Generasi milenial pasti ingat lagi ketika zaman persekolahan, para guru mendedahkan pelajar berkenaan penipisan lapisan ozon. Isu ini menjadi kerisauan dan mendapat perhatian masyarakat global ketika itu. Tapi sekarang seperti sudah tidak kedengaran lagi. Ia menjadi persoalan kepada kita mengapa keadaan ini berlaku?
Kita harus berterima kasih kepada Protokol Montreal yang telah ditandatangani pada 16 September 1987 dan merupakan perjanjian tunggal berkaitan alam sekitar yang dipersetujui oleh setiap negara di dunia. Perjanjian ini bertujuan untuk mengharamkan pembuatan dan penggunaan bahan kimia yang merosakkan lapisan ozon seperti klorofluorokarbon dan halon. Hasil daripada Protokol Montreal, dijangka ozon kita akan pulih sepenuhnya menjelang tahun 2065.
Bagaimanakah perjanjian ini cukup berjaya? Para saintis yang berkredibiliti telah dilibatkan secara langsung sepanjang sesi rundingan dan bukannya dikuasai oleh ahli politik mahupun anggota konglomerat berkepentingan. Sudah tentu kajian dan saranan saintifik yang dihasilkan lebih tepat dan memberi keyakinan kepada pemimpin negara untuk mengambil langkah sewajarnya.
Peralihan daripada bahan kimia yang merosakkan lapisan ozon juga berlaku dengan baik kerana alternatif kepada bahan kimia tersebut mudah dan murah untuk dihasilkan bagi kegunaan dalam peralatan seperti peti sejuk dan pendingin hawa. Negara-negara membangun turut disokong dengan dana secara berperingkat bagi memastikan mereka berjaya mencapai sasaran pematuhan Protokol Montreal.
Menginsafi Pesan Tuhan
Namun, kejayaan memulihkan ozon kita hanya sebahagian sahaja daripada rumus bagi memastikan bumi ini kekal menjadi tempat tinggal yang selamat untuk semua hidupan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Rum, ayat ke-41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١
Maksudnya: Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ayat ini menerangkan bahawa perbuatan manusia sendiri yang melampau dan melanggar batas syariat yang telah mengakibatkan kerosakan dan bala bencana. Seharusnya peringatan ini membuat kita merenung kembali kesan yang semakin dirasai bukan sekadar oleh umat Islam, tetapi setiap manusia tanpa tiada yang terkecuali termasuklah anak kecil dan orang miskin yang tidak berdosa.
Apa Sudah Jadi?
Hari ini, cuaca panas melampau dirasai di sebahagian besar rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Negara jiran kita iaitu Thailand telah merekodkan suhu tertinggi pernah dicatatkan iaitu 45⁰C. Gelombang haba seperti ini berlaku disebabkan tekanan tinggi di atmosfera memaksa udara panas turun ke bawah dan terperangkap berdekatan permukaan bumi. Kesannya, hujan tidak dapat terbentuk dan udara menjadi semakin panas.
Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia telah menerbitkan satu laporan tentang risiko iklim bagi negara Malaysia. Terdapat beberapa aspek bagi melihat kesan perubahan iklim seperti suhu, taburan hujan, paras laut, penghasilan makanan dan urbanisasi.
1. Suhu
Antara tahun 1970 hingga 2013, purata suhu permukaan di Malaysia telah meningkat sebanyak 0.14⁰C – 0.25⁰C setiap dekad. Nilai tersebut mungkin kecil tetapi memberikan kesan yang besar terhadap kehidupan manusia dan keseimbangan biodiversiti malah peningkatan suhu ini diunjurkan bakal meningkat pada kadar yang lebih cepat.
2. Taburan Hujan dan Banjir
Kajian oleh Mayowa et al. (2015) tentang corak penurunan hujan tahunan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan ketara antara tahun 1970 hingga 2010 semasa musim monsun, termasuklah peningkatan bilangan hari yang dikategorikan sebagai hujan lebat (kadar hujan melebihi 20mm).
Selain itu, keamatan hujan tahunan maksimum turut menyaksikan pertambahan di mana antara tahun 2000 hingga 2007, tempoh hujan satu jam, tiga jam dan enam jam masing-masing telah meningkat sebanyak 17%, 29% dan 31% berbanding dengan tempoh 1970 hingga 1980.
Peningkatan hujan sudah tentu amat berkait rapat dengan fenomena banjir. Kira-kira hampir 30,000 kilometer persegi tanah yang diduduki oleh 5 juta rakyat Malaysia merasakan kesan banjir tahunan. Dijangka menjelang tahun 2035 hingga 2044, peningkatan median jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir sungai ekstrem adalah sekitar 102,290 orang, meningkat 140% daripada tempoh 1971 hingga 2004.
3. Paras Laut
Peningkatan suhu global turut mendorong peningkatan paras air laut. Berkemungkinan seluruh kawasan paya bakau Malaysia akan tenggelam menjelang tahun 2040. Dengan hanya kenaikan aras laut sebanyak satu meter sahaja akan mengancam kawasan pantai berkeluasan 7000 kilometer persegi dengan Pantai Timur bakal menjadi paling teruk terjejas.
4. Penghasilan Makanan
Senario perubahan iklim sedang mengubah keseimbangan elemen penting dalam penghasilan sumber makanan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Kadar kelembapan, keseragaman suhu dan kandungan karbon dioksida yang berperanan mendorong tumbesaran tanaman kini terjejas. Begitu juga dengan kesan tidak langsung daripada kandungan organik tanah yang menurun, pertambahan serangga perosak dan spesies invasif baharu serta kemorosotan keluasan tanah subur kerana hakisan kawasan berdekatan pantai.
5. Urbanisasi
Peningkatan suhu turut diburukkan dengan situasi Urban Heat Island (UHI), di mana permukaan gelap (contoh: jalan raya), haba daripada kediaman dan premis industri dan ketiadaan tumbuhan di kawasan bandar dapat meningkatkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
Suhu UHI dalam julat 4⁰C hingga 6⁰C telah direkodkan di Kuala Lumpur, biasanya mencapai puncak pada waktu malam. Secara langsung ia memberi kesan kepada kesihatan manusia dan produktiviti buruh.
Apa Tindakan Seterusnya?
Meskipun para saintis berpandangan terdapat beberapa impak perubahan iklim tidak mampu diubah (irreversible), semua pihak berperanan untuk memastikan Bumi terus dapat didiami dengan sejahtera. Dalam konteks polisi negara, penulis cenderung untuk Malaysia fokus kepada langkah adaptasi berbanding mitigasi. Adaptasi merupakan tindakan menguruskan risiko daripada impak perubahan iklim manakala mitigasi merujuk kepada tindakan mengurangkan pelepasan karbon.
Menurut data Global Carbon Project, Malaysia hanya menyumbang 0.37% terhadap pelepasan karbon dioksida global (kumulatif sejak tahun 1751-2020), jauh lebih kecil berbanding negara perindustrian utama seperti USA (25.21%) China (14.27%) dan Kesatuan Eropah (16.59%).
Lebih banyak pelaburan perlu diberikan untuk membangunkan infrastruktur kalis impak cuaca ekstrem, sistem amaran dan pengurusan bencana serta kaedah pertanian berdaya tahan daripada musim kemarau. Manakala insentif bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik, teknologi tenaga boleh baharu dan perdagangan karbon boleh diperlahankan.
Benar, langkah paling berkesan sudah tentu memerlukan kedua-dua cara adaptasi dan mitigasi tetapi penggubal dan pelaksana dasar perlu memilih mana yang lebih utama. Kita tidak boleh bertangguh untuk melakukan sesuatu demi masa depan generasi anak cucu kita. Tidak mustahil, kejayaan Protokol Montreal boleh diulangi sekali lagi jika kita membulatkan azam dan tekad.nnShauqi Johara,
Penyelidik,
Yayasan Strategik Lestari.
Rujukan:
1. https://www.unep.org/ozonaction/who-we-are/about-montreal-protocol
2.https://muftiwp.gov.my/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/5427-bayan-linnas-siri-ke-259-penjagaan-alam-sekitar-dalam-agama-islam#_ftn5
3. World Bank and Asian Development Banks’ 2021: Climate Risk Country Profile – Malaysia
4. Global Carbon Project