E-Invois: Kecekapan Percukaian vs. Beban Kewangan PKS

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhasrat untuk mewajibkan penggunaan e-Invois pada 1 Julai 2025 kepada semua peringkat pembayar cukai. Bagi fasa pertama, kerajaan akan mengenakan e-Invois kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta. Pada fasa kedua, pelaksanaan ini akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM25 juta hingga RM100 juta manakala fasa ketiga pula akan melibatkan semua jenis perniagaan mikro kecil dan sederhana.

Cabaran Pelaksanaan Fasa Ketiga e-Invois kepada PKS

Mulai 1 Julai 2025, fasa ketiga e-Invois akan mewajibkan PKS dengan jualan tahunan melebihi RM150 ribu untuk menggunakan sistem ini. Walaupun matlamat utama adalah meningkatkan kecekapan percukaian namun pelaksanaan ini menimbulkan beberapa cabaran kepada PKS.

Nilai ambang RM150 ribu dianggap terlalu rendah kerana ia hanya memberikan keuntungan purata sekitar RM12,500 sebulan. Dengan margin keuntungan yang kecil, PKS berdepan kesukaran menampung kos tambahan untuk melaksanakan e-Invois. Di samping itu, terdapat keperluan menambah tenaga kerja atau melatih pekerja sedia ada bagi mengendalikan sistem ini turut meningkatkan beban kewangan. Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,800 hanya menambah tekanan kepada perniagaan kecil yang sedang bergelut dengan kos operasi yang semakin meningkat.

Tambahan pula, tidak semua PKS bersedia dari segi infrastruktur dan kemahiran teknologi bagi memastikan pematuhan kepada sistem e-Invois. Oleh itu, terdapat cadangan untuk menaikkan ambang jualan kepada RM500 ribu serta kerajaan dicadangkan untuk menyediakan insentif dan tempoh peralihan yang lebih panjang. Langkah ini dapat membantu PKS menyesuaikan diri tanpa menjejaskan operasi perniagaan mereka. Pelaksanaan e-Invois perlu mengambil kira realiti ekonomi agar tidak membebankan perniagaan kecil.

Kelonggaran dan Sokongan Kerajaan dalam Pelaksanaan e-Invois

Sebagai respons terhadap isu ini, kerajaan telah mengumumkan kelonggaran dengan menangguhkan pelaksanaan fasa ketiga e-Invois kepada 1 Januari 2026 dalam sidang Parlimen baru-baru ini. Penangguhan ini bertujuan memberi ruang kepada PKS untuk membuat persiapan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, masih terdapat ramai peniaga yang bimbang akan peningkatan kos operasi, termasuk keperluan menambah tenaga kerja bagi memastikan pematuhan kepada peraturan LHDN.

Bagi menyokong peralihan ini, kerajaan telah menyediakan beberapa insentif cukai bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan sistem e-Invois. Antara insentif yang ditawarkan termasuk kebenaran menuntut elaun modal bagi perbelanjaan pembelian peralatan ICT dan perisian komputer, dengan tempoh tuntutan dikurangkan daripada empat tahun kepada tiga tahun mulai tahun taksiran 2024. Selain itu, potongan cukai sehingga RM50,000 turut disediakan bagi mengurangkan beban kewangan syarikat.

Bagi memastikan perniagaan kecil tidak terbeban dengan kos tambahan, LHDN telah membangunkan portal MyInvois, yang boleh digunakan secara percuma untuk menghantar invois terus kepada LHDN. Selain itu, aplikasi MyInvois membolehkan pembayar cukai menguruskan invois melalui telefon pintar pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sekaligus memudahkan urusan perniagaan.

Kerajaan juga telah melaksanakan Program Latihan Invois secara percuma di seluruh negara bagi meningkatkan pemahaman dan memberikan bimbingan kepada PKS mengenai sistem e-Invois. Dengan langkah-langkah ini, kerajaan berharap dapat membantu perniagaan beralih kepada sistem e-Invois dengan lebih lancar tanpa beban kewangan yang besar.

Kesimpulan

Pelaksanaan e-Invois oleh LHDN adalah satu langkah penting dalam meningkatkan kecekapan percukaian, namun ia masih menimbulkan kegusaran dalam kalangan PKS. Walaupun kerajaan telah menangguhkan fasa ketiga kepada 1 Januari 2026 dan berjanji akan menyediakan insentif serta sokongan seperti portal MyInvois dan Program Latihan Invois, kerajaan perlu mengkaji semula nilai ambang jualan yang digariskan kepada syarikat PKS. kerajaan perlu lebih realistik dalam menetapkan nilai ambang serta memberi tempoh peralihan yang lebih panjang agar pelaksanaan e-Invois tidak membebankan perniagaan kecil dan sederhana, sekaligus memastikan kepatuhan yang lebih efektif tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Picture of Masitah Ismail
Masitah Ismail
Penyelidik Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh