Tak Mustahil Lalat Boleh Menyebabkan Singa Menjadi Separuh Gila

Respon YB Nga Kor Ming yang tidak akan melayan perdebatan antara beliau dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan ungkapan “singa tidak akan melayan lalat’ adalah sesuatu yang amat sombong dan merendahkan keupayaan YB Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh. Terbaru kenyataan YB Dr Akmal adalah berkaitan sandwich “ham & cheese” yang dijual di kedai serbaneka KK Mart Universiti Malaya (UM). Isu ini mencetuskan kemarahan orang ramai kerana logo halal Malaysia dipaparkan pada pembungkusannya. Namun ia sebenarnya adalah rentetan isu-isu yang berlaku kebelakangan ini yang menyebabkan ketidakselesaan rakyat terhadap keceluparan YB Nga yang memberi respon kepada isu sensitif.

Kalau Angkuh Menyombong Diri…

Sikap besar kepala dan sombong YB Nga dalam mengulas isu yang sensitif ini tidak hanya berkisar kepada perdebatan antara beliau dan juga YB Dr Akmal, tetapi juga menghala kepada komen rakyat Malaysia terhadap isu “ham & cheese” yang dijual di sebuah kedai serbaneka dalam kawasan UM.

Sebagai seorang Menteri, YB Nga Kor Ming sepatutnya memainkan peranan untuk memperkukuh perpaduan antara kaum, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan hidup harmoni. Namun. Sebaliknya, beliau lebih memilih untuk terus berkonfrontasi dengan rakyat dengan melabelkan rakyat yang mempertikaikan isu jualan “ham & Cheese” ini sebagai bodoh.

Respon rakyat terhadap isu ini sebenarnya adalah tindak balas terhadap tindakan tidak sensitif pihak KK Mart yang menjual produk yang mengandungi daging babi atau bahan tidak halal di premis yang beroperasi dalam kawasan institusi pendidikan negara. Isu ini juga terpalit dengan peruntukan undang-undang Malaysia seperti mana dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Rakyat melihat KK Mart seperti sengaja mencetus sensitiviti umat Islam, kerana sebelum ini telah berlaku kes penjualan stokin tertera kalimah Allah SWT oleh rangkaian serbaneka KK Mart pada Mac 2024.

Sikap YB Nga terhadap isu-isu berkaitan Islam ini sebenarnya bukanlah baru. Isu sambutan Krismas, dan juga hal berkaitan sijil halal yang diwajibkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan juga diulas oleh beliau. Tidak pasti kenapa beliau begitu beria mengulas setiap perkara yang berkaitan urusan umat Islam, namun yang pasti ia menyerlahkan sikap sombong YB Nga yang tidak sensitif kepada urusan agama Islam di Malaysia.

Zahid Cuba Tenangkan Keadaan

Ketika pemimpin DAP dan bukan Islam terus menerus mengulas isu yang sensitif, tiada teguran atau apa-apa tindakan dari Perdana Menteri. Mereka kelihatan seolah-olah kebal untuk berkata-kata walaupun rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama tidak senang dengan beberapa kenyataan mereka. Hanya Datuk Seri Ahmad Zahid sahaja yang memberi respon terhadap isu ini. Itu pun, respon yang sepatutnya tegas dari seorang pemimpin utama parti berteraskan Melayu- Islam.

Walaupun UMNO cuba menafikan yang mereka tidak akan bertoleransi dengan DAP dalam isu berkaitan Melayu dan Islam, gesaan DS Zahid supaya isu penjualan ‘Ham and Cheese’ yang diragui status halalnya di Universiti Malaya (UM) tidak diperbesarkan seperti menyelamatkan rakan baru UMNO dari terus “dibelasah” dan dikritik rakyat. YB Nga yang umpama diberi talian hayat oleh DS Zahid memuji Zahid yang tidak membuat “kenyataan liar” sejak pembentukan kerajaan perpaduan.

Namun kestabilan Kerajaan Perpaduan seperti tidak dihargai oleh YB Nga dan rakan-rakannya dari DAP serta menteri- menteri yang seumpama YB Menteri Pelancongan. Isu-isu sensitif terus diperkatakan seumpama para ahli kabinet PMX ini kebal dari diambil tindakan. Di pihak kerajaan, sesuatu perlu dilakukan oleh PMX bagi menenangkan rakyat dan penilaian rakyat terhadap pasukannya. Manakala, UMNO perlu melakukan sesuatu jika tidak mahu terus ditolak Melayu- Islam dan juga dihina oleh rakan baru dalam kerajaan, seperti mana penghinaan terhadap YB Dr Akmal.

Kesimpulan

Ungkapan singa tidak akan melayan lalat menampakkan betapa pemimpin DAP sangat sombong dan menyangka dirinya tidak boleh disentuh. Mungkin, YB Nga perlu diingatkan bahawa tidak mustahil seekor lalat boleh menyebabkan singa menjadi separuh gila untuk menghalau lalat dari mengganggu.

Seekor singa boleh menerkam seekor rusa yang besar untuk menjadi santapannya, namun tidak mudah bagi singa menerkam dan menghalau seekor lalat dari mengganggu rehat dan tidurnya yang nyenyak. Jika YB Nga ingin menjadikan sirah Khalifah Umar Abdul Aziz dan Umar Al Khattab sebagai panduan beliau dalam mentadbir, jangan lupa juga membaca sirah bagaimana seekor nyamuk menamatkan pemerintahan Raja Namrud.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa
Dr. Mukhtaruddin Musa
Pengarah Urusan, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4.30_Nexus_Dr
Baca Artikel Penuh