Pendanaan Politik Dan Peruntukan Ahli Parlimen: Perkara Berbeza Matlamat Sama

Pelbagai pihak samada dari parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar kerajaan menyegerakan penggubalan akta pendanaan politik. Pelaksanaan akta ini diyakini dapat mengurangkan risiko rasuah dan meningkatkan ketelusan. Namun disebalik gesaan untuk mewujudkan akta pendanaan ini, peruntukan kepada ahli parlimen patut diberi tekanan kuat kepada kerajaan, jika semua pihak mengharapkan Malaysia bebas dari politik rasuah.

Siapa Perlukan Sumbangan?

Akta pendanaan politik dicetuskan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015 selepas kontroversi dana 1MDB. Namun, cadangan ini tidak diteruskan kerana kekurangan konsensus politik. Pakatan Harapan (PH) kemudiannya menyatakan komitmen untuk menggubal akta ini selepas menjadi kerajaan pada tahun 2018, malah meletakkan akta ini sebagai salah satu dari manifesto mereka.

Semua maklum, politik di Malaysia memerlukan satu dana yang agak besar jumlahnya untuk memenuhi keperluan operasi dan juga program setiap parti. Program- program yang dimaksudkan termasuk program bertemu rakyat. Program bertemu rakyat yang diatur oleh parti atau wakil rakyat yang mewakili parti bertujuan menjaga kebajikan serta memenangi hati rakyat agar parti itu akan disokong dalam setiap kali pilihanraya diadakan. Kebanyakan rakyat yang sudah terbiasa dengan bantuan wakil rakyat atau parti akan mengharapkan bantuan bagi menampung kesempitan wang yang dihadapi pada setiap kali musim perayaan atau awal persekolahan.

Di pihak ahli politik dan parti, sudah tentu dana yang besar ditagih dari dermawan bagi menampung perbelanjaan program yang disusun. Mereka sedar, parti tidak boleh berharap kepada yuran keahlian yang terlalu kecil jika berhasrat mengerakkan parti. Maka, setiap ahli parlimen atau jentera parti akan cuba mendapatkan sumbangan dari orang perseorangan, tokoh korporat atau syarikat besar untuk menyumbang kepada mereka demi kelangsungan parti dan ahli politik. Akibat terdesak untuk memenangi hati rakyat, ia mendedahkan parti kepada risiko rasuah ketika mana mereka terdesak mencari sumbangan dari pihak individu dan syarikat korporat.

Utamakan Peruntukan Ahli Parlimen

Seperti yang dinyatakan, sesebuah parti dan ahli parlimen yang diwakilinya memerlukan dana khusus bagi membangunkan sesebuah kawasan dan juga menjaga kebajikan rakyat yang diwakili. Bayangkan, rakyat akan sentiasa berharap wakil rakyatnya cakna akan keperluan kehidupan mereka. Hakikat yang tidak boleh dinafikan, terdapat golongan rakyat yang memerlukan bantuan untuk mereka meneruskan perniagaan, pendidikan malah tidak keterlaluan ada juga yang memerlukan bantuan dari wakil rakyat dan parti yang dipilih untuk menghulurkan bantuan bulanan kepada mereka. Kesemua keperluan ini memerlukan dana yang sudah semestinya tidak mampu ditanggung oleh wakil rakyat atau parti untuk jangka panjang.

Dalam keadaan situasi politik Malaysia yang tidak matang sepenuhnya, bantuan dari agensi kerajaan atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan kerajaan seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) terhalang dari memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada parti dan wakil rakyat pembangkang. Maka, di sinilah ruang untuk wakil rakyat dan parti “dibela” dan “ditaja” oleh syarikat tertentu demi kepentingan di masa hadapan golongan kapitalis.

Kesimpulan

Keperluan untuk kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen tanpa mengira warna parti adalah sama penting dengan mewujudkan akta pendanaan politik. Kedua-dua perkara ini walaupun nampak berbeza namun ia adalah satu matlamat, iaitu menutup ruang untuk setiap parti dan ahli politik mengamalkan rasuah politik. Kerajaan hari ini perlu mengotakan kedua-dua janji mereka yang terkandung dalam manifesto pakatan harapan.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa

Dr. Mukhtaruddin Musa

Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.2
Baca Artikel Penuh
2025.2
Baca Artikel Penuh