Honda-Nissan Bergabung Mengocak Dominasi EV

Kerancakan industri automotif tempatan China telah memaksa gergasi dari Jepun seperti Honda dan Nissan membuat satu tindakan drastik. Eksekutif tertinggi bagi kedua-dua syarikat itu sedang dalam perbincangan untuk bergabung dan berpotensi untuk menjadi kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia dari aspek jualan kenderaan, selepas Toyota dan Volkswagen.

Prestasi Merudum

Bulan lalu, Nissan mengumumkan perancangan untuk membuang 9,000 pekerja dan mengurangkan 20% kapasiti pembuatan global selepas jualan mereka merudum di pasaran utama seperti China dan US. Prestasi ini antara lain disebabkan oleh peralihan Nissan yang perlahan kepada pembuatan EV berbanding pesaing lain, lalu memberi kesan terhadap pegangan pasaran yang semakin menunjukkan kecenderungan kepada kenderaan elektrik.

Honda pula, setelah mencapai kemuncak jualan di China sekitar 1.62 juta kenderaan pada tahun 2020, menjunam secara berterusan sehingga saat ini. Dari tahun 2021 hingga separuh tahun 2024, jualan Honda berkurangan sebanyak 4% hingga 21.5%. Kemaraan BYD serta jenama tempatan lain lebih menyerlah kerana memberi perhatian kepada kereta elektrik dan hibrid yang sarat dengan perisian yang inovatif.

Tindakan Terdesak

Perubahan sikap pembeli yang tidak lagi menjadikan ‘otai lama’ sebagai pilihan kenderaan mereka memerlukan Honda dan Nissan melakukan sesuatu. Honda dengan modal pasaran lebih daripada USD40 bilion manakala Nissan yang dinilai pada sekitar USD10 billion mensasarkan jumlah jualan sehingga JPY30 trillion menerusi penggabungan itu kelak.

Bukan sekadar itu, Mitsubishi Motors di mana Nissan merupakan pemegang saham utamanya turut sedang mempertimbangkan untuk menyertai gabungan Nissan-Honda. Mereka akan menumpukan kerjasama dalam elektrifikasi dan pembangunan perisian, selain menjalankan penyelidikan secara bersama.

Kesimpulan

Tidak dinafikan, pasaran global telah beralih kepada kereta elektrik apabila diunjurkan mencecah 20% daripada keseluruhan jualan kereta pada tahun 2024, berbanding hanya 14% dua tahun sebelum itu. Tiga pasaran utama yang merekodkan permintaan yang tinggi merangkumi China (60%), Eropah (25%) dan Amerika Syarikat (10%).

Keengganan syarikat multinasional Jepun dalam berinovasi perlahan-lahan memakan diri hingga menyebabkan mereka ketinggalan untuk bersaing di pentas global. Jepun berada di kedudukan ke-28 dalam Innovation Indicator 2024, dianggap rendah berbanding negara perindustrian yang lain. Budaya masyarakat mereka yang tidak meraikan risiko dan kegagalan juga mendorong situasi itu, meskipun mereka berbelanja besar dalam penyelidikan.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh