Kemerdekaan Malaysia sudah menjangkau 67 tahun usianya, malah pilihan raya umum pertama telah diadakan di Persekutuan Tanah Melayu lebih awal daripada itu iaitu pada 27 Julai 1955. Ini membuka jalan kepada rakyat untuk menentukan perjalanan pentadbiran negara menerusi satu proses yang demokratik.
Persoalannya, adakah selepas enam dekad ini kita sebagai sebuah negara bangsa sudah mencapai tahap celik politik yang baik?
Jika diperhatikan menerusi Indeks Demokrasi 2023 yang diterbitkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU), Malaysia berada di kedudukan ke-40 global dan dikategorikan sebagai ‘demokrasi cacat’ (flawed democracy). Kita mencatatkan skor yang sederhana bagi aspek budaya politik dan penyertaan politik, menggambarkan tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi serta penglibatan dalam proses demokrasi.
Apabila melakukan pemerhatian kepada situasi sebenar pula, landskap politik di Malaysia masih sarat dengan naratif berdasarkan bangsa dan agama. Bukanlah bermakna politik identiti ini tidak penting kerana pendekatan sebegini telah dan akan sentiasa mencorakkan kecenderungan rakyat dalam memilih siapa yang mereka mahu untuk mengemudi cabang legislatif dan eksekutif.
Secara ringkasnya, rakyat mengenali parti politik berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan seperti konservatisme agama (PAS), nasionalisme Melayu (UMNO), progresivisme (PKR) dan sekularisme (DAP). Dengan setiap parti politik utama ada pengalaman memerintah negara untuk tempoh yang tertentu, ideologi mereka turut terpapar.
Namun jika kita bertanya kepada umum apakah pendekatan ekonomi yang dibawa oleh setiap parti politik, jawapannya tidak begitu ketara. Advokasi ekonomi politik kurang mendapat tempat di Malaysia, tidak seperti di negara-negara maju.
Di New Zealand, Perdana Menteri Jacinda Ardern membawa pendekatan ekonomi liberal progresif dengan memperkenalkan ‘Wellbeing Budget’ pada tahun 2019. Berbanding bergantung kepada indikator ekonomi konvensional seperti pertumbuhan KDNK, bajet ini memberi penekanan terhadap kesihatan mental, kemiskinan kanak-kanak dan peluang untuk komuniti orang asli.
Pendekatan ekonomi libertarian pula didokong oleh kerajaan Switzerland yang menjunjung nilai kebebasan individu dan campur tangan kerajaan yang minimum. Mereka mengamalkan kadar cukai korporat yang rendah dan merangka perundangan yang mesra perniagaan.
Mengapa advokasi ekonomi politik begitu penting?
Kita perlu satu anjakan agar advokasi ekonomi politik dapat diarusperdanakan. Setiap parti atau gabungan politik dituntut untuk mengemukakan apakah mazhab ekonomi yang mereka ingin ketengahkan sekiranya dipilih menjadi kerajaan. Justeru, rakyat dapat memahami dan menilai tawaran dan manifesto sekali gus membuat keputusan di atas kertas undi.
Dengan cara itu, kita tidak lagi akan dibingitkan dengan laungan perkauman dan retorik agama dalam siri kempen politik. Budaya toksik sebegini bukan hanya memacakkan kecenderungan seseorang terhadap idea falasi tetapi turut merencatkan pemikiran kritis yang diperlukan untuk membina negara sejahtera.
Begitu juga, advokasi ekonomi politik akan menatijahkan polisi awam yang lebih konsisten merentas masa dan kepimpinan. Malaysia telah menyaksikan beberapa perubahan pendekatan yang diambil oleh kepimpinan yang lalu.
Contohnya, Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan sosioekonomi akibat ketegangan kaum yang berlaku. Tun Mahathir pula menerusi Wawasan 2020 beliau melakukan penswastaan dan menggalakkan perindustrian.
Meskipun tidak dinafikan perubahan pendekatan perlu disesuaikan dengan keperluan semasa, namun dasar kerajaan yang konsisten akan membolehkan negara bersaing untuk jangka masa panjang. Lihat sahaja bagaimana kita masih berada dalam perangkap pendapatan sederhana sejak 1980-an lagi.
Seruan ini tidak terhad kepada kepimpinan negara malah termasuk kepimpinan dalaman parti politik itu sendiri. Jika parti politik tidak mempunyai keazaman bagaimana mahu mengemudi negara menurut idealogi ekonomi tertentu, maka pendirian mereka akan sentiasa beralih. Sewaktu menjadi pembangkang dahulu, berdegar-degar mahu melaksanakan reformasi tetapi malangnya apabila dipilih menjadi kerajaan entah ke mana laungan reformasi itu.
Advokasi ekonomi politik turut menjamin kebolehramalan ekonomi yang amat penting bagi memupuk keyakinan pelabur dan perusahaan. Gambaran bagaimana kerajaan akan menguruskan ekonomi negara untuk jangka masa pendek dapat dilihat menerusi Belanjawan Tahunan.
Sekiranya pendekatan yang konsisten ditunjukkan dalam setiap siri belanjawan di sepanjang 4-5 tahun penggal kepimpinan negara, pelabur dan perusahaan sendiri berasa yakin untuk menyuntik dana, bergiat aktif dalam pasaran modal dan mengembangkan industri di pelbagai peringkat. Pelbagai isu juga dapat ditangani dengan mampan seperti kebergantungan pekerja asing, peningkatan gaji seiring produktiviti dan sebagainya.
Oleh itu, para cendekiawan dan firma pembangunan dasar harus menyemarakkan dialog dan perbahasan sedemikian untuk Malaysia yang lebih sejahtera.