Federalisme Malaysia: Pembahagian Kuasa untuk Kesejahteraan Rakyat

Federalisme merupakan satu sistem pemerintahan di mana kuasa pentadbiran dan perundangan dibahagikan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Di Malaysia, konsep federalisme ini diatur melalui Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Malaysia telah menggariskan hak dan tanggungjawab kerajaan pusat dan negeri dalam pelbagai bidang seperti kewangan, pendidikan, kesihatan, dan keselamatan. 

Namun, pelaksanaan federalisme di Malaysia tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya dari sudut ketidakseimbangan kuasa antara pusat dan negeri, isu-isu berkaitan dengan ekonomi, undang-undang, dan sosio-politik. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam bidang tertentu seperti tanah, pertanian, dan sumber asli secara bertulis. Namun, kerajaan pusat sering kali mempunyai pengaruh yang lebih besar, terutama dalam hal pengagihan kewangan dan pembangunan ekonomi.

Ketidakseimbangan kuasa ini sering kali membawa kepada ketidakpuasan di kalangan negeri-negeri yang merasa bahawa mereka tidak menerima layanan yang adil dari segi peruntukan kewangan dan pembangunan infrastruktur. Negeri-negeri seperti Kelantan, Perlis, Kedah, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak, merasakan bahawa mereka tidak menerima peruntukan yang sewajarnya berbanding dengan negeri-negeri di Pantai Barat seperti Selangor dan Pulau Pinang, yang lebih maju dari segi ekonomi. Selangor dan Johor menikmati pembangunan ekonomi yang pesat disokong oleh infrastruktur yang baik, pelaburan asing yang tinggi, dan kemudahan akses kepada pelabur-pelabur  utama. Sebaliknya, negeri-negeri miskin sering kali ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi.

Aktiviti ekonomi yang lembab dan berterusan akan memberi kesan yang signifikan terhadap politik negara. Pertama, ia menyumbang kepada peningkatan ketidakpuasan hati dari kalangan penduduk tempatan. Mereka merasa terpinggir dalam arus pembangunan negara. Ketidakpuasan ini sering kali diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti-parti politik, yang dilihat sebagai suara alternatif kepada kerajaan pusat. Kelembapan ekonomi di negeri-negeri ini juga membawa kepada migrasi besar-besaran penduduk ke negeri-negeri yang lebih maju, menyebabkan negeri-negeri tersebut kehilangan sumber manusia yang berpotensi untuk membangunkan ekonomi mereka.

Kedua, ketidakseimbangan ekonomi ini juga mengundang konflik antara kerajaan pusat dan negeri. Negeri-negeri yang kurang maju akan menuntut peruntukan tambahan atau hak autonomi yang lebih besar dalam usaha mereka untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi. Ini boleh menyebabkan konflik politik antara kerajaan pusat yang ingin mengekalkan kekuasaan dan mengawal negeri-negeri tersebut dari menuntut lebih banyak kebebasan dan sumber. Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan sepatutnya berfungsi sebagai ibu bapa yang mampu melindungi dan memayungi anak-anaknya. Kerajaan Persekutuan berperanan untuk mengagihkan sumber secara adil, agar ia tidak dilihat gagal oleh rakyat di negeri-negeri yang kurang membangun. 

Rajah 1: Agihan Anggaran Pemberian Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2024

 

Bil Negeri Jumlah Peruntukan (RM)

Tahun 2022

Peratusan (%)

Tahun 2022

Peratusan (%)

Tahun 2024

1 Sarawak 1,312,707,484 16.18 15.70
2 Sabah 1,217,877,435 15.01 15.80
3 Selangor 897,620,388 11.06 10.80
4 Johor 897,620,388 11.06 11.00
5 Perak 807,117,103 9.94 10.00
6 Pahang 548,929,245 6.76 7.10
7 Kedah 495,545,905 6.11 6.10
8 Negeri Sembilan 468,412,304 5.77 5.80
9 Kelantan 368,537,641 4.92 4.20
10 Terengganu 399,125,145 4.54 4.90
11 Pulau Pinang 315,885,586 3.89 3.90
12 Melaka 222,278,464 2.74 2.80
13 Perlis 168,404,182 2.08 1.90

 

Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Kedah antara negeri masih berdepan dengan jurang pembangunan yang ketara berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pahang, yang menerima peruntukan sebanyak RM548,929,245 (6.76% pada 2022, meningkat kepada 7.10% pada 2024), mempunyai keluasan geografi yang besar dan banyak kawasan pedalaman yang memerlukan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik, dan air bersih. Walaupun peruntukan ini adalah yang tertinggi di antara negeri-negeri Pantai Timur, cabaran untuk merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar tetap signifikan. 

Terengganu pula, dengan peruntukan RM399,125,145 (4.54% pada 2022, meningkat kepada 4.90% pada 2024), mempunyai potensi ekonomi besar melalui sumber minyak dan gas, namun masih terdapat jurang pembangunan yang ketara antara kawasan pesisir yang lebih maju dengan kawasan pedalaman yang kurang membangun. Peningkatan yang sedikit dalam peruntukan ini  dilihat tidak mampu memenuhi keperluan pembangunan negeri tersebut. Hal ini ditambah oleh sekatan pembayaran royalti kerajaan Persekutuan setelah Terengganu dikuasai oleh PAS pada tahun 2000.

Kelantan pula yang menerima peruntukan paling rendah sebanyak RM368,537,641 (4.92% pada 2022, menurun kepada 4.20% pada 2024). Negeri Kelantan menghadapi cabaran terbesar dari segi jurang pembangunan yang ketara berbanding negeri-negeri lain. Kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas di Kelantan menyumbang kepada masalah ketinggalan ekonomi dan pembangunan. Seperti Terengganu, Kelantan antara negeri pengeluar minyak yang menuntut pembayaran royalti minyak sebagai langkah untuk menambah dana pembangunan negeri. 

Kedah menerima peruntukan sebanyak RM495,545,905 (6.11% pada 2022, mencatatkan penurun kepada 6.10% pada 2024), turut menghadapi cabaran pembangunan, terutamanya di kawasan luar bandar. Negeri jelapang padi ini masih memerlukan sokongan berterusan untuk menambah baik infrastruktur asas bagi sektor pertanian dan pembangunan serta meningkatkan kualiti hidup penduduknya. Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi berkata Kedah kehilangan cukai pembangunan yang jumlahnya adalah RM1,000 per hektar berbanding hanya RM15 per hektar atas faktor mengusahakan sawah. 

Sekiranya Kedah bertindak untuk menukar status tanah sawah kepada pembangunan komersial ia dikhuatiri memberi impak besar terhadap jaminan keselamatan makanan negara.  Justeru, adalah penting bagi kerajaan persekutuan untuk mengkaji dan memberi sokongan yang lebih menyeluruh kepada negeri-negeri yang masih ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunan. Kajian yang mendalam dan perancangan strategik diperlukan untuk memastikan sumber-sumber kewangan diagihkan dengan adil dan efektif, dengan mengambil kira keperluan khusus setiap negeri. 

Dalam sistem federalisme, kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri adalah asas kepada keberkesanan pentadbiran dan pembangunan negara. Kerjasama ini memastikan dasar-dasar negara dapat dilaksanakan dengan berkesan di seluruh negeri, ia juga bagi  menghormati hak dan autonomi negeri-negeri. Prinsip kerjasama ini juga jelas dalam perjuangan kemerdekaan Malaysia, di mana seluruh rakyat dari pelbagai negeri bersatu dalam usaha menuntut kebebasan daripada penjajah. Hari Kemerdekaan adalah bukti bahawa kejayaan negara ini dicapai melalui usaha bersama yang berterusan. Justeru, kita perlu terus menghayati kepentingan kerjasama ini, bukan sahaja dalam hubungan pusat dan negeri, tetapi juga dalam setiap aspek kehidupan bernegara.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menghayati Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh kefahaman. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen asas yang mengatur pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri. Ia memberikan panduan bagaimana kuasa sepatutnya dibahagikan dan bagaimana negeri-negeri boleh berfungsi dalam kerangka persekutuan. Dalam konteks Hari Kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan juga adalah simbol kepada kedaulatan dan kebebasan yang diperjuangkan oleh para pemimpin negara kita. Ia adalah asas perpaduan, perundangan dan sistem pentadbiran negara. Menghormati perlembagaan dan undang-undang adalah tanggungjawab setiap warganegara, kerana ia adalah asas kepada keberkesanan federalisme dan kestabilan negara. Rakyat perlu menghormati dan memahami perlembagaan sebagai satu dokumen yang mengikat kita sebagai satu bangsa yang bersatu.

Sebagai penutup, pelaksanaan federalisme di Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan adalah kunci kepada kesejahteraan dan keharmonian antara negeri-negeri. Kemerdekaan yang telah kita capai seharusnya menjadi asas kepada kerajaan menjadi lebih matang dan bertindak secara apolitikal. Kerajaan perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi negara. Dengan menghormati Perlembagaan, kerajaan pusat dan negeri akan bekerjasama dengan lebih erat untuk memastikan pengagihan sumber yang adil dan pembangunan yang seimbang di seluruh negara. Ini penting bagi memperkukuh hubungan antara negeri dan pusat, tetapi juga mengukuhkan perpaduan nasional, membina sebuah Malaysia yang harmoni, makmur, dan bersatu.

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2024/09/09/federalisme-malaysia-pembahagian-kuasa-untuk-kesejahteraan-rakyat/

Picture of Masitah Ismail

Masitah Ismail

Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN