Dunia dikejutkan dengan kemunculan pesaing OpenAI iaitu DeepSeek, sehingga ia memberikan impak yang besar kepada pasaran teknologi selepas 17 hari pelancarannya. Kejatuhan ketara ini dapat dilihat kepada nilai saham gergasi pasaran, Nvidia dengan kerugian sebanyak USD 593 bilion atau -16.47%. Ini adalah salah satu penurunan nilai terbesar dalam sejarah syarikat itu dalam tempoh satu hari.
DeepSeek telah membangunkan dua model kecerdasan buatan (AI) yang terkenal, DeepSeek-V3 dan DeepSeek-R1, masing-masing direka untuk aplikasi tertentu. Marc Andreessen, seorang pelabur modal teroka dari Silicon Valley, menyatakan kemunculan ini sebagai “Sputnik Moment” bagi AI, merujuk kepada kejayaan Kesatuan Soviet mencetuskan perlumbaan teknologi angkasa pada akhir 1950-an.
AI Mampu Saing dengan Kos Rendah
Pembangunan AI biasanya memerlukan perbelanjaan infrastruktur yang besar. Namun kejayaan DeepSeek dalam melatih model DeepSeek-V3 dengan kos kurang daripada USD 6 juta dengan hanya cip NVIDIA H800, telah menghasilkan model AI yang kompetitif dengan kos lebih rendah. Ini sekali gus mencabar dominasi syarikat gergasi dalam industri AI.
Kos ini jauh berbeza dengan pelatihan model ChatGPT oleh OpenAI yang memakan kos sehingga USD 100 juta. Penggunaan H800 pula adalah versi cip diubah suai dengan kuasa yang lebih rendah daripada cip H100. Ia dicipta sebagai alternatif H100 kerana US telah membuat sekatan teknologi berkuasa tinggi ke atas China.
Selain itu, model baru ini menggunakan memori 75% kurang memori berbanding model konvensional. Bukan itu sahaja, DeepSeek menawarkan model open source percuma, membolehkan pembangun dan penyelidik mengakses, mengubah suai, dan menambah baik model AI secara bebas. Ini mengurangkan kebergantungan kepada model yang mempunyai hak milik seperti OpenAI.
Dalam hal ini, keselamatan data tetap terjamin kerana setiap pengguna mempunyai kawalan penuh ke atas data mereka sendiri. Lebih penting lagi, DeepSeek, yang diterajui oleh Liang Wenfeng, adalah sebuah syarikat persendirian dan bukan syarikat milik negara China (SOE).
Kejayaan ini menunjukkan bahawa kecekapan algoritma dan pengoptimuman model boleh mengurangkan kebergantungan kepada perkakasan berprestasi tinggi dan mengurangkan kos pembangunan secara signifikan, seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak pesaing dalam pasaran AI global.
Sejauh Mana Kesannya?
Daniel Morgan, pengurus portfolio kanan di Synovus Trust Company, berkata model AI ini digunakan pada telefon mudah alih dan PC berbanding pusat data. Maka pesaingnya adalah ChatGPT, Meta Platforms (META.O), dan Gemini Alphabet.
Munasabah jika ada pelabur tempatan berpendapat bahawa situasi ini tidak memberi kesan secara langsung kepada YTL Power, selaku pelabur terbesar dalam pusat data AI di Malaysia. Walaupun impaknya terhadap rantaian nilai pasaran AI masih belum dapat dipastikan, diharapkan bekalan cip Nvidia GB200 ke pusat data ini kekal stabil dan tidak terganggu.
Bagi US, kemunculan pesaing baru ini menggoncang rancangan terbesar infrastruktur AI bernilai USD 500 bilion melalui usahasama yang dikenali dengan ‘Stargate’ melibatkan OpenAI, Oracle dan Nvidia.
Kesimpulan
Kemunculan DeepSeek membuktikan bahawa inovasi dalam AI bukan lagi terbatas kepada syarikat gergasi Barat. Kejayaannya dalam membangunkan model berdaya saing dengan kos yang jauh lebih rendah membuka peluang kepada pemain baharu, sekali gus mempercepatkan perubahan landskap industri AI global.
Namun, ia bukanlah satu noktah bagi usahawan tempatan untuk meneroka pasaran ini dengan kemampuan tempatan. Masih banyak ruang yang boleh diterokai seperti keselamatan domestik, pertanian dan perindustrian. Dengan pendekatan yang strategik dan sokongan dasar yang kukuh, ekosistem AI tempatan boleh berkembang, bukan sekadar sebagai pengguna teknologi tetapi juga sebagai penyumbang inovasi dalam ekonomi digital global.
Meskipun dominasi syarikat seperti Nvidia, OpenAI, dan Microsoft masih kuat, kejutan pasaran yang dibawa oleh DeepSeek membuktikan bahawa industri AI masih penuh dengan kemungkinan baharu. Kini, cabarannya adalah bagaimana kita mengambil bahagian dalam arus perubahan ini dan memastikan kita tidak sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut menjadi peneraju dalam era kecerdasan buatan yang semakin pesat berkembang.