COP29: Rundingan Atau Perbalahan?

Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim atau lebih dikenali sebagai Conference of the Parties of the UNFCCC (COP) merupakan acara tumpuan setiap tahun bagi para pencinta alam sekitar. Meskipun persidangan seumpama ini bertujuan untuk membentuk kerjasama antarabangsa supaya fungsi planet kembali pulih demi kelangsungan hidup penghuninya, COP sering menjadi pertembungan banyak pihak.

Aktivis kelestarian sedaya upaya menghentikan kemaraan pelobi dari syarikat gergasi petroleum. Negara membangun pula terus menekan negara maju melakukan sesuatu yang konstruktif untuk menelan semula legasi karbon mereka.

Apa Yang Berlaku?

Pada tahun ini, COP memasuki edisi yang ke-29 dan Baku, Azerbaijan dipilih menjadi tuan rumah persidangan. Mewakili wilayah Eropah Timur, pemilihan Azerbaijan sahaja sudah membangkitkan pertikaian. Ini merupakan edisi ketiga berturut-turut sebuah negara yang bergantung kepada ekonomi bahan api fosil mempengerusikan COP, selepas Mesir dan Emiriah Arab Bersatu.

Bukan sekadar itu, ramai ketua negara-negara besar tidak hadir ke persidangan seperti AS, EU, China, India, Perancis, Brazil dan Afrika Selatan. Berbanding seramai 154 ketua negara yang hadir pada sidang kemuncak yang mengumpulkan ketua negara tahun lalu, hanya 80 sahaja yang hadir kali ini. Sudah tentu mengecewakan rakyat negara mereka sendiri.

Penemuan Saintifik Yang Membimbangkan

Selain menjadi medan rundingan agenda perubahan iklim antara negara, para saintis turut mengambil peluang untuk membentangkan penemuan mereka semasa COP. Antara indikator utama yang ditekankan ialah peningkatan suhu global dan kecairan ais kutub.

Tahun 2024 dalam landasan untuk menjadi tahun paling panas pernah direkodkan, dengan suhu purata global mencecah 1.54ºC di atas paras praperindustrian. Namun, Setiausaha Agung World Meteorological Organization (WMO), Prof Celeste Saulo menekankan bahawa itu tidak bermakna kita telah gagal untuk mencapai sasaran jangka masa panjang Perjanjian Paris yang melihat suhu purata meliputi dekad lamanya.

Laporan State of the Cryosphere 2024 pula memperincikan bahawa dunia sedang kehilangan salji dan ais pada kadar yang pantas. Peningkatan suhu global sebanyak 2ºC boleh mengakibatkan malapetaka yang tidak boleh dipulihkan dan memberi dampak kepada berbilion-bilion orang. Jika lapisan ais di Greenland dan Antartika terus mencair, arus lautan di kedua-dua kutub berpotensi menjadi perlahan dan menyebabkan bahagian utara Eropah menjadi lebih sejuk serta peningkatan paras laut yang lebih dahsyat di perairan timur AS.

Perkembangan Utama COP29

Ada sedikit kejayaan yang kita boleh raikan daripada COP29, dan yang paling mencuri tumpuan adalah berkenaan pembiayaan iklim (climate finance). Pada tahun 2009, negara-negara maju telah bersetuju untuk memobilisasi dana tahunan sebanyak $100 bilion menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, sasaran tersebut tidak menepati garis masa yang ditetapkan dan hanya tercapai pada tahun 2022 meski hakikatnya terdapat dakwaan helah perakaunan berlaku.

Setelah berbulan-bulan rundingan dilakukan menjelang persidangan, akhirnya para delegasi bersetuju untuk mensasarkan pembiayaan iklim tahunan sebanyak $300 bilion bagi membantu negara-negara membangun merancakkan sistem tenaga bersih dan berhadapan dengan malapetaka yang disebabkan oleh perubahan iklim. Angka ini masih mencetuskan perbalahan sehingga ada beberapa negara utama berkeras kepala untuk memberikan komitmen.

Donald Trump yang bakal mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu pada Januari nanti berkemungkinan besar enggan memberikan komitmen pembiayaan iklim. Ini mengambil kira pentadbiran beliau semasa penggal pertama yang lalu menarik diri daripada Perjanjian Paris pada tahun 2017. Tambahan pula, keadaan akan diburukkan jika parti politik berhaluan kanan memenangi pilihan raya di negara seperti Kanada dan Jerman kerana mereka cenderung untuk tidak mengambil bahagian dalam inisiatif perubahan iklim.

Selain bantuan kewangan, COP29 juga telah mencatatkan sejarah apabila rangka kerja perdagangan karbon di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris berjaya dimuktamadkan. Perkara di bawah Artikel 6.2 membenarkan negara-negara membentuk kerjasama bilateral dan saling memperdagangkan kredit pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan direkodkan dalam nationally determined contributions (NDC) mereka.

Manakala Artikel 6.4 membolehkan sebuah pasaran karbon global dibangunkan dan kemudian diselia oleh entiti PBB. Projek-projek pembangunan perlu didaftarkan dengan entiti ini dan diperakukan oleh negara yang terlibat sebelum kredit karbon diterbitkan. Kedua-dua bentuk mekanisme ini bertujuan untuk mengelakkan risiko pengiraan berganda (double counting) yang sering dimanipulasi oleh kebanyakan negara dan syarikat swasta.

Di Mana Malaysia?

Kita tidak terkecuali daripada memainkan peranan yang penting dalam mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, walaupun Malaysia hanya menyumbang peratusan kecil terhadap pelepasan karbon. Kita perlu mengambil peluang sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025 untuk menggerakkan negara-negara serantau dalam menjayakan sebarang bentuk inisiatif iklim dari segi pembiayaan, projek pembangunan, pembangunan modal insan dan pelbagai lagi.

Jika kita menunjukkan keazaman, mulai saat ini kita sudah boleh melobi untuk menjadi tuan rumah persidangan COP yang seterusnya supaya suara kita lebih didengari di pentas antarabangsa.

Picture of Shauqi Johara

Shauqi Johara

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh