Amerika Keluar WHO: Dunia Perlu Kaget?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ditubuhkan pada tahun 1948 dengan misi utama untuk memperbaiki kesihatan global, memastikan keselamatan kesihatan antarabangsa, dan melindungi populasi rentan. Berlandaskan prinsip kesaksamaan dan solidariti, WHO telah memainkan peranan penting dalam membanteras pelbagai ancaman kesihatan seperti cacar, polio, HIV/AIDS, serta wabak terkini seperti COVID-19. Ia menjadi tonggak dalam memacu kolaborasi saintifik, menetapkan piawaian kesihatan, dan memberikan bantuan teknikal kepada negara-negara anggota.

Sejak penubuhannya, WHO telah berjaya mencipta impak besar terhadap kesihatan awam global. Melalui program kesihatan seperti inisiatif membasmi malaria dan usaha kesiapsiagaan pandemik, WHO telah membantu negara-negara membangun untuk meningkatkan sistem kesihatan mereka. Malangnya, pendekatan multilateralisme yang diamalkan WHO sering kali berhadapan dengan cabaran politik, terutama daripada negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Ego Mengatasi Rasional

Donald Trump, dalam kepimpinannya yang terkenal dengan sifat unilateral dan populis, telah membuat keputusan drastik dengan menarik Amerika Syarikat keluar daripada WHO. Keputusan ini berakar daripada ketidakpuasan hati terhadap pengendalian WHO dalam pandemik COVID-19, di mana Trump menuduh WHO terlalu berpihak kepada China, gagal bertindak pantas, dan tidak cukup telus dalam menangani krisis global tersebut.

Pentadbiran Trump percaya bahawa AS telah menyumbang terlalu banyak dana kepada WHO tanpa mendapat manfaat yang setimpal, dan mendakwa WHO bersikap berat sebelah dalam memberikan maklumat awal mengenai penyebaran virus. Dalam naratif “America First,” Trump berpendapat bahawa AS lebih baik bertindak sendiri dalam mengendalikan kesihatan awam berbanding bergantung pada organisasi antarabangsa yang dianggap tidak cekap dan dipengaruhi oleh agenda politik negara lain.

Siapa Bakal Tanggung Beban?

Penarikan AS daripada WHO membawa implikasi besar. Dari sudut kesihatan awam, ia melemahkan pembiayaan dan kepakaran teknikal WHO, yang sebahagian besar disumbangkan oleh AS selama lebih 75 tahun. Ini boleh mengakibatkan kemerosotan dalam usaha menangani penyakit berjangkit dan meningkatkan risiko kelemahan dalam kesiapsiagaan wabak global. Dari sudut geopolitik, langkah ini memberi peluang kepada kuasa lain seperti China untuk meningkatkan pengaruh mereka dalam agenda kesihatan global, sekali gus merombak keseimbangan kuasa dalam organisasi tersebut.

Walaupun keputusan AS memberi kesan besar, dunia perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak ke hadapan tanpa pergantungan kepada satu kuasa sahaja. Negara-negara Eropah dan kuasa baru seperti BRICS pada bila-bila masa mesti menyatakan kesediaan untuk mengisi kelompongan dana dan kepimpinan yang ditinggalkan AS. Filantropis dan sektor swasta juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam mendanai program-program WHO.

Kesimpulan

Malaysia sebagai negara membangun harus menyesuaikan diri dengan lanskap baharu ini. Kerajaan harus memperkukuh kerjasama serantau melalui platform ASEAN dan memperluaskan sumbangan teknikal kepada WHO dalam bidang kepakaran seperti penyakit tropika dan kesihatan digital. Malaysia juga perlu meningkatkan diplomasi kesihatan untuk memastikan kepentingan nasional terus dilindungi dalam ekosistem global yang semakin kompleks.

Keputusan Trump mungkin mencerminkan keengganan sesetengah pihak untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa, tetapi ia tidak melemahkan semangat global dalam mencapai kesihatan sejagat. WHO, dengan atau tanpa AS, tetap relevan dan perlu terus diperkuatkan oleh masyarakat dunia yang sedar akan kepentingan kerjasama dalam menghadapi cabaran kesihatan masa hadapan.

Picture of Shauqi Johara
Shauqi Johara
Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh