Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober kali ini adalah belanjawan kali ke-3 dibentangkan oleh kerajaan Madani. Rata-rata pesawah, petani, penternak malah kerajaan negeri meluahkan harapan agar Belanjawan 2025 ini dapat menumpukan sektor pertanian dan keterjaminan makanan bagi mengisi keperluan rakyat yang kian hari kian mendesak. Apatah lagi Laporan Banci Pertanian sebelum ini menunjukkan berlaku penurunan jumlah petani di Malaysia dengan kadar yang sangat ketara iaitu 2.12 juta petani pada 2010 (7.5% daripada rakyat Malaysia) kepada hanya 900,000 petani pada 2023 (2.7% daripada rakyat Malaysia).
Ia menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia kurang berminat untuk bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous, difficult) ini sedangkan ia sektor yang berpotensi besar, terutamanya di negeri-negeri bermajoriti bumiputera. Kelantan sebagai contoh, mempunyai potensi yang amat besar dalam industri padi untuk dimajukan sekali gus meningkatkan dan menyumbang lebih banyak hasil pengeluaran makanan ruji negara.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menyatakan bahawa pihaknya mengalami sedikit kekangan untuk memajukan industri itu berikutan isu ketidakcekapan infrastruktur bekalan air. Sekurang-kurangnya sebanyak 1.3 bilion diperlukan jika kerajaan berhasrat untuk selesaikan isu ini. “Mungkin satu sistem yang sistematik boleh dibangunkan di Sungai Kelantan untuk tujuan ini. Walaupun ia merentangi sungai, namun ia tidak bercanggah dengan enakmen negeri dan kanun tanah negara,” katanya lagi.
Isu ketidakcekapan infrastruktur bekalan air, terutamanya kepada sektor pertanian di Kelantan ini diharapkan dapat diselesaikan memandangkan ia telah membebani sekitar 7,100 pesawah selama lebih 20 tahun. Isu ini bertambah buruk apabila pada Disember lalu, pam milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengalami masalah kebocoran yang menjejaskan tanaman. Stesen Pam Kemubu 3 pula dijangka siap pada Mei 2025 selepas tertangguh dari jadual asal pada 2024.
Perlis pula mengharapkan Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan peruntukan khusus untuk meningkatkan infrastruktur perparitan dan saliran terutama bagi kawasan sawah di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata hal ini kerana masih terdapat masalah sistem perparitan dan saliran dikenal pasti berlaku sama ada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Sistem perparitan dan saliran yang tidak lancar seringkali menyebabkan kawasan pertanian di negeri itu terjejas terutama ketika musim banjir. Malahan, banjir baru-baru ini menjejaskan 432.9 hektar kawasan sawah dengan melibatkan 256 petani dan kerugian dianggar RM3.5 juta.
Halatuju Sektor Pertanian
Jika dilihat, sememangnya berlaku peningkatan peruntukan untuk sektor pertanian setiap tahun. Pada 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion iaitu peningkatan 14.4% berbanding RM5.39 bilion pada 2023. Belanjawan tahun lalu turut memberikan insentif yang lebih kepada sektor perikanan dan kebajikan nelayan. Namun pada masa yang sama, isu ketidakcukupan beras tempatan dan kebergantungan import yang tinggi dilihat tidak mendapat perhatian yang tuntas daripada kerajaan. Menuju tahun 2025 ini, apakah yang akan menjadi fokus kerajaan bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian negara?
Merujuk kepada kenyataan Prabelanjawan 2025, kerajaan meletakkan tiga teras utama kerangka Eknomi MADANI iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan reformasi sektor awam, namun perincian kepada teras ini tidak banyak membincangkan penstrukturan pertanian negara. Apa yang menjadi penekanan utama ialah bidang Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon (CCUS), kawasan perindustrian hijau serta rantaian nilai tinggi dalam industri semikonduktor yang berpandukan NIMP 2030.
Berita mengenai penarikan subsidi telur baru-baru ini juga menunjukkan seolah-olah sektor pertanian sering kali menjadi kambing hitam dengan alasan kononnya memberi penjimatan kepada negara. Negeri Sabah seperti sebelum ini bercadang untuk meminta pengecualian daripada kerajaan Pusat berhubung cadangan penamatan subsidi telur. Jika ini berlaku, rakyat Malaysia akan menyaksikan sekali lagi penarikan subsidi dikenakan terhadap Semenanjung Malaysia tetapi dikecualikan kepada Sabah dan Sarawak selepas subsidi diesel.
Selain itu, negara kita masih mempunyai masalah kebergantungan pada pekerja asing yang agak tinggi. Ini kerana pertanian di Malaysia ini sebahagian besarnya adalah berintensifkan buruh kerana penggunaan teknologi dan automasi yang masih rendah. Statistik terkini menunjukkan, hampir 40% pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia dimonopoli tenaga kerja warga asing. Penglibatan pekerja asing dalam sektor pertanian ini sebenarnya mewujudkan persaingan kos buruh yang turut mengurangkan pendapatan petani tempatan kita.
Pada 2021, purata pendapatan bagi pekerja pertanian ialah RM1,764 berbanding dengan purata nasional sebanyak RM3,212. Ini sebenarnya lebih rendah daripada tahun 2018, di mana purata pendapatan bagi pekerja pertanian ialah RM1,865 berbanding dengan purata nasional sebanyak RM3,087. Selain itu, purata pendapatan bulanan pernah meningkat antara tahun 2010 hingga tahun 2015 tetapi menurun antara tahun 2015 hingga tahun 2017. Ini menunjukkan bahawa subsektor tersebut juga mudah terpengaruh kepada kegawatan ekonomi yang seterusnya menjejaskan pendapatan petani. Jika benar fokus kerajaan ialah menaikkan lantai, maka pekerja yang majoritinya bumiputera inilah yang selayaknya diberikan galakan untuk lebih berkecimpung dalam sektor pertanian.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengemukakan 32 cadangan inisiatif Belanjawan 2025 kepada Kementerian Kewangan. Apa pun keputusan kerajaan, ia mestilah dilakukan bersandarkan kajian yang teliti untuk mengelakkan kegagalan dalam rantaian makanan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara. Harapan rakyat kali ini adalah untuk melihat kerajaan lebih serius memperkukuhkan pengurusan rantaian makanan dan meneliti isu yang perlu diselesaikan segera dalam sektor pertanian. Apa yang kita mahukan ialah bila ditanya kepada anak muda, mereka akan jawab sektor pertanian adalah satu profesion. Biar mereka fikir sektor ini merupakan punca pendapatan kerana ia boleh raih pulangan sekali gus menjamin sekuriti makanan negara.
Sumber: harakahdaily