RCI Batu Puteh: Demi Keadilan Atau Dendam Lama?

Pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Dewan Rakyat bagi mengkaji pengendalian berkaitan Kes kedaulatan Batu Puteh, yang dijangka pada hari ini menjadi antara tumpuan rakyat Malaysia. Laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen mengesyorkan siasatan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun M dikatakan mengarahkan Peguam Negara menarik balik permohonan semakan itu sebelum kes itu didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ, walaupun penemuan tiga bukti baru oleh Malaysia. Penarikan ini menjadi tanda tanya dan kekecewaan rakyat yang merasakan bahawa keputusan pada 2008 akan menjadi sebaliknya jika rayuan dibuat.

Syor RCI Batu Puteh

Isu perebutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dengan Singapura mula dibangkitkan kembali selepas kerajaan PH membuat keputusan menarik diri rayuan pada 2018, selepas Singapura diberi hak ke atas Pulau Batu Puteh. Kehilangan Batu Puteh memberi impak kepada persempadanan negara.

Akibat tindakan kerajaan PH itu, Perdana Menteri telah mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. RCI yang diperkenankan oleh YDP Agung ini ditubuhkan pada 14 Februari 2024 dianggotai tujuh ahli yang diketuai oleh Tun Md Raus, bekas ketua Hakim Negara.

Laporan Suruhanjaya laporan akhir yang dinyahklasifikasikan mengesyorkan Malaysia boleh memfailkan semula Permohonan Tafsiran baharu pada bila-bila masa yang sesuai, namun tidak mencadangkan Malaysia memfailkan semula Permohonan Tafsiran. Namun yang lebih menarik perhatian ialah syor memulakan siasatan jenayah boleh ke atas Tun Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Tun Mahathir dikatakan bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu. Tun Mahathir dikatakan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa. Tun Md Raus berkata jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.

Siapa Harus Bertanggungjawab

Sejurus selepas laporan ini diedarkan, YAB Perdana Menteri dalam responnya berkata laporan itu telah berpendapat, menarik balik rayuan hak pemilikan terhadap Pulau Batu Puteh adalah suatu pengkhianatan kepada negara. Hal ini kerana penarikan rayuan ini umpama menyerahkan kedaulatan negara. Namun, beliau berpendapat proses undang-undang seperti yang dicadangkan oleh RCI perlu dihormati dan ia akan bergantung kepada perkembangan proses tersebut. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan dalam masa 24 jam dari laporan itu diterbitkan, tiada laporan polis berkaitan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasatan jenayah dibuat terhadap Tun M diterima PDRM.

Dalam respon balas berkaitan syor RCI, Tun M berkata dalam sidang media pada 10 Disember 2024, penarikan rayuan itu dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu dan beliau menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyatakan pendapat. Tun M meminta rakyat mendapatkan maklumat lanjut dari para Menteri yang hadir pada mesyuarat Kabinet. Malah secara yakin beliau meminta pihak yang berminat berkenaan isu ini agar merujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 23 Mei 2018. Untuk makluman, diantara ahli kabinet yang berada ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Tun M berpendapat ketika itu, tiada bantahan atau apa-apa percakapan yang direkodkan dari anggota kabinet dan beliau berpendapat bahawa semua Menteri bersetuju dengan cadangannya. Maka segala keputusan yang dibuat oleh kabinet ketika itu, haruslah di pertanggungjawabkan kepada semua, sesuai dengan tanggungjawab kolektif kabinet yang termaktub dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulan

Semua pihak perlu bersikap adil dalam menegakkan kepentingan negara. Kepentingan negara haruslah menjadi keutamaan. Kenyataan Tun M dalam sidang media Tun M menyebabkan sebahagian orang ramai tertanya, kenapa ia seperti ditujukan dan mengenakan Tun M sahaja dan tidak melibatkan anggota kabinet 2018. Ia pada tanggapan orang ramai seolah-olah cubaan mengaitkan Tun M selepas beberapa dakwaan salah guna kuasa tidak menemui hasil. Biarpun siapa sahaja, keadilan harus ditegakkan tanpa ada sikap berat sebelah.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa

Dr. Mukhtaruddin Musa

Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.1
Baca Artikel Penuh
2025.1
Baca Artikel Penuh