Hakisan Pantai Terengganu Semakin Kritikal: Apa Tindakan Kerajaan?

Hakisan pantai di Terengganu kini pada tahap yang kritikal terutamanya di Pantai Mengabang Telipot, Pengkalan Maras dan Batu Rakit. Keadaan ini telah menjejaskan lebih enam buah rumah, jalan raya dan kawasan perkuburan. Sekiranya hakisan pantai in berlaku secara berterusan, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada penduduk setempat dan menjejaskan ekonomi di kawasan tersebut.

Kos Pembinaan Benteng Pemecah Ombak: Anggaran dan Keperluan

Untuk menangani masalah ini, Kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan bantuan segera bernilai RM80,000 bagi membina benteng dan membantu mangsa yang terjejas. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar Bandar Negeri (Pengurusan Bencana), YB Hanafiah Mat, kos pembinaan benteng pemecah ombak dianggarkan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer. Kos ini bergantung kepada spesifikasi serta panjang pantai yang diperlukan untuk melindungi kawasan pesisir yang mengalami hakisan.

Beliau menambah bahawa anggaran peruntukan ini adalah berdasarkan penilaian awal. Walau bagaimanapun, kajian terperinci perlu dilakukan oleh pakar bagi mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi. Kerajaan negeri menganggarkan jumlah kos keseluruhan untuk menyelesaikan isu ini adalah sekitar RM2.4 bilion, melibatkan perlindungan 34 pantai sepanjang 244 kilometer bagi mengelakkan hakisan menjelang musim Monsun Timur Laut. YB Hanafiah Mat turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menampung kos pembinaan benteng ini.

Langkah Hibrid: Penyelesaian Inovatif Mengurangkan Hakisan

Menurut kajian Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), salah satu faktor utama berlakunya hakisan pantai di Terengganu ialah kekurangan pokok di kawasan pantai berbanding negeri seperti Pahang dan Johor. Kekurangan ini menyebabkan garis pantai Terengganu lebih berisiko mengalami hakisan, terutamanya semasa musim monsun.

Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM), menyarankan pelaksanaan Pelan Tindakan Kelestarian Hakisan Pantai Terengganu 2025-2030 yang memberi tumpuan kepada pendekatan bersepadu. Pendekatan ini merangkumi gabungan teknologi moden, konservasi ekologi, dan penggubalan dasar yang dapat menjamin kelestarian persisiran pantai.

Selain itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir, Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi, dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah hibrid untuk menangani masalah tersebut. Pendekatan hibrid ini melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) yang digabungkan dengan pemasangan tukun tiruan. Tukun-tukun tiruan dicadangkan diletakkan secara tersusun di kawasan pesisiran pantai yang berisiko, bagi meminimumkan kesan hakisan.

Kesimpulan

Kerajaan Persekutuan perlu memberikan sokongan kewangan yang signifikan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek mengatasi hakisan pantai di Terengganu. Sokongan ini amat penting untuk mengurangkan risiko kerosakan yang lebih teruk, terutamanya menjelang musim monsun. Selain itu, pandangan dan cadangan pakar harus diambil kira untuk memastikan projek yang dilaksanakan bukan sahaja efektif tetapi juga berkualiti tinggi. Dengan gabungan sokongan kewangan dan input teknikal daripada pakar, usaha melindungi pesisir pantai dapat dilaksanakan secara mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Picture of Masitah Ismail

Masitah Ismail

Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh