengganu dan Kelantan untuk memperkukuhkan pelaksanaan hukum syariah perlu dilihat sebagai satu langkah usaha menegakkan keadilan sosial berlandaskan prinsip Islam. Walaupun berhadapan dengan cabaran, pendekatan ini jika dilaksanakan dengan tertib dan etika, boleh menjadi manifestasi prinsip maqasid syariah dalam konteks semasa. Usaha berterusan seperti ini sangat diperlukan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan mendidik masyarakat, menegakkan keadilan, dan menghormati maruah individu yang terlibat.