Industri otomotif telah lama menjadi salah satu penyumbang utama dalam ekonomi negara. Ianya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk Malaysia. Namun, kebelakangan ini, industri otomotif negara berdepan dengan cabaran besar, terutama dengan kehadiran teknologi kenderaan elektrik yang semakin memenuhi pasaran tempatan.
Perubahan ini harus diraikan, dan Malaysia harus menerima transformasi ini sebagai satu langkah penting demi kelangsungan ekonominya. Semakin cepat Malaysia beradaptasi dengan perubahan ini, semakin cepat Malaysia akan menjadi negara maju di dunia.
Kenderaan elektrik atau EV, secara amnya berkisar tentang motor elektrik, bateri, sistem pengecasan, dan sistem kawalan. Perubahan yang paling ketara adalah penggunaan bateri sebagai sumber tenaga utama. Sebelum ini, kenderaan bergantung kepada minyak petrol, tetapi sekarang, tenaga elektrik yang disimpan dalam bateri menggerakkan kenderaan kita.
Artikel ini berminat untuk membincangkan dua kaedah pengecasan yang penting dalam ekosistem kenderaan elektrik. Pertama, kaedah battery swapping, di mana bateri boleh dicabut dari kenderaan dan dicas di tempat lain. Inovasi ini dipopularkan oleh syarikat kenderaan elektrik NIO Incorporated dari Shanghai. Mereka telah melabur dengan banyaknya untuk membangunkan infrastruktur battery swapping di bandar-bandar besar di China. Penerimaan yang positif oleh penduduk tempatan membuktikan keberkesanan konsep ini. Ianya juga dapat mengurangkan harga kenderaan kerana perkongsian bateri mengurangkan kos milikan pengguna.
Kaedah yang kedua adalah kaedah pengecasan kenderaan. Kaedah ini adalah umpama mengecas telefon pintar di rumah dimana, bateri telefon tidak akan dikeluarkan. Hal yang sama juga berlaku kepada kenderaan elektrik. Kaedah pengecasan ini adalah paling popular di Malaysia, dengan kewujudan banyak stesen pengecas yang dapat diakses di R&R, stesen minyak, pasaraya, dan kampus universiti.
Pada ketika ini, terdapat lebih kurang 1,246 stesen pengecas di seluruh Malaysia. Kerajaan Malaysia telah mensasarkan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecas kenderaan menjelang tahun 2025. Hal ini menunjukkan komitmen yang jelas terhadap teknologi kenderaan elektrik.
Selain daripada pengecasan, teknologi bateri juga semakin maju. Kenderaan elektrik secara amnya boleh bergerak sejauh 400km hingga 500km untuk sekali cas. Dijangkakan jarak ini akan meningkat seiring dengan kemajuan teknologi. Apabila kenderaan elektrik mampu menempuh jarak yang lebih jauh, maka tidak ada keperluan untuk membina stesen pengecas yang banyak di Malaysia. Ini kerana pemilik kenderaan dengan mudah dapat mengecas kenderaan mereka di rumah semalaman ataupun di tempat kerja.
Namun, keperluan stesen pengecas di R&R tetap perlu sebagai kemudahan tambahan kepada pengguna yang mengguanakan lebuh raya. Ini kerana pengguna sering menghabiskan waktu yang lama di R&R, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mengecas kenderaan di kawasan parkir.
Norma baru ini bukan hanya memberi kesan kepada pengguna, tetapi juga kepada pengusaha stesen minyak. Terdapat lebih daripada 3500 stesen minyak di Malaysia yang akan terkesan secara langsung. Perhatian perlu diberikan kerana industri ini terus-menerus memainkan peranan penting dalam sektor pengangkutan negara. Oleh itu, penting bagi kerajaan dan pengusaha stesen minyak untuk bekerjasama dalam merangka strategi bagi mengatasi cabaran ini serta memberikan manfaat kepada semua pihak.
Dalam menghadapi masa depan yang semakin rencam, Malaysia perlu terus berinovasi dan beradaptasi untuk memastikan industri otomotifnya kekal relevan dan berdaya saing dalam era teknologi tinggi. Ini bukan sahaja dapat mencipta peluang ekonomi baru tetapi juga memastikan kelestarian otomotif Malaysia dalam jangka panjang.
Dr. Tajul Adli bin Abdul Razak,
Bahagian Mekanikal,
Universiti Kuala Lumpur, Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI)
Kulim, Kedah.