Bertuahnya Rakyat Terengganu

Tema ‘Demi Masa Depan Terengganu’ memperlihatkan Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkomitmen untuk melaksanakan dasar dan pembangunan yang lebih tertumpu kepada pembangunan jangka masa panjang.

Melalui pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 November lalu, belanjawan ini telah menggariskan lima komitmen utama terdiri daripada kelestarian fiskal, pembangunan rantaian nilai makanan, pengukuhan modal insan, ekonomi berdaya saing, dan pemberdayaan masyarakat usahawan.

Lebih mencabar apabila perbelanjaan negeri bergantung hampir 90 peratus kepada royalti petroleum dan gas.

Bukan itu sahaja, kawalan perbelanjaan royalti oleh Kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak inisiatif pembangunan dan kebajikan terkesan.

Ini menjadikan ekonomi negeri terdedah kepada ketidakstabilan harga minyak global dan ketidaktentuan dasar Kerajaan Persekutuan.

Namun, ini diambil sebagai cabaran untuk berusaha memastikan daya tahan ekonomi Terengganu lebih kukuh.

Komitmen positif ini perlu disertakan dengan langkah-langkah yang strategik supaya perancangan tersebut jelas dan praktikal.

Langkah-langkah berkenaan boleh dilihat dengan dua persoalan:

  1. Adakah terdapat inisiatif konkrit untuk mempelbagaikan ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional seperti minyak dan gas?
  2. Sejauh mana peruntukan meningkatkan kualiti pendidikan serta memperkasa kemahiran belia bagi menghadapi cabaran masa depan?

Penilaian kritikal terhadap belanjawan ini adalah penting untuk memastikan bahawa tema ‘Demi Masa Depan Terengganu’ bukan sekadar slogan, tetapi disertai dengan strategi dan tindakan yang konkrit.

Aspirasi untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi negeri Terengganu dapat direalisasikan sekiranya pendekatan yang komprehensif dan berkesan dapat dicapai.

Diversifikasi sumber ekonomi

Berdasarkan prestasi penggal lalu, kerajaan berjaya mengurangkan kebergantungan kepada royalti sebanyak 3 hingga 4 peratus.

Ini telah membuktikan bahawa matlamat ini boleh dicapai. Dengan sasaran menjana hasil tambahan sebanyak RM510 juta menjelang tahun 2030, kerajaan dijangka akan lebih agresif dalam mempelbagaikan sumber ekonomi antaranya melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu.

Belanjawan 2025 menggariskan antara langkah yang akan diambil adalah dengan meningkatkan kecekapan kutipan cukai tanah melalui sistem digitalisasi.

Selain itu, kerajaan akan memperkasakan peranan pejabat tanah dan galian untuk mengutip tunggakan cukai yang bernilai jutaan ringgit.

Usaha ini boleh dibantu oleh para konsultan tanah yang terlatih dan arif tentang perundangan tanah. Ini bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pentadbiran tetapi juga meningkatkan ketelusan dan hasil negeri.

Dalam pada itu, kita sedang menghadapi lambakan tanah yang terbiar. Sebenarnya, kerajaan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan Seksyen 115, 116, dan 117 Kanun Tanah Negara (KTN).

Ini bermakna jika pemilik tanah gagal membangunkan tanah dalam tempoh yang ditetapkan, tanah tersebut boleh diambil semula dan diagihkan kepada pemilik baharu yang boleh mengusahakannya.

Ia dapat memastikan kelangsungan hasil tanah di Terengganu. Pengenalan projek baharu seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan projek agrivoltaic merupakan langkah strategik yang sangat berkesan.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya dalam bidang pertanian kepada generasi baharu, tetapi juga memperkasakan pertanian sebagai satu kerjaya profesional yang berdaya saing.

Tambahan pula, langkah ini mampu meningkatkan daya tahan ekonomi negara dan memastikan pengeluaran hasil pertanian yang mampan serta lestari untuk jangka masa panjang.

Selain itu, kerajaan membuka ruang dan peluang kerjasama awam-swasta untuk enam Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di bawah Projek Pemacu Ekonomi (EAP) ECRL.

Dalam konteks memperluaskan pertumbuhan ekonomi, kerajaan perlu agresif memastikan pembangunan ini mampu diambil manfaat oleh komuniti dan industri setempat.

Sebarang birokrasi dan prosedur perlu dipermudahkan supaya ia dapat menggalakkan usahawan tempatan berkembang.

Di samping itu, kerajaan terus memperkenalkan inisiatif seperti pensijilan halal dan program pendigitalan di mana ia dijangka dapat membantu usahawan tempatan menembusi pasaran baharu, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan daya saing ekonomi negeri.

Secara keseluruhannya, diversifikasi ekonomi bukan sahaja bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tradisional seperti minyak dan gas, tetapi juga mencipta asas ekonomi yang lebih kukuh, mampan, dan berdaya tahan untuk masa depan Terengganu.

Peningkatan Kualiti Pendidikan dan Latihan

Yayasan Terengganu dengan kerjasama Terengganu Inc diberikan peruntukan yang lebih besar sehingga mencecah RM6 juta bagi menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian tinggi.

Inisiatif seperti Itqan Insani dan Akademi Kepimpinan Al-Fateh pula akan terus dilaksanakan untuk mempersiapkan belia sebagai bakat baharu yang mampu bersaing di peringkat global.

Bagi sektor pertanian, kerajaan dijangka menambah nilai sektor pertanian melalui pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi internet serta automasi bagi mempersiapkan tenaga kerja menghadapi era industri 5.0.

Integrasi strategik di antara keperluan semasa dan sasaran pembentukan modal insan perlu diperkukuhkan.

Terengganu terkenal dengan graduan teknikal yang berkhidmat di serata pelusuk negara.

Justeru, untuk kekal relevan dalam pasaran kerja masa depan, tenaga kerja tempatan perlu dipersiapkan dengan kemahiran seperti pemikiran analitis dan inovatif, penyelesaian masalah kompleks, kreativiti, kepimpinan, penggunaan teknologi, dan keupayaan berfikir secara logik.

Kemahiran-kemahiran ini akan membantu kita menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Dengan itu, agensi penyelarasan sumber manusia seperti Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) perlu mengambil langkah proaktif untuk membuat advokasi dan memastikan program pembangunan kemahiran selari dengan permintaan semasa.

Melalui program-program ini, besar harapannya agar kadar pengangguran dapat dikurangkan dan melahirkan tenaga kerja tempatan yang kompeten yang dapat memenuhi keperluan sektor perindustrian dan teknologi baharu.

Kerajaan yang cakna masa depan rakyat

Dua pendekatan ini sangat penting dalam menjadi pemangkin pembangunan mampan Terengganu.

Gabungan kedua-dua elemen ini dijangka dapat mewujudkan ekonomi yang lebih stabil dan masyarakat yang berkemahiran tinggi, selaras dengan wawasan kerajaan negeri untuk mencapai kemakmuran yang menyeluruh.

Bertuahnya rakyat Terengganu yang kini berjumlah 1.2 juta apabila mempunyai kerajaan yang cakna dengan masa depan mereka.

Semoga langkah strategik ini membawa kejayaan, kesejahteraan, dan keberkatan kepada Negeri Terengganu, serta manfaat berkekalan kepada generasi akan datang.

Picture of Hanisah Abd Rahman

Hanisah Abd Rahman

Deputy Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh