5.3 juta Pek Beras Hilang Akibat Banjir, Lagi Masalah Beras Putih Tempatan

Malaysia mengalami kehilangan potensi hasil (potential output) sejumlah 5.3 juta pek beras 10 kilogram (kg) akibat bencana banjir setakat ini. Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, situasi ini bakal memberikan kesan besar kepada bekalan beras putih tempatan dalam negara. Isu ketiadaan beras tempatan di pasaran yang sudah ber­larutan hampir dua tahun, ditambah pula dengan isu banjir yang “menghilangkan” beras tempatan menunjukkan seolah-olah tiada langkah persediaan daripada kerajaan.

Insentif Kerajaan Tidak Efektif

Dalam menangani isu banjir tempoh hari, kerajaan ada menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk pesawah dalam mengurangkan kerugian banjir di mana pesawah layak menerima bantuan RM1,800 per hektar untuk maksimum tiga hektar bergantung kepada keluasan yang telah musnah, dan Agrobank Skim Takaful Tanaman Padi dengan bantuan sehingga RM3,000 per musim. Namun, satu penialaian perlu dilihat terhadap kes-kes sebegini di mana apa yang berlaku ialah kehilangan hasil di peringkat hiliran selepas daripada pemprosesan. Persoalannya di sini, adakah skim bantuan untuk kes sebegini juga akan diberikan? Tentulah tidak.

Kebanyakan skim bantuan yang diberikan kerajaan hanya melibatkan perlindungan terhadap tanaman dan bukannya hasil produk hiliran sebelum proses logistik. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana kehilangan hasil hiliran ini bakal menyebabkan proses yang lama dan modal yang besar untuk melengkapkan semula rantaian bekalan beras untuk memulih seperti sedia kala.

Kerajaan juga ada menyediakan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) untuk melindungi pesawah daripada kerugian akibat bencana alam seperti banjir dan kemarau pampasan bernilai RM3,000. Namun, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keberkesanan skim ini boleh dipersoalkan dan memerlukan penilaian semula. Pertamanya, STTP ini hanya mempunyai kadar pendaftaran yang rendah. Sehingga kini, hanya 30,000 daripada 90,000 pesawah yang dikenalpasti yang mendaftar untuk STTP, meninggalkan 60,000 pesawah tanpa perlindungan.

Selain itu, STTP mempunyai perlindungan yang terhad dengan hanya melindungi kerugian akibat banjir dan kemarau, tanpa merangkumi kerosakan akibat wabak penyakit tanaman. Ini meninggalkan pesawah terdedah kepada risiko lain yang boleh menjejaskan hasil tanaman mereka. Kerajaan sepatutnya memperluas skop perlindungan dengan memasukkan perlindungan terhadap wabak penyakit tanaman dan ancaman lain yang lebih relevan.

STTP juga dikatakan mempunyai proses tuntutan yang rumit. Mekanisme bantuan seperti TBTP ini memerlukan beberapa peringkat penilaian dan laporan sebelum bantuan disalurkan. Malahan, siasatan dan bancian di lapangan hanya akan bermula dalam tempoh 14 hari selepas banjir selesai untuk tujuan menilai tahap kerosakan. Ini merupakan satu proses yang panjang dan boleh melambatkan bantuan kepada pesawah yang memerlukan.

Langkah Mitigasi Perlu Disegerakan

Jikalau benar kerajaan hendak menyelesaikan isu kehilangan hasil akibat banjir ini, satu penilaian semula terhadap sistem perlindungan industri padi perlu diperkenalkan dengan menyegerakan langkah-langkah mitigasi bencana yang lebih komprehensif:

  1. Infrastruktur Saliran dan Tebatan Banjir
    Satu bentuk pelaburan dalam pembangunan sistem saliran dan tebatan banjir di kawasan pengeluaran utama padi perlu dipercepatkan oleh kerajaan. Sistem ini penting bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat limpahan air dan memastikan sawah padi dapat mengeluarkan hasil walaupun dalam musim tengkujuh. Menurut Kajian Risiko Global oleh Bank Dunia pada tahun 2020, pelaburan dalam infrastruktur pengurusan air dapat mengurangkan risiko bencana alam sebanyak 30%, sekali gus meningkatkan ketahanan komuniti tani terutamanya di kawasan rancangan penanaman padi seperti KADA, MADA dan IADA.
  2. Sokongan Pasca-Banjir
    Bantuan kepada pesawah juga seharusnya disalurkan dengan lebih cekap melalui skim yang sedia ada seperti TBTP. Mekanisme penyaluran bantuan perlu ditambah baik bagi memastikan pesawah yang terjejas dapat menerima pampasan dalam tempoh yang lebih singkat. Kajian oleh Food and Agriculture Organization (FAO) pada 2022 menunjukkan bahawa bantuan bencana yang cepat dan mencukupi dapat memulihkan 70% pengeluaran dalam tempoh kurang dari satu musim dan mempercepatkan pemulihan rantaian bekalan makanan.
  3. Diversifikasi Sumber
    Langkah diversifikasi sumber sangat penting dengan menggalakkan penanaman padi varieti tahan banjir yang seharusnya diberikan keutamaan. Kajian daripada International Rice Research Institute (IRRI) menunjukkan padi jenis ini telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kerugian hasil tanaman di negara seperti Filipina dan Bangladesh . Penanaman varieti seperti Sub1 mampu bertahan dalam air bertakung sehingga 14 hari, membolehkan pesawah mengelakkan kerugian besar ketika musim banjir. Pun begitu, kajian lanjut perlu dilakukan bagi memastikan varieti tersebut sesuai untuk disemai di Malaysia ataupun tidak.

Kesimpulan

Kesimpulannya, bencana banjir bukan sahaja menjejaskan sektor pertanian tetapi juga menjadi satu isyarat kepada kerajaan agar membina daya tahan dalam rantaian bekalan makanan negara. Dengan memfokuskan peruntukan yang besar untuk infrastruktur, kerajaan sepatutnya dapat mengurangkan insentif bantuan untuk jangka masa panjang dan menjadikan sektor keterjaminan makanan negara lebih mampan dan berdaya saing.

Picture of Izzat Tuan Ibharim

Izzat Tuan Ibharim

Researcher, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh