Pembatalan projek tebatan banjir oleh Perdana Menteri ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri dilihat memberi impak kepada “bah” besar seperti yang dialami oleh rakyat di negeri Kelantan. Perdana Menteri cuba memberi justifikasi tindakan lampau beliau membatalkan beberapa projek tebatan banjir adalah kerana kerajaan Madani menolak amalan rundingan terus yang bermasalah. Beliau percaya tindakan beliau menyelamatkan dana kerajaan yang besar. Namun, hakikatnya rakyat menderita akibat penangguhan tebatan banjir itu.
Benarkah PMX Jimatkan Dana Kerajaan
Jika dilihat dalam kenyataan PMX pada 6 Disember 2022, beliau telah mengarahkan pembatalan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus. Kenyataan ini ditempelak oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim yang mengatakan bahawa penundaan projek tebatan banjir ini bukanlah langkah penjimatan tetapi rakyat dan kerajaan bakal berdepan kerugian akibat dari kemusnahan harta benda akibat banjir. Kelewatan projek tebatan yang terpaksa ditender semula ini memberikan kesan besar kepada rakyat di negeri-negeri yang mengalami banjir.
Kita dapat melihat, kelewatan projek tebatan banjir ini menyebabkan kerugian besar kepada rakyat di negeri Kelantan seperti mana yang berlaku pada 2022. Akibat banjir besar yang berlaku pada tahun itu dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit kerugian yang dialami rakyat dan kerajaan Kelantan. Kerugian yang dialami akibat banjir menyebabkan kerosakan infrastruktur, kemusnahan harta benda, dan peningkatan kos pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara. Banyak keluarga kehilangan mata pencarian, khususnya mereka yang bergantung pada aktiviti harian perniagaan kecil-kecilan yang terjejas oleh banjir. Lebih merisaukan, akibat banjir ini bukan sekadar memberi impak jangka pendek malah sebenarnya ia memberi impak jangka panjang seperti kesan terhadap keterjaminan makanan akibat kehilangan hasil pertanian. Secara tidak langsung, akibat kerugian besar yang berlaku saban tahun, ia telah mematahkan semangat para petani terutamanya anak muda untuk tidak mengambil risiko kerugian besar seperti ini.
Percepatkan Projek Tebatan Banjir
Walaupun jaminan oleh Perdana Menteri bahawa semua projek tebatan banjir ini mengikut jadual, namun negara sebenarnya telah kerugian hampir dua tahun akibat banjir besar. Kerajaan diharapkan dapat memastikan projek tebatan banjir ini bukan sahaja disiapkan dengan lebih cepat dan cekap tetapi juga haruslah memberikan perlindungan jangka panjang kepada komuniti yang terjejas di Kelantan. Rakyat juga mahukan penyelesaian jangka masa pendek yang segera untuk masalah banjir yang telah berlarutan ini, memandangkan Kelantan adalah antara negeri yang paling terdedah kepada banjir setiap tahun. Penggunaan teknologi pintar seperti model hidrologi dan simulasi banjir untuk mempercepat analisis keperluan teknikal projek serta membina struktur sementara seperti benteng mudah alih atau sistem pam air kecemasan diperlukan untuk mengurangkan risiko banjir sementara menunggu penyelesaian penuh.
Kesimpulan
Sebenarnya, tindakan yang dibuat oleh PMX dengan membatalkan projek tebatan banjir sebelum ini dan membuka tender semula bukanlah langkah menjimatkan, malah telah merugikan negara. Kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa, dan gangguan ekonomi akibat kelewatan projek tebatan banjir ini bukan sekadar merugikan negara dari segi nilai material tetapi ia turut melemahkan kestabilan sosial dan keyakinan terhadap pengurusan kerajaan.