Semua sedar bahawa antara rahsia kepada hidup yang aman, damai dan selamat oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah kepatuhan kepada tunjang negara, iaitu rukun negara. Prinsip kedua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara perlu digenggam kemas bagi memastikan negara aman. Ini kerana kepatuhan yang berkekalan kepada raja dan negara terutamanya dapat menghindarkan rakyat daripada sebarang anasir perpecahan dan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat. Namun, di akhir tahun 2024, beberapa kejadian dan keputusan penghakiman menyerlahkan sikap yang terselindung oleh sesetengah pihak yang selama ini bermain persepsi bahawa mereka cintakan negara dan setia kepada sistem raja berperlembagaan. Mereka sebenarnya hanya patuh jika ia menguntungkan mereka sahaja.
Di Mana Kesetiaan Kepada Raja: Isu Adendum
Dua kejadian yang berlaku di akhir tahun 2024 menunjukkan bahawa ada pihak hanya retorika dalam menyatakan kesetiaan kepada negara. isu adendum bekas Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Razak (DSNR) merupakan ujian tentang kesetiaan kepada raja dan negara kerajaan MADANI.
Pada awalnya, PMX telah mengesahkan bahawa titah Adendum bagi membolehkan DSNR menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diadakan pada 8 Disember 2023. Pengesahan ini dikuatkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai lalu, dan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di parlimen yang menyatakan bahawa Titah Adendum yang didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan DSNR menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah hanya khabar angin.
Agak menghairankan penafian titah ini dipersoalkan oleh anak- anak DSNR YB Datuk Muhammad Nizar dan Datuk Mohd Nazifuddin yang percaya bahawa titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan DSNR menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah memang wujud. Penegasan mereka ini yang dinyatakan melalui afidavit adalah berdasarkan bukti-bukti surat yang mereka perolehi dari sumber primer. Maka, adalah sesuatu yang agak janggal dan boleh dipertikaikan kesetiaan pihak yang bermatian menafikan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika ada pihak yang menunjukkan kesahihan kewujudan titah itu.
Hina Agung Bukti Tidak Setia Rukun Negara
Selain bermain tarik tali atas titah adendum, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman bersalah kepada Iswardy Morni atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong adalah bukti kesetiaan kepada raja dan negara ini dipermainkan. Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan pihak pembelaan Iswardy yang merupakan Pengarah Strategi JPRN/ Ketua Cabang Petra Jaya, Sarawak gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes. Ini memaksa beliau dipanggil untuk membela diri. Keputusan ini merupakan tamparan kepada PKR, parti kerajaan yang sentiasa mendakwa mereka adalah penjunjung demokrasi dan perlembagaan.
Kesimpulan
Tindakan pimpinan PKR yang masih membisu berkaitan keputusan ini memberi gambaran bahawa mereka hanya menjunjung demokrasi dan rukun negara jika ianya menguntungkan mereka sahaja. Kita berharap kesetiaan kepada raja dan negara tidak hanya berlaku di permulaan pemerintahan kerajaan MADANI sahaja, ketika pembentukan kerajaan MADANI ini di’titah’kan kerana dalam PRU15 kerana tiada parti yang menang mutlak. Ketika itu, segala alasan diberikan menjurus bahawa mereka menjunjung titah dan setia kepada raja. Namun, sekarang kita tidak mahu kerajaan MADANI dikenali pula sebagai kerajaan ingkar titah ketika adendum telah dikeluarkan dan tiada tindakan kepada anggota PKR yang terang menghina Agung.