Masa Depan Industri GIG dan Syarikat Pemula (Startup Company) Di Malaysia

Perubahan dalam pasaran kerja memberi impak yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi gig dan Syarikat Pemula (Startup Company). Dapatan kajian daripada Zurich Insurance Group and Oxford University menunjukkan 4 daripada 10 rakyat Malaysia menyertai ekonomi gig sebagai pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pengangkutan ad-hoc selepas berhenti daripada pekerjaan sepenuh masa (sebelum COVID-19). Masa yang fleksibel, bebas serta kemudahan teknologi yang ditawarkan oleh platform gig seperti Grab, Airasia Ride, Foodpanda, Lalamove ini menjadi daya penarik kepada perkembangan industri ini di Malaysia.

Model ekonomi gig membolehkan penyertaan rakyat secara inklusif dan berpotensi menjadi penyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sehingga 2021, saiz pasaran keseluruhan bagi industri ini di Malaysia dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM1.61 bilion, memanfaatkan 1.12 juta individu yang menyertainya untuk menjana pendapatan utama mahupun secara sampingan. Unjuran pertumbuhan platform tempatan ekonomi gig ini dianggarkan terus berkembang daripada kira-kira RM371.4 juta pada 2021 kepada sekurang-kurangnya RM650 juta pada 2025.

Selari dengan Revolusi Industri Keempat, Syarikat Pemula diiktiraf dunia sebagai pemacu ekonomi dengan nilai keseluruhan di dunia mencecah RM12.8 trilion (USD 3 trilion). Grab dan Carsome antara produk syarikat pemula kelahiran tempatan berstatus unikorn yang mempunyai nilai lebih daripada $AS1 bilion. Malaysia menduduki tangga ketiga di Asia Tenggara bagi kategori bilangan syarikat pemula dengan jumlah sekitar 800-1200 syarikat (mengikut populasi) dianggarkan bernilai mencecah USD100 juta. Syarikat pemula ini berpotensi menjana ekonomi dan menyumbang kepada KDNK negara jika dikembangkan dan diberi perhatian yang sewajarnya.

Namun begitu, oleh kerana pekerja gig ini diklasifikasikan sebagai ‘pekerja kontrak’, mereka terdedah kepada risiko ketidakpastian peluang kerja pada masa akan datang serta mempunyai keupayaan yang terhad terhadap keputusan yang dibuat oleh platform gig tersebut. Hal ini termasuklah kemungkinan yuran yang tinggi akan dikenakan kepada vendor selain komisyen yang lebih rendah kepada pekerja gig tersebut.

Inisiatif dan pakej ransangan yang diperkenalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sedikit sebanyak membantu pekerja di sektor ini meneruskan kehidupan ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Pembentangan belanjawan 2023 yang lalu, pihak kerajaan memperuntukkan 40 juta ringgit melalui bayaran latihan bagi menggalakkan anak muda meningkatkan keupayaan dan kemahiran micro credentials. Pekerja dalam industri gig ini juga boleh menikmati elaun RM300 untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja yang aktif dan sedang menjalani program latihan di bawah inisiatif PERKESO. Inisiatif lain seperti perlindungan sosial juga perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memberdaya pekerja di dalam sektor ini.

Secara dasarnya, ekonomi gig memberi alternatif kepada semua pihak sebagai pekerjaan utama mahupun sampingan dalam mencari sumber pendapatan. Tanpa menafikan kebaikan di dalam insdutri gig ini, anak muda juga disarankan mencari tapak yang lebih kukuh dan berusaha meningkatkan skill dan kemahiran berpendapatan tinggi seperti data analisis, pembangunan perisian (software development), penciptaan dan pengurusan kandungan (content creation and management) untuk meningkatkan taraf hidup selain sebagai persediaan menghadapi kos sara hidup yang kian meningkat saban tahun.

a gig worker with the title saying the future of gig economy

Shaarie Khalid

Penyelidik,

Yayasan Strategik Lestari.

 

Rujukan :

1.https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/09/885419/bajet-2023-fokus-pengembangan-ekonomi-gig

2.https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/03/929564/ekonomi-gig-jadi-alternatif-rakyat-jana-pendapatan-baharu

3.https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemerkasa-lima-fokus-20-inisiatif-pemulihan-ekonomi-2021-pm-muhyiddin-288543

Picture of Admin Web YSL

Admin Web YSL

KONGSI ARTIKEL

ARTIKEL berkaitan

2025.3
Baca Artikel Penuh
2025.3.14_Nexus_Hanisah Rahman_RM1
Baca Artikel Penuh