PH-BN Adalah Gabungan Berasid

Kerajaan PH-BN ibarat pakatan berasid. Itu gambaran yang sesuai untuk diberikan pakatan kerajaan sekarang, ketika mana mereka sedang menghakis kepercayaan rakyat terhadap tindakan mereka dalam menjaga keharmonian hidup yang dinikmati rakyat sejak sekian lama. Rakyat sekarang merasakan adanya double standard dalam tindakan kerajaan. Pada suatu masa, mereka berteriak malah berguling- guling atas jalan raya menarik perhatian dunia luar, seolah pembangkang ketika itu tidak menerima keadilan. Namun kini merekalah yang bertindak bertentangan dengan perjuangan mereka ketika menjadi pembangkang.

MADANI Terus Gagal Yakinkan Rakyat

Kini, bila berkuasa, kerajaan PH-BN bukan hanya tidak adil dari segi layanan serta peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang, malahan mereka juga tidak adil melayan keperluan negeri-negeri yang ditadbir oleh parti yang tidak sealiran parti persekutuan. Isu royalti petroleum yang tiada kesudahan, pembangunan lapangan kapal terbang Kulim, KXP yang terus dinafikan malahan penangguhan notis perubahan atau NOC untuk Fasa 5 KHTP sejak hampir setahun lalu bukti Kerajaan MADANI pimpinan PH tidak bersikap adil terhadap rakyat. 

Terbaru, kenyataan Setiausaha Agung (SUA) PAS yang mahu kerajaan bertindak segera dan tegas terhadap semua pihak dalam isu sensitif seperti isu agama dan bangsa ini dijawab dengan angkuh oleh Menteri Dalam Negeri. Hakikatnya, banyak kenyataan yang bersifat provokatif bukan hanya dari rakyat bawahan, tetapi ia juga datang anggota parti kerajaan yang berjawatan. Mereka sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam. 

Sepatutnya Menteri KDN yang ditolak oleh rakyat dan ahlinya itu menyambut baik saranan SUA PAS namun peluang untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka masih berpegang kepada perjuangan mereka dahulu disia-siakan. Kenyataan balas YB Senator Menteri KDN terhadap teguran SUA PAS dilihat sangat angkuh dan memberi gambaran bahawa mereka bebas buat apa saja tanpa perlu mengikut neraca keadilan yang diperjuangkan mereka dahulu. Mengugut dengan berkata ramai pemimpin Pembangkang yang akan kena jika undang-undang 3R dikuatkuasakan menampakkan bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada mereka selain anggota parti kerajaan.

Penafian Itulah Yang Dibuat

Teguran SUA PAS adalah suara hati rakyat di bawah yang melihat betapa kerajaan menjadi pekak dan buta apabila kesalahan yang melibatkan pemimpin MADANI  tidak diberi perhatian dan diambil tindakan walaupun mereka melanggar sempadan menyentuh sensitiviti umat Islam. Semakin lama, rakyat yang mungkin terpesona dengan ucapan berdegar-degar semakin hilang keyakinan terhadap PMX dan ayam sabung yang semakin tumpul kukunya seperti Abg Md Sabu serta Rafizi. 

Bagaimana mungkin rakyat mahu mendengar nasihat dan patuh kepada setiap kata- kata mereka jika rakyat pun sudah nampak bahawa apa yang dinafikan oleh PMX atau pasukan kabinetnya itulah yang sedang dibuat mereka. Rakyat sudah nampak bahawa mereka ini bukan sekadar gagal memenuhi janji mereka, malah mereka juga turut gagal mengikut nasihat yang dibuat mereka kepada rakyat. Pada masa mereka mahu rakyat terus menolak dan menghindari amalan fitnah dan penyebaran palsu terutama di dalam bulan puasa, mereka berterusan membuat fitnah dan penyebaran berita palsu. Bukti terlalu banyak jika mahu dihimpun di sini, namun cukuplah jika merujuk kepada yang terbaru berkenaan keceluparan seorang ahli PKR yang berjawatan di peringkat negeri dan mendakwa sebagai kakitangan di Pejabat perdana Menteri membuat dakwaan palsu berkenaan projek tebatan banjir di negeri yang diperintah oleh parti yang tidak sealiran dengan kerajaan pusat. Dakwaan beliau bahawa peruntukan kerajaan pusat bagi projek tebatan banjir diagihkan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mendapat peruntukan menjelmakan sikap bebal dan tidak cerdik beliau terhadap prosedur kerajaan. Sehingga kini, belum lagi ada parti kerajaan ini mohon maaf atas kesilapan fakta mereka. 

Kesimpulan

Nampaknya kerajaan hari ini mengalami defisit kepercayaan yang teruk dari rakyat, terutamanya Melayu- Islam. Mungkin sebahagian rakyat yang kurang celik berkenaan isu politik, tidak ambil kisah tentang urusan pentadbiran. Namun majoriti rakyat yang beragama Islam sangat sensitif tentang urusan agama serta fitnah yang dilakukan oleh mana-mana pihak. Mereka sudah muak dengan nasihat dari kerajaan PMX yang mahu fitnah dihentikan terutama dalam bulan Ramadhan, kerana yang pasti parti kerajaanlah yang berterusan melakukan fitnah dibulan Ramadhan.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa
Dr. Mukhtaruddin Musa
Pengarah Urusan, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh
2025.4
Baca Artikel Penuh