Baru-baru ini, Menteri agama Na’im Mokhtar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru berkaitan penglibatan orang Islam dalam acara keagamaan bukan Islam. Namun, rancangan itu terus menerima bantahan keras pelbagai pihak khususnya daripada pemimpin bukan Islam.
Isu ini timbul selepas daripada jawapan bertulis menteri berkenaan menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Ahli Parlimen Permatang Pauh). Muhammad Fawwaz meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan. Soalan itu dipercayai berkaitan kontroversi sambutan Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipimpin Nga Kor Ming.
Menurut Na’im, JAKIM sedang memuktamadkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan serta penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam. Garis panduan ini dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 25 hingga 27 Februari ini.
Kepentingan Garis Panduan
Perlu difahami dalam Islam, terdapat peraturan tertentu mengenai batas pergaulan, khususnya dalam konteks agama. peraturan tertentu mengenai jenis pergaulan dibenarkan, terutama dalam konteks agama dan kepercayaan. Garis panduan ini bertujuan membantu umat Islam, terutama pemimpin, dalam berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam tanpa melanggar syariat dan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang agama.
Ini kerana sesetengah ibadat agama lain mungkin mengandungi unsur bertentangan syariat Islam, maka garis panduan ini sepatutnya membantu umat Islam membuat keputusan majlis atau upacara apa patut dihadiri ataupun tidak.
Selain itu, JAKIM pastinya sudah mempertimbangkan keperluan garis panduan ini berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan, yang menetapkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Prinsip kebebasan ini telah menjadi asas kepada perpaduan kaum dan kestabilan negara selama ini.
Oleh itu, tidak sepatutnya timbul bantahan daripada komuniti bukan Islam terhadap usaha JAKIM dalam menetapkan garis panduan mengenai penglibatan umat Islam dalam acara atau majlis yang melibatkan agama lain.
Bantahan dan Reaksi
Malangnya beberapa pemimpin politik bukan Islam paling kuat mengkritik cadangan ini. Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong mendakwa garis panduan ini akan mewujudkan tembok pemisah antara agama. Presiden MCA, Wee Ka Siong pula berpendapat perkara ini seharusnya dibincangkan dalam Kabinet terlebih dahulu. Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan memberi amaran bahawa garis panduan ini boleh menjejaskan keharmonian kaum.
Selain itu, Sisters in Islam (SIS) mengkritik cadangan garis panduan ini dengan mengatakan ia meningkatkan paranoia dan pengasingan yang merosakkan kepelbagaian kaum. Mereka bimbang dasar ini bukan sahaja menjejaskan umat Islam tetapi juga melanggar hak komuniti bukan Islam, terutamanya dengan menyekat lokasi acara berhampiran masjid, surau, dan tanah perkuburan Islam.
Yang menghairankan di sini ialah pemimpin bukan Islam yang mengglupur menentang cadangan garis panduan baharu daripada JAKIM ini serta bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’ berbanding umat Islam. Sedangkan sasaran JAKIM mewujudkan garis panduan ini adalah khusus untuk orang Islam dan tidak membabitkan orang bukan Islam.
Keputusan Kabinet yang Mengecewakan
Mengecewakan apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kabinet telah membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan Islam. Beliau berkata garis panduan yang dicadangkan itu tidak perlu kerana umat Islam di negara ini sudah tahu batas yang perlu dijaga ketika menghadiri acara perayaan bukan Islam. Namun, yang paling mengecewakan ialah apabila kabinet memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam acara bukan Islam di rumah ibadat mereka, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar yang bermaksud ia bukanlah akan menjadi satu peraturan yang perlu diikuti semua pihak.
Apa yang ingin dibangkitkan di sini ialah, mengapa sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI bermesyuarat dan memuktamadkan isu garis panduan ini, Jemaah Menteri telah mendahului keputusan tersebut dengan menyatakan bahawa garis panduan tersebut tidak bersifat dasar. Tidakkah dengan membuat sedemikian Mesyuarat Jemaah Menteri telah mendahului keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang sepatutnya menjadi rujukan utama untuk isu-isu agama peringkat Persekutuan.
Jadi timbul persoalan, apakah sebenarnya hala tuju kerajaan dalam menjaga prinsip Islam? Ataupun adakah kerajaan hari ini beranggapan bahawa tidak mengapa menggadaikan prinsip Islam demi kepentingan politik? Amat membimbangkan jika garis panduan ini tidak diteruskan, ia boleh menjadi precedent yang membuka lebih banyak ruang untuk kompromi terhadap batas syarak untuk masa akan datang.
Kesimpulan
Garis Panduan umat Islam sepatutnya menjadi rujukan kukuh dalam memastikan kehidupan umat Islam selari dengan ajaran agama. Namun, tekanan politik dan desakan pihak tertentu telah menjejaskan keberkesanannya. Penentangan daripada pelbagai pihak membuktikan bahawa isu ini ialah isu nasional yang turut menyentuh prinsip serta maruah umat Islam seluruhnya di Malaysia.
Kerajaan, khususnya JAKIM perlu memainkan peranan yang lebih bagi memastikan garis panduan ini tidak dijadikan alat politik yang boleh diubah mengikut kepentingan pihak tertentu. Ketegasan dalam mempertahankan prinsip Islam harus diutamakan, bukan sekadar mencari jalan tengah yang akhirnya mengorbankan kepentingan umat Islam. Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia berisiko membuka ruang kepada lebih banyak kompromi yang boleh menjejaskan identiti dan kedudukan Islam di Malaysia.