Pencemaran mikroplastik di dalam ekosistem marin di Malaysia

Plastik telah menjadi komoditi yang berharga dan sinonim dalam kehidupan seharian. Pengeluaran plastik di peringkat global telah meningkat daripada 1.5 juta tan pada tahun 1950 kepada 322 juta tan pada tahun 2015 [1]. Plastik merupakan bahan yang tahan lasak dan boleh mengambil masa sehingga beratus tahun untuk terurai apabila dilepaskan ke persekitaran.

Oleh itu, jika penggunaan plastikini tidak diurusdengan baik, ia akan menjadikan lambakan sampah yang terdiri daripada pelbagai jenis plastik yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada manusia dan alam sekitar.

Apabila plastik berada di persekitaran, ia akan berpecah menjadi zarah-zarah kecil. Zarah-zarah plastik yang berukuran kurang daripada 5 mm dikenali sebagai mikroplastik [2]. Zarah-zarah mikroplastik yang berada di persekitaran ini terbahagi kepada dua kategori iaitu primer dan sekunder. Mikroplastik primer merujuk kepada mikroplastik yang terbentuk dengan sengaja dalam saiz mikroskopik semasa proses pembuatan dan pengeluaran produk daripada industri. Manakala mikroplastik sekunder pula merujuk kepada mikroplastik yang terhasil daripada proses penguraian dan peluruhan plastik yang lebih besar menjadi saiz yang lebih kecil. Prosespenguraian plastik yang terdedah kepada sinaran matahari, tindakan ombak laut, dan tindakan fizikal seperti pengisaran menyebabkan plastikterpecah dan membentuk mikroplastik sekunder.

Taburan dan komposisi microplastik di permukaan air dan sedimen di ekosistem marin merupakan salah satu daripada sepuluh isu utama yang muncul di Malaysia. Malahan Malaysia turut tersenarai di antara sepuluh negara yang teruk tercemar di peringkat global [3]. Disebabkan sifat mikroplastik yang pelbagai yang terdiri daripada pelbagai komposisi kimia, ketumpatan, bentuk dan ukuran, zarah-zarahnya akan membawa kepada taburan yang berbeza[4]. Berdasarkan analisis terhadap longgokan mikroplastik di beberapa kawasan persekitaran seperti permukaan air dan sedimen, kandungan mikroplastik yang ditemui adalah berbeza [5, 6]. Plastik juga telah terbukti dimakan oleh pelbagai jenis spesies laut, yang kemudiannya boleh berakhir dalam rantaian makanan manusia yang turut berbahaya pada kesihatan manusia [7].nOleh sebab itu, satu kajian telah dijalankan bagi menentukan kehadiran mikroplastik di persekitaran (air dan sedimen) yang mana ia akhirnya berpotensi untuk terkumpul dalam rantaian makanan. Rajah 1 menunjukkan proses persampelan bagi air dan sedimen.

Rajah 1: Persampelan air dan sedimen

Hasil daripada kajian tersebut, terdapat beberapa jenis mikroplastik yang telah dijumpai. Kehadiran mikroplastik di setiap lokasi persampelan mungkin disebabkan lokasi ini terletak di kawasan telah dibangunkan dengan resort, restoran, jeti dan tempat tarikan pelancongan. Namun begitu, jumlah mikroplastik yang dijumpai di sekitar kawasan persampelan ini agak tinggi jika dibandingkan dengan kawasan yang masih bersih. Ini menunjukkan pencemaran mikroplastik di kawasan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya.nnTiga jenis mikroplastik ditemui di sekitar kawasan persampelan iaitu jenis serpihan, serat dan filem. Mikroplastik jenis serpihan yang paling banyak ditemui di sekitarnya berbanding jenis mikroplastik yang lain. Hal ini mungkin disebabkan kawasan tersebut popular dengan aktiviti pelancongan yang sedia ada. Sebahagian mikroplastik juga mungkin terbentuk daripada aktiviti nelayan yang berdekatan seperti dari plastik yang digunakan untuk menangkap ikan atau menjual barang. Mikroplasik jenis serat juga banyak ditemui di sekitarnya. Mikroplastik yang berwarna biru merupakan warna yang paling biasa ditemui kemudian diikuti dengan warna lutsinar. Mikroplastik yang berwarna merah juga turut dijumpai. Kebanyakan mikroplastik yang dijumpai di kawasan ini berukuran antara 100 – 5000 µm.

Terdapat 45 jenis mikroplastik telah dikenalpasti. Antara polimer yang dikenal pasti adalah Polietilena (PE), Polipropilena (PP), Polietilena Terephthalate (PETE atau PET), Polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), Polietilena berketumpatan rendah (LDPE) dan Poliamida (PA). Berdasarkan penemuan ini, polipropilena paling banyak ditemuidan merupakan bahan pencemar yang terbanyak di persekitaran laut dan ini boleh memberi kesan yang berbahaya terhadap organisma akuatik [8, 9]. Polipropilena adalah keras, tegar dan termoplastik kristal yang dihasilkan daripada monomer propena(atau propilena). Ia adalah resin hidrokarbon linear.Kehadiran mikroplastik polipropilena ini mungkin berasal daripada aktiviti pelabuhan nelayan yang berdekatan. Sumber polipropilena mungkin berasal daripada sisa pembuatan tali dan penggunaan gear penangkapan ikan [10].

Kesimpulan

Penemuan ini menunjukkan kewujudan mikroplastik yang pelbagai bentuk dan warna pada permukaan air dan sedimen di kawasan persampelan. Kebanyakkannya berukuran 500 µm dan hal ini bergantung kepada kedalaman persampelan. Semakin dalam lokasi sampel di ambil, semakin kecil saiz mikroplastik yang ditemui. Jenis mikroplastik serpihan merupakan yang terbanyak terdapat di tiga lokasi ini. Ciri-ciri mikroplastik ini menunjukkan pelbagai jenis plastik yang terdapat di kawasan ini dan keadaan ini sangat berbahaya untuk organisma hidup terutamanya hidupan akuatik kerana ia akan tersalah anggap plastik ini sebagai makanan mereka. Hal ini boleh menyebabkan kematian untuk mereka. Oleh yang demikian, penemuan ini dapat memberi sumbangan kepada data awal berkenaan pencemaran yang disebabkan oleh mikroplastik seterusnya mencegahnya sebelum menimbulkan ancaman yang lebih teruk yang boleh membawa kepada kepupusan hidupan akuatik dan mengganggu rantaian makanan yangboleh menyebabkan bioakumulasi berbahaya kepada hidupan.

 

Ditulis oleh :

Dr. Norashikin Fauzi dan Dr. Noor Syuhadah Subki.nFakulti Sains Bumi,nUniversiti Malaysia Kelantan, nKampus Jeli, 17600 Jeli, nKelantan Darul Naim.nsyuhadah@umk.edu.mynnDiadaptasi daripada : Nurain Saipolbahri et al (2020) IOP Conf. Ser.: Earth Environ. Sci. 549 012059. Determination of Microplastics in Surface Waterand Sediment of Kelantan Bay.

 

Rujukan

1. Plastics Europe 2015 Plastics – the facts 2015: p. 1.

2. Jambeck, J R, Geyer, R, Wilcox, C, Siegler, T R, Perryman, M, Andrady, A, Narayan, R, and Law, K L, Plastic waste inputs from land into the ocean. Science, 2015. 347(6223): p. 768-771.

3. Kaur, C R, Sea Views.Sea, 2012. 2012(9).

4. Vianello, A, Boldrin, A, Guerriero, P, Moschino, V, Rella, R, Sturaro, A, and Da Ros, L, Microplastic particles in sedimentsof Lagoon of Venice, Italy: First observations on occurrence, spatial patterns and identification. Estuarine, Coastal and Shelf Science, 2013. 130: p. 54-61.

5. Luo, W, Su, L, Craig, N J, Du, F, Wu, C, and Shi, H, Comparison of microplastic pollution in different water bodies from urban creeks to coastal waters. Environmental Pollution, 2019. 246: p. 174-182.

6. Cho, Y, Shim, W J, Jang, M, Han, G M, and Hong, S H, Abundanceand characteristics of microplastics in market bivalves from South Korea. Environmental Pollution, 2019.245: p. 1107-1116.

7. Rezania, S, Park,J, Md Din, M F, Mat Taib, S, Talaiekhozani, A, Kumar Yadav,K, and Kamyab, H, Microplastics pollution in different aquatic environments and biota: A review of recent studies. Marine Pollution Bulletin, 2018. 133: p. 191-208.

8. Franzellitti, S, Canesi, L, Auguste, M, Wathsala, R H, and Fabbri, E, Microplastic exposure and effects in aquatic organisms: A physiological perspective. Environmental toxicology and pharmacology, 2019.

9. Thompson, R C, Moore, C J, vom Saal, F S, and Swan, S H, Plastics, the environment and human health: current consensus and future trends. Philosophical transactions of the Royal Society of London. Series B, Biological sciences, 2009. 364(1526): p. 2153- 2166.

10. Dowarah, K and Devipriya, S P, Microplastic prevalence in the beaches of Puducherry, Indiaand its correlation with fishingand tourism/recreational activities. Marine Pollution Bulletin, 2019. 148: p. 123-133.

Picture of Admin Web YSL

Admin Web YSL

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN