Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan, pencemaran udara menyebabkan satu dari sembilan kematian didunia. Antara penyumbang utama pencemaran udara ini adalah sektor pengangkutan. Saban tahun, industri automotif dipertingkatkan untuk mengeluarkan produk yang mampu mengurangkan pencemaran udara.
Di Malaysia, kita mempunyai piawai yang menetapkan had maksimum pelepasan udara bagi setiap kilometer yang dilalui oleh kenderaan. Piawaian ini menjadi serampang dua mata apabila untuk membendung pencemaran udara sekaligus menghalang kemasukan kereta asing yang tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Bagi mematuhi piawaian ini, pelbagai penyelidikan telah dilakukan. Jurutera enjin, menjalankan penyelidikan untuk mempertingkatkan keupayaan enjin serta kurang menggunakan bahan api. Jurutera bahan api pula, mempertingkatkan keupayaan bahan bakar agar lebih berkuasa dan murah.
Sesetengah negara pula mengambil pendekatan untuk menguatkuasakan undang-undang had umur kenderaan. Ini bagi memastikan rakyat akan sentiasa membeli kenderaan baru yang enjinya lebih moden serta efektif berbanding enjin kenderaan lama. Antara kaedah lain pula, adalah mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang bergerak di atas jalanraya setiap hari.
Demikian adalah antara kaedah sesebuah negara mengurangkan masalah pelepasan pencemaran udara. Terbaru, ada beberapa negara yang mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pemansuhan kenderaan bahan api fosil. Negara-negara yang telahpun memberikan komitmen terhadap kaedah ini adalah Norway. Negara itu akan memberhentikan penjualan kenderaan diesel dan petrol pada tahun 2025. India juga tidak kurangnya apabila mengumumkan tahun 2030 sebagai tahun akhir dan Singapura pada tahun 2040.

Malaysia pula pada dasarnya telahpun mengeluarkan Dasar Otomotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang menggalakkan perkembangan terbaru dalam kenderaan generasi akan datang (NxGV). Walau bagaimanapun, dasar tersebut tidak merujuk kepada kenderaan elektrik yang memakai bateri (BEV). Sebaliknya, lebih kepada menggalakkan integrasi teknologi baru yang melibatkan Kenderaan Generasi Masa Hadapan (NxGV). Ini bermakna, Kenderaan Generasi Masa Hadapan bukanlah tertakluk kepada BEV sahaja, namun enjin hydrogen, kenderaan fuel cell (FCV), kenderaan hybrid dan sebagainya juga adalah adalah sebahagian NxGV.
Keadaan industri otomotif Malaysia pada hari ini lebih kompleks disebabkan oleh BEV. Industri otomotif sebelum ini, sangat sinonim dengan nama besar seperti Volvo, Mercedes, Toyota, Mazda, Proton dan sebagainya. Syarikat pengeluar kenderaan ini, sudah bertapak sejak sekian lama, diyakini dan dikenali dengan produk masing-masing. Namun, apabila disebut tentang BEV, nama yang terbayang muncul adalah Tesla. Sedangkan, Tesla ada sebuah syarikat yang baru dan bukannya berasal dari industri otomotif. Begitu juga nama Nio atau Lucid Motors atau VinFast Auto, mereka tidak dikenali sebagai syarikat pengeluar kenderaan sebelum ini. Syarikat ini hanya dikenali semenjak mereka menjadikan BEV sebagai produk utama mereka. Produk mereka belum teruji secara massa seperti terujinya syarikat kenderaan yang telah kita kenali. Namun, hari ini, syarikat yang mengeluarkan BEV menjadi peneraju kepada bidang otomotif.
Selain daripada NAP2020, Malaysia juga pernah melancarkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) yang menyebut kenderaan elektrik secara umum sebagai halatuju untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam tempoh sedekad akan datang. Pada masa yang sama pula, Sarawak lebih cenderung kepada teknologi hidrogen dalam usahanya mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) dan bukannya kereta elektrik yang menggunakan bateri.
Kalau diteliti dengan mendalam, kenderaan fuel cell (FCV) yang menggunakan tenaga dari hidrogen adalah lebih mapan dan bersih berbanding bateri. Penggunaan FCV hanya menghasilkan air dan sedikit haba sahaja. Ini lebih baik berbanding bateri yang memerlukan bahan kimia berbahaya dan proses kitar semula yang mahal. Namun, pembangunan teknologi hidrogen masih lagi jauh berbanding teknologi bateri yang telahpun tersedia.
Mungkin Malaysia boleh menyusun strategi untuk menggunakan kedua-dua teknologi ini dengan mensasarkan BEV untuk kereta dan FCV untuk kenderaan berat. Dengan itu, Malaysia boleh bergerak secara berfasa dari teknologi bateri kepada teknologi hidrogen yang lebih bersih dan mapan. Dengan cara ini, pastinya kita dapat menarik pelabur dalam kedua-dua teknologi ke Malaysia.
Dr. Tajul Adli Abdul Razak,
Pensyarah Universiti Kuala Lumpur,
Malaysian Spanish Institute Kulim Hi Tech Park.