Keterkejutan Rombakan Kabinet Bukanlah Rahsia

Tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dalam Utusan Malaysia Khamis lepas bertajuk “ramai juga yang turut terkejut!” berhubung dengan rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan pada 11 Disember lalu mendapat perhatian banyak pihak.

Ada pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang berkata tidak kurang yang merasa kecewa dengan tulisan Dzulkifli kerana ia dikatakan mengandungi banyak pernyataan bombastik yang tidak disertakan dengan fakta atau sumber rujukan yang sahih menyebabkan hujah beliau ketiadaan nilai akademik yang tinggi. 

Ada Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) pula berkata tulisan Dzulkifli melalut dan tidak membumi manakala dakwaan bahawa sepatutnya ada Menteri yang digugurkan didakwa tidak perlu didebatkan kerana yang benar-benar tahu kualiti pencapaian semua Menteri ini adalah Perdana Menteri sahaja.

Sebenarnya, pada hemat saya, Dzulkifli adalah salah seorang daripada beberapa intelektual awam yang berani menyuarakan di ruang-ruang awam tentang isu-isu utama yang menjadi perhatian rakyat, memberikan kritikan, komen, idea dan cadangan mengenai isu semasa, kepentingan awam, dasar-dasar kerajaan dan sebagainya.

Beliau mengingatkan saya kepada seorang intelektual awam berpengaruh, iaitu Rustam A. Sani (1944-2008), yang pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta aktif membincangkan perihal permasalahan dan cabaran sosio-politik negara.

Kedua-dua mereka mampu menyelami, mengolah dan menyuarakan secara terbuka denyut nadi rakyat dan apa yang ada dalam fikiran rakyat tanpa apa-apa kepentingan. Mereka dilihat ikhlas berbicara tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan jawatan dan tanpa takutkan kepada apa-apa bentuk tekanan yang boleh menimpa.

Perihal keterkejutan banyak pihak kepada rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan bukanlah satu rahsia, malah ada Menteri sendiri yang mengakui terkejut dengannya. Dzulkifli sekadar menyuarakan pandangan umum bila menyatakan ada Menteri yang kurang berprestasi dikekalkan atau tidak dipindahkan ke kementerian lain.

Menyatakan soal Menteri yang kurang berprestasi dikekalkan atau tidak dipindahkan ke kementerian lain tidak perlu didebatkan kerana yang benar-benar tahu kualiti pencapaian semua Menteri ini adalah Perdana Menteri sahaja seperti memperkecilkan kemampuan rakyat berfikir dalam suasana prestasi Menteri boleh dilihat.

Saya juga bersetuju dengan Dzulkifli bahawa memindahkan Menteri yang berprestasi tinggi yang “sedang tangkas mengatur langkah berjaya” ke kementerian lain dalam tempoh setahun adalah tindakan yang “membuang masa, tenaga dan sumber” kerana tidak begitu efektif untuk Menteri baru menjayakan perancangan Menteri lama.

Soal lain yang dibangkitkan oleh Dzulkifli seperti persepsi negatif rakyat kepada Kerajaan Perpaduan dan “cakap tidak serupa bikin” dalam “retorika memerangi rasuah” juga adalah perkara yang memang diperkatakan oleh rakyat dan tidak memerlukan pembuktian spesifik kerana ia berada dalam pengetahuan umum.

Baru 22 November lalu Merdeka Center mengumumkan dapatan kaji selidiknya bahawa 60 peratus responden berpendapat bahawa Malaysia berada pada hala tuju yang salah berbanding 31 peratus di sebaliknya serta 48 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan berbanding 41 peratus di sebaliknya.

Kaji selidik ini juga mendapati bahawa 57 peratus responden masih tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah di sebalik “retorika memerangi rasuah” yang ada, tempat kedua terburuk selepas ketidakpuasan hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan mewujudkan pertumbuhan ekonomi, iaitu 65 peratus.

Kalau dilihat kepada janji dalam Manifesto Pilihan Raya ke-15 (PRU 15) Pakatan Harapan (PH), dalam bab Memerangi Rasuah, ada tujuh janji diberikan. Ini termasuk:

  1. Menjamin pelantikan calon yang neutral untuk jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan calon itu perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan.
  2. Mewajibkan semua menteri, Ahli Parlimen, Penjawat Awam Kanan, Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat yang berumur 18 tahun ke atas membuat pengisytiharan aset.
  3. Memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara.
  4. Melaksanakan sistem pelawaan secara terbuka (Request For Proposal, RFP) dan tender terbuka bagi projek-projek. Rundingan langsung hanya dibenarkan untuk hal keselamatan negara tetapi tertakluk kepada Jawatan Pilihan Khas yang diketuai anggota blok pembangkang.
  5. Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media.
  6. Menghidupkan semula usaha untuk menubuhkan Majlis Media dan meminda Akta Mesin Cetak.
  7. Mewujudkan sistem ‘ombudsman’ bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

 

Masing-masing boleh menyemak sendiri dari tujuh janji ini berapa yang sudah ditunaikan.

Ini belum lagi disentuh janji-janji lain seperti Memansuhkan Akta Zalim, Memperkenalkan Akta Pendanaan Politik, Peruntukan Kawasan Sama Rata atau Semakan Pencalonan jawatan Pendakwa Raya, jawatan-jawatan utama SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ketua Polis Negara oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Janji baru seperti menoktahkan kemiskinan tegar pada hujung tahun ini juga berulangkali disebut sedangkan jawapan di Parlimen pada 25 Mei masih ada 118,217 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sehingga 15 Mei dan jawapan di Parlimen pada 17 November lalu masih ada 102,888 KIR miskin tegar sehingga 31 Oktober.

Tegasnya, saya tidak meragui Dzulkifli yang sejak dulu diketahui konsisten dengan pegangannya tentang ketelusan, kejujuran, keikhlasan, dan kesungguhan dalam mengurus dan mentadbir tanpa terikat dan tidak terpengaruh dengan faktor ketiga atau faktor luar termasuk faktor politik kepartian dan kepentingan peribadi.

Sumber: Utusan Malaysia

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa

Dr. Mukhtaruddin Musa

Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN