Kerajaan telah mengumumkan bahawa harga lantai padi baharu ditetapkan pada RM1,500 per tan. Walaupun peningkatan ini lebih tinggi berbanding kadar sebelum ini, ia masih berada di bawah kos sebenar yang ditanggung oleh pesawah.
Beberapa kajian ekonomi menyarankan harga lantai yang lebih realistik berada dalam lingkungan RM1,600 hingga RM1,800 per tan metrik bagi memastikan petani memperoleh pulangan yang setimpal dengan usaha mereka. Jika harga lantai tidak dikaji semula secara holistik, dikhuatiri pesawah akan terus berdepan dengan beban kewangan, sekali gus menjejaskan daya maju sektor pertanian padi negara dalam jangka panjang.
Langkah Penyelesaian yang Tidak Holistik
Kerajaan sering menyatakan komitmen terhadap keterjaminan makanan, namun tindakan mereka dalam menangani isu beras dan padi dilihat sebagai bersifat reaktif dan tidak menyeluruh. Perkara ini ditegur Ahli Parlimen Beluran yang menegaskan bahawa dasar-dasar yang bersifat “piecemeal” tidak akan menyelesaikan masalah industri ini secara holistik.
Salah satu isu utama ialah kehilangan beras putih tempatan yang dipercayai dimanipulasi dan dijual semula sebagai beras import dengan harga yang lebih tinggi. Ini membolehkan pihak industri mendapat keuntungan berlipat ganda, sementara pesawah terus dibebani kos yang semakin meningkat tanpa sebarang kelebihan.
Bagi menangani cabaran industri padi secara holistik, beberapa pihak menyarankan agar kerajaan menyediakan satu Kertas Putih khas mengenai industri padi dan beras. Cadangan ini dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berpandangan bahawa hanya melalui analisis menyeluruh dan perancangan jangka panjang, industri ini dapat dipulihkan secara sistematik, sepertimana yang pernah dilakukan dalam kes Felda.
Kertas Putih ini perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk daya saing pesawah, dasar subsidi dan insentif, kawalan harga, mekanisme pengagihan beras, serta strategi penyesuaian terhadap perubahan iklim yang memberi kesan kepada pengeluaran padi. Ia juga harus menilai kedudukan industri dalam konteks ASEAN bagi memastikan daya saing beras tempatan berbanding produk dari negara jiran seperti Thailand dan Vietnam. Pun begitu, perkara ini masih belum mendapat perhatian kerajaan untuk dilakukan.
Pinda Segera Akta Kawalan Padi dan Beras
Kerajaan juga mengumumkan rancangan untuk meminda Akta Kawalan Padi dan Beras bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap pengilang, pemborong, dan peruncit. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan bahawa akta sedia ada masih longgar dan tidak cukup tegas dalam membendung amalan tidak beretika seperti mencampurkan beras tempatan dengan beras import. Namun, persoalan utama yang dibangkitkan ialah mengapa kelemahan ini dibiarkan berlarutan sehingga kini tanpa sebarang langkah tegas diambil lebih awal?
Ketika ini, Akta 522 tidak secara jelas menyenaraikan kesalahan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, sekali gus membuka ruang kepada eksploitasi oleh sesetengah pihak. Dengan pindaan ini, kerajaan berhasrat untuk memperketatkan peraturan serta meningkatkan hukuman ke atas pihak yang terlibat dalam manipulasi bekalan beras.
Jadi ada keperluan segera untuk menguatkuasakan dan meminda undang-undang yang lemah. Perlu diingat bahawa “justice delayed is justice denied”. Keputusan kerajaan untuk melambat-lambatkan pindaan yang boleh menyelesaikan masalah ini boleh dianggap satu ketidakadilan kepada pesawah untuk jangka masa yang panjang.
Kesimpulan
Keberkesanan industri padi dan beras negara bergantung kepada gabungan dasar yang menyeluruh, termasuk penetapan harga lantai yang adil, kawalan kos input pertanian, penyediaan Kertas Putih sebagai pelan strategik jangka panjang, serta pindaan terhadap perundangan yang sedia ada. Namun, dengan rekod kerajaan yang sering gagal menangani masalah ini secara holistik, timbul persoalan sama ada tindakan terkini menaikkan harga lantai padi secara sedikit akan benar-benar membawa perubahan atau sekadar mendiamkan mulut pesawah buat sementara waktu, sedangkan isu utama masih tidak selesai.