Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dijangka memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) supaya melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Addendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.
Dalam konteks sesetengah negara, gag order ini bertujuan memastikan juri tidak dipengaruhi oleh laporan media untuk menjamin keadilan dalam membuat keputusan. Namun di Malaysia yang tidak mengamalkan sistem juri, gag order ini berfungsi untuk mengehadkan laporan mengenai sesuatu kes atas sebab-sebab tertentu bagi melindungi Institusi Diraja kerana menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R).
Apa Yang Kerajaan Cuba Sorok?
Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah apabila gag order dikeluarkan, ia secara tidak langsung telah menyekat hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Benar dalam sesetengah kes ada keperluan untuk mahkamah mengeluarkan gag order sekiranya wujud situasi subjudis dalam suatu prosiding kes yang sedang berjalan.
Persoalannya di sini, tidakkah terlalu lambat untuk kerajaan mengeluarkan gag order dalam keadaan isu ini telah pun menjadi pengetahuan umum. Malahan Perdana Menteri sendiri telah banyak kali bercakap mengenai Titah Addendum hatta di Parlimen sekalipun. Tindakan kerajaan memfailkan gag order dengan alasan bahawa isu tersebut adalah “sensitif” memberi gambaran bahawa kerajaan mungkin sedang cuba menyembunyikan sesuatu daripada perhatian umum.
Langkah seperti inilah yang menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan. Tindakan menafikan akses kepada maklumat penting seperti titah addendum mencetuskan rasa tidak puas hati dan syak wasangka, sekaligus melemahkan keyakinan rakyat terhadap kejujuran dan akauntabiliti pentadbiran negara.
Jadi, apa sebenarnya yang hendak disorokkan kerajaan? Apa yang rakyat ingin tahu hanyalah benarkah Titah Addendum itu wujud ataupun tidak, dan jika wujud mengapakah ianya tidak dilaksanakan.
Perkara ini telah berlarutan sehingga sekian lama. Pada awalnya kerajaan mengatakan ianya hanyalah khabar angin (hearsay) sehingga sekarang terpaksa melalui proses mahkamah yang begitu panjang untuk bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan yang sememangnya hak perogatif Yang di-Pertuan Agong.
Jemaah Menteri Cuba Lepas Tangan
Kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa beliau tidak bersetuju dengan permohonan larangan bersuara yang dibuat oleh AGC dan Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan gag order tersebut sekali lagi mencetuskan kebingungan terhadap kedudukan sebenar kerajaan dalam perkara ini. Ia memberi gambaran seolah-olah AGC mempunyai alasan tersendiri untuk memohon larangan tersebut. Walhal, Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahawa skop tugas Peguam Negara meliputi nasihat undang-undang kepada kerajaan serta pelaksanaan tugasan undang-undang yang diarahkan oleh kerajaan.
Peruntukan tersebut menyatakan: “Menjadi kewajipan Peguam Negara… melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujuk atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikannya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.”
Ini bermaksud permohonan larangan bersuara terhadap isu titah addendum adalah tindakan yang dilaksanakan oleh AGC atas arahan kerajaan dan bukanlah keputusan autonomi Peguam Negara. Dalam kes ini, isu yang dibawa bukanlah berkaitan pendakwaan jenayah yang mana Peguam Negara memiliki budi bicara mutlak, tetapi yang dibawa ialah semakan kehakiman di mana AGC hanya bertindak berdasarkan mandat yang diberikan oleh kerajaan.
Oleh itu, sebarang permohonan oleh AGC untuk mendapatkan larangan bersuara adalah, pada hakikatnya, tindakan yang menggambarkan keputusan kerajaan. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap AGC, haruslah memikul tanggungjawab terhadap keputusan ini dan bukannya cuba berlepas tangan.
Kesimpulan
Langkah kerajaan memohon perintah larangan bersuara (gag order) dalam isu Titah Addendum menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan, akauntabiliti, dan komitmen terhadap hak kebebasan bersuara dan nilai-nilai asas sebuah negara demokratik. Walaupun gag order mungkin diperlukan dalam situasi tertentu untuk menjaga keadilan dan sensitiviti isu, tindakan kerajaan dalam konteks Titah Addendum dilihat tidak konsisten dengan prinsip keterbukaan yang sering diuar-uarkan oleh kerajaan.
Kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk menjelaskan kedudukan sebenar titah addendum. Sebarang tindakan yang dilihat sebagai usaha untuk menutup mulut rakyat atau melindungi pihak tertentu hanya akan meruntuhkan asas demokrasi serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem pemerintahan kerajaan hari ini.