NAFAS Perlukan Ventilator Untuk Terus Bernafas

Nampaknya masalah demi masalah membelenggu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Di bawah pentadbiran menterinya yang beliau membahasakan diri dirinya dengan panggilan “abg Mad”, banyak masalah yang masih tergantung dan belum mampu diselesaikan beliau. Tanpa mengambil kira isu seperti kartel beras, kehilangan beras import-tempatan, sepatutnya beliau mampu menyelesaikan sekurang- kurangnya isu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang sememangnya beliau mempunyai kawalan penuh sebagai menteri. Hal ini yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) dalam parlimen yang mahukan Menteri KPKM menyatakan strategi pembaharuan menyeluruh yang telah digariskan oleh kementerian untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli peladang di samping memantapkan pengurusan serta operasi NAFAS.

“Abg Mad” Tidak Menjaga Peladang

Ketika Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin mengumumkan pergantungan Perlembagaan NAFAS di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), alasan yang diberikan adalah untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi NAFAS. Tindakan ini dijangka akan memperbaiki perjalanan pengurusan NAFAS dan menambah pendapatan yang pastinya akan memberikan keuntungan NAFAS dapat dinikmati oleh semua ahli pertubuhan.

Dalam jawapan balas, Timbalan Menteri KPKM itu memaklumkan bahawa lapan strategi pembaharuan serta hala tuju dalam menstruktur semula NAFAS bagi memastikan NAFAS dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya telah dirangka. Antaranya ialah mempelbagaikan sumber pendapatan NAFAS dengan melaksanakan kajian semula perniagaan dan projek semasa bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja dan pemulihan kepercayaan awam melalui kempen kesedaran awam bagi memulihkan imej NAFAS sebagai organisasi yang komited dengan peladang serta pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Namun apa yang menyedihkan, Ronald mendedahkan bahawa walaupun majlis penasihat ini di bentuk sebagai langkah penambahbaikan pengurusan NAFAS, peladang dan pesawah di negeri yang merupakan jelapang makanan seperti Kelantan, Kedah dan Perlis masih menunggu edaran baja daripada NAFAS yang dikatakan tertunggak lebih daripada 4,000 metrik tan di Kelantan, Perlis 9,100 tan dan Kedah 8,000 tan. Sepatutnya ia harus diselesaikan sesuai dengan objektif penggantungan perlembagaan NAFAS seperti mana yang diarahkan oleh Menteri KPKM. Lebih menyedihkan, Ronald juga memaklumkan dalam sesi bertanya, bahawa kontrak pembekalan ayam di beberapa hospital di Kementerian Pertahanan umpamanya, pihak pengurusan yang ada sekarang ini tidak mengutamakan PPN tetapi mengutamakan syarikat luar daripada PPN dan PPK iaitu RSA Synergism Enterprise, HL Agro Farm Sdn. Bhd., PKPS Ehsan Marketing Sdn. Bhd., Warisan Wira Trading Sdn. Bhd. dalam membekalkan ayam. Keadaan ini seolah-olah penggantungan perlembagaan ini bukan kerana objektif yang disebut oleh KP LPP, namun kerana politik dalaman.

Nafas Baru Buat NAFAS

Nampaknya, penggantungan perlembagaan NAFAS ini tidaklah memenuhi objektif seperti yang diharapkan. Sebenarnya, kerajaan perlu mengutamakan NAFAS dalam hal berkaitan pembekalan makanan kepada agensi kerajaan kerajaan seperti sekolah atau hospital. Meletakkan kuota pembekalan kepada agensi- agensi seperti ini kepada NAFAS dilihat dapat membantu NAFAS menjana pendapatan mereka. Bayangkan tender membekalkan barangan basah (sayuran dan bahan mentah seperti ayam) dan kering ke sebuah hospital bernilai jutaan ringgit. Jika kontrak ini diberikan kepada NAFAS sebanyak 15 peratus dari nilai keseluruhan tender, bayangkan keuntungan yang dapat dinikmati bersama oleh pesawah dan peladang, ahli kepada NAFAS.

NAFAS perlu melakukan reformasi perniagaannya dengan menumpukan bukan hanya perniagaan in-put pertanian seperti baja, tetapi NAFAS juga harus terlibat secara lebih serius dalam perniagaan berasaskan pertanian. Malah lebih penting dari itu, NAFAS perlukan tindakan drastik dan berani dari menteri untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang berjiwa petani dan pesawah untuk mengemudi pertubuhan besar yang dimiliki oleh petani dan pesawah ini. Nafas baru diperlukan bagi membawa angin perubahan yang lebih segar demi menaikkan imej petani yang dibayangi dengan imej susah dan miskin. Imej inilah menyebabkan pertanian menjadi bidang yang menjadi pilihan terakhir para belia ketika ini, walaupun ianya adalah sektor yang boleh menjana pendapatan yang agak lumayan jika pun ianya tidak ke tahap jutawan. NAFAS perlu mempunyai semangat dari petani kepada petani, iaitu segala pengurusan dan keuntungan harus dikembalikan kepada petani. Ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang berfikiran jelas demi kebajikan petani bukan berfikiran politik mengaut keuntungan diri.

Kesimpulan

Agak mengecewakan apabila isu berkaitan NAFAS ini tidak lagi selesai. Walaupun ianya mungkin sejuk dikalangan rakyat, namun NAFAS memerlukan satu “ventilator” baru bagi meneruskan kehidupan petani ekoran kelembapan menterinya bertindak.

Isu pertanian sangat penting kerana ia melibatkan kepentingan rakyat semua sama ada miskin atau kaya. Ia adalah sektor yang terpenting dan serius selepas sektor seperti keselamatan dan kesihatan rakyat. Nampaknya KPKM perlukan “ventilator” yang disahkan kompetensi, bukan seperti peneraju sekarang!.

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa
Dr. Mukhtaruddin Musa
Pengarah Urusan, Yayasan Strategik Lestari

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.5
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.3
Baca Artikel Penuh