Kerjasama SG4 Bantu Pusat Mencapai Agenda Nasional

Baru-baru ini telah berlangsung satu Sidang Kemuncak bagi perkumpulan membabitkan Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Sidang bagi perkumpulan empat negeri yang dikenali Sidang Kemunak SG4 ini dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku penasihat bagi perkumpulan SG4.

Sidang ini dilangsungkan selepas ia diwujudkan pada September 2023, hasil dari perbincangan antara pimpinan negeri ini dengan Dr. Mahathir dan Abdul Hadi, dipengerusikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan dianggotai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud; Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) dan Perlis (Mohd. Shukri Ramli) serta setiausaha eksekutifnya, Datuk Takiyuddin Hasan.

SG4 sebenarnya merujuk kepada pembentukan satu kerjasama strategik yang berfokus untuk pembangunan sosioekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di keempat-empat negeri ini.

Selain tokoh negarawan negara dan ketua- ketua negeri, turut serta dalam Sidang Kemuncak SG4 ini ialah semua ahli majlis mesyuarat (Exco), wakil rakyat, pegawai kerajaan dari SG4 yang berbengkel mengikut kluster-klusternya bagi menghasilkan program-program berimpak serta bersifat tanda aras dan amalan terbaik.

Paling mendapat perhatian ketika sidang kemuncak kelmarin ialah pengumuman Dr. Mahathir bahawa SG4 ini menubuhkan sebuah syarikat bernama SG4 Group Sdn. Bhd., bagi menyelaras dan membawa masuk pelaburan-pelaburan baharu dengan setiap negeri terlibat mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

SG4 Group Sdn. Bhd. ini akan memberi fokus kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber asli dan pendapatan baharu.

Serentak dengan pengumuman ini timbul kritikan bahawa penubuhan SG4 dan SG4 Group Sdn. Bhd. ini adalah bermotif politik semata-mata dan bukannya bermotif ekonomi. Begitupun, kita tidak perlu sinis dengannya kerana ia mungkin baik untuk negara.

Meneliti ucapan Takiyuddin, beliau berkata, SG4 bukan satu bentuk pertembungan politik dengan mana-mana pihak, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa usaha membangunkan negeri-negeri ini akan lebih perkasa jika dapat diwujudkan sinergi secara bersama.

Malah, tambah beliau, kerjasama antara SG4 dengan Kerajaan Pusat dan agensi-agensi Persekutuan akan ditingkatkan memandangkan potensi negeri-negeri ini amat tinggi dalam masa depan pembangunan negara.

Salah satu daripada lima prinsip teras yang menjadi panduan SG4 dalam setiap program yang dijalankan adalah menggembleng kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh di semua peringkat termasuk dengan Kerajaan Persekutuan, pihak swasta serta pelabur dalam dan luar negeri untuk memastikan pembangunan yang menyeluruh dan berkesinambungan.

Lebih terperinci ialah ucapan Ahmad Samsuri selaku Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4. Beliau menyebut kewujudan SG4 bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana negeri atau menjadi ancaman kepada sesiapa dalam negara kita di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, ia adalah satu koridor kerjasama dalam pelbagai bidang untuk mengangkat kedudukan negeri dan rakyat supaya dapat bergerak dengan lebih pantas selain lengkap melengkapi, sama juga dengan asas kewujudan koridor-koridor atau blok yang lain sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Menteri Besar Terengganu itu juga menyebut SG4 perlu bersikap progresif dan pragmatik dalam mempamerkan dan melaksanakan kuasa penawaran kolektif terutamanya bagi memelihara kepentingan negeri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang selain menjalankan fungsi sebagai perkongsian pembinaan negara dengan memberikan kerjasama dan penglibatan penuh dalam menjayakan agenda nasional terutamanya yang mendatangkan manfaat kepada negeri-negeri di koridor utara-timur Semenanjung Malaysia.

Bukan pesaing

Jelas di sini,  SG4 bukanlah saingan kepada negeri-negeri lain atau negara sebaliknya akan membantu menjayakan agenda nasional. Ini terlihat dalam beberapa penanda aras baharu yang lebih signifikan dan realistik seperti dinyatakan Menteri Besar Terengganu.

Antaranya, menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) SG4 agar dapat bertumbuh sebanyak antara 3.7 hingga 5.9 peratus setahun kepada RM149 bilion, iaitu 15.7 peratus sumbangan berbanding hanya RM124 bilion dengan sumbangan sebanyak 7.9 peratus pada tahun lalu.

Selainnya ialah meletakkan sasaran nilai pelaburan SG4 sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan jumlah 50,000 pekerjaan dalam masa lima tahun ini.

Kedua-dua sasaran ini bila dicapai sudah semestinya akan meningkatkan nilai pelaburan, jumlah pekerjaan dan KDNK negara.

Begitu juga dengan 10 agenda kluster-kluster yang diwujudkan, iaitu:
1. Menjalin hubung sistem pengangkutan dan logistik yang efisien. Contohnya, untuk Kelantan dan Terengganu menjadikan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sektor Kelantan dan Terengganu agar saling berkait.
2. Merangka persediaan aset dan tenaga sukarelawan sebagai mitigasi bencana dengan efektif secara bersama.
3. Pengurusan prospek pelaburan yang bernilai tinggi dan mengutamakan industri hiliran, mengikut keutamaan (niche) negeri masing-masing.
4. Perluasan pasaran perniagaan dan perdagangan yang saling melengkapkan dan mampu lebih berdaya saing.
5. Pengeluaran komoditi makanan utama yang mencapai tahap sara diri dan berskala industri.
6. Membangunkan rantaian nilai agro makanan yang lengkap.
7. Saling membantu untuk memantapkan ekosistem pendidikan yang komprehensif dan masa depan.
8. Ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berjati diri serta saling melengkapkan di antara satu sama lain.
9. Pentadbiran yang cekap, berintegriti serta pengurusan kutipan hasil yang besar.
10. Pengeksplorasian dan pengkomersialan sumber asli yang lestari dengan pembangunan industri dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Sangat jelas, kesemua 10 agenda ini juga adalah selari dengan agenda pembangunan negara.

Ringkasnya, kewujudan SG4 dan SG4 Group Sdn. Bhd. wajar dipandang positif oleh semua pihak tanpa perlu mencari keburukan, demi membangunkan negara yang tercinta ini.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Picture of Dr. Mukhtaruddin Musa

Dr. Mukhtaruddin Musa

Director of Research, Yayasan Strategik Lestari

KONGSIKAN ARTIKEL DI ATAS

LinkedIn
Facebook
Email
WhatsApp
Print

ARTIKEL BERKAITAN